1 Feb 2016

Yang Bawa Masalah Kepada Negara Ialah Najib, Bukan Mukhriz...

Tindakan mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar Kedah bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir bukan penyelesaian sebenar kepada masalah rakyat, kata Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, rakyat Kedah tidak berminat untuk mengetahui calon menteri besar baharu sebaliknya mahu mengetahui sebab menteri besar perlu ditukar.

“Persoalan kemelut politik Kedah masih berterusan tanpa ada penyelesaian berteraskan kedamaian dan keinsafan. Penyelesaian yang dicari hanya berteraskan dendam untuk melenyapkan musuh politik Putrajaya. Penyelesaian tanpa melihat kepada hati nurani dan akal budi rakyat Kedah,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.


Mahfuz juga menegaskan, mudarat yang lebih besar kepada negara bukan menteri besar Kedah sebaliknya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Usaha menggulingkan Mukhriz tidak akan menyelesaikan segala beban kos sara hidup rakyat dan tidak membantu pertumbuhan ekonomi negara.

“Adakah dengan menyempurna agenda politik dendam Putrajaya terhadap Mukhriz, ekonomi Malaysia akan pulih, nilai mata wang Malaysia akan pulih dan kukuh, pendapatan negara akan bertambah?

“Pulihkah keyakinan pelabur terhadap Malaysia dengan buang Mukhriz? Apakah harga getah dan kelapa sawit akan meningkat?

"Apakah dengan gugurnya Mukhriz sebagai menteri besar akan selesaikan segala masalah beban kos sara hidup rakyat?” soalnya yang juga Yang Dipertua PAS Pokok Sena.

Rakyat Kedah bukan lembu dicucuk hidung

Mahfuz juga yakin rakyat Kedah bijak dalam membuat keputusan berkaitan krisis yang berlaku dan tidak akan terpedaya dengam politik dendam yang diamalkan sebahagian pemimpin Umno negeri itu.

“Saya percaya rakyat Kedah bukannya boleh dibuat lembu dicucuk hidung. Mungkin ada beberapa kerat Ahli Parlimen dan Adun serta Ketua Umno Bahagian yang boleh jadi seperti lembu dicucuk hidung, tetapi tidak kepada majoriti rakyat Kedah yang punya hati nurani dan akal budi yang tinggi,” katanya lagi.


Justeru beliau memohon agar Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan tidak dilibatkan dalam krisi politik yang didakwa tidak beradab ini.

“Kedegilan politik yang tidak bertempat yang memaksa serta mengheret Tuanku Sultan dan Jemaah Pemangku Sultan Kedah bagi menyelesai masalah dalaman Umno sekaligus menyempurna agenda politik peribadi Najib yang giat menghapus musuh politik beliau,” katanya.

Pada 27 Januari lalu, sebahagian anggota Exco Kedah tidak menghadiri mesyuarat.

Tindakan itu bukan saja melanggar ikrar mereka kepada sultan malah menyebabkan pihak istana murka.

Keengganan exco berkenaan menghadiri mesyuarat pada menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan diatur kerajaan negeri untuk pembangunan rakyat di negeri berkenaan. -Malaysia Dateline


Rakyat Kedah pertahan Mukhriz, gesa Umno henti main politik, kata pemerhati

Kemelut menteri besar Kedah yang tercetus hampir 2 minggu lalu dan masih berlarutan hingga kini, disifatkan rakyat negeri itu, termasuk pemimpin akar umbi parti, satu cerminan kepada imej Umno sebenar yang tidak akan dapat menerima budaya baharu merentasi fahaman politik.

Datuk Seri Mukhriz Mahathir membuktikan beliau mampu mentadbir negeri tanpa mengira ideologi politik yang berbeza tetapi cara ini tidak dapat diterima pemimpin dalam Umno Kedah, para pemerhati memberitahu The Malaysian Insider.

Dan berbeza dengan pemimpin terdahulu, tidak dapat disangkal lagi, anak negarawan Tun Dr Mahathir Mohamad itu disenangi segenap lapisan masyarakat tanpa mengira parti dan fahaman politik.

"Saya sendiri lihat bagaimana rakyat Kedah sangat sayangkan beliau (Mukhriz)," kata Mejar Anuar Abdul Hamid, ketua Umno cawangan Jalan Badlishah di utara tanah air itu.

"Semasa program di Sanglang tempoh hari, kita boleh lihat ramai di kalangan pelajar dan tok-tok guru sekolah pondok yang datang," katanya merujuk kepada program Selasa lalu yang diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam bagi menyatakan sokongan kepada Mukhriz.

"Ini pemimpin muda yang sanggup tidur di pondok. Pernah pemimpin terdahulu buat macam ini? Kita tengok sendiri, orang PAS pun senang dengan Mukhriz ini," katanya.

Anuar mengikuti perkembangan dan banyak program Mukhriz sejak kemelut politik di Kedah bermula selepas 14 ketua Umno bahagian mengadakan sidang media pada 20 Januari menyatakan pendirian menolak Mukhriz, yang juga ketua badan perhubungan Umno negeri.

Kemelut politik menteri besar Kedah amat memeranjatkan, kata Anuar, memandangkan Mukhriz bukan seorang yang terpalit dengan skandal atau mempunyai rekod tidak baik sepanjang lebih 2 tahun memerintah negeri.

"Ia amat mengejutkan. Mukhriz seorang pemimpin yang bersih daripada sebarang kontroversi dan skandal," katanya.

Nasib Mukhriz mungkin akan diketahui hari ini susulan pertemuan antara Jemaah Diraja Kedah dan semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional di Alor Star yang dijangka berlangsung pagi ini.

Sementara itu, bekas setiausaha kerja Umno Kedah, Zahran Abdullah berkata tindakan sekumpulan pihak menentang Mukhriz menunjukkan pemimpin lama parti itu "gila kuasa".

"Pemimpin lama ini sudah lapuk, tetapi mereka masih gila kuasa. Kita nak kesinambungan anak muda, jadi Mukhriz adalah calon terbaik.

"Kita mahu Mukhriz terus mentadbir negeri ini," katanya yang pernah berkhidmat di pejabat Umno negeri sekitar tahun 2010.

Kumpulan anti Mukhriz memberi alasan mahu menyingkirkan menteri besar itu kerana beliau gagal menyatukan parti dan jentera di Kedah, tiada strategi untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang dan terlalu banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, majoriti rakyat negeri itu yang ditemui The Malaysian Insider tidak membangkitkan isu tersebut.

"Saya sokong Mukhriz dan sangat sedih dengan apa yang berlaku," kata Aishah Aziz, seorang pekerja di Starbucks Coffee, Aman Sentral.

"Mengapa kumpulan tersebut nak menjatuhkan menteri besar? Bukan masalah besar Mukhriz berada di Kuala Lumpur," katanya.

Sementara itu, Maznah Abdullah, 45, yang berniaga sendiri berkata rakyat senang dengan Mukhriz yang tidak mempunyai skandal atau imej buruk.

"Apa salah Mukhriz? Adakah dia jahat? Setahu saya, dia tidak pernah menimbulkan kontroversi pun," katanya.

Berdepan kemelut ini, hanya Umno yang dilihat bersungguh-sungguh dalam agendanya menukar Mukhriz, namun pemimpin pembangkang negeri itu masih berada di belakang menteri besar.

Salah seorang pemimpin kanan PAS, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar juga menyokong pentadbiran Mukhriz walaupun tidak secara terang-terangan.

"Pilihan yang ada ialah mengekalkan Mukhriz sebagai MB hingga akhir penggal kerana sudah tentu keadaan akan kembali kepada status quo," katanya mengulas kemelut politik yang berlaku di Kedah itu.

Malah, parti pembangkang tidak agresif dalam memberi tekanan kepada Mukhriz untuk mendesaknya berundur.

Sebaliknya, ia hanya menyatakan mereka berpeluang cerah merampas semula Kedah selepas gagal mempertahankannya pada PRU 2013.

"PAS yakin peluang PRU14 berpihak kepada PAS. Krisis menteri besar yang berlaku adalah bonus kepada PAS," kata Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi.

Beliau tidak mempunyai masalah dengan imej agamawan dibawa Mukhriz dan tidak menolak kemungkinan ia faktor menyebabkan Mukhriz senang dirapati rakyat.

Mukhriz, yang dilihat seperti mengambil kesempatan menyerang kembali mereka yang menentangnya, semalam berkata ketua Umno bahagian Kedah yang mengadakan sidang media menuntut penyingkiran beliau itu perlu memohon maaf kepada Sultan dan Jemaah Diraja Kedah.

Katanya, tindakan mereka itu tidak mewakili majoriti ahli Umno mahupun kehendak rakyat Kedah.

Beliau juga berkata, ahli majlis eksekutif yang tidak menghadiri mesyuarat exco Kedah yang dipengerusikannya Rabu lalu, juga perlu memohon maaf kerana gagal menjalankan tugas mereka.



4 ulasan:

Awanama berkata...

Najib menambahkan lagi rekod kegagalan nya. Kegagalan yang lain boleh dihadapi kerana bukan peribadi sangat tetapi isu Mukhriz terlalu peribadi. Najib mempertaruhkan segala maruah yang ada. Kalau Najib kecundang, Mahathir pun mesti kecundang. Bagi Najib dua-dua mesti terjun.

Tetapi apa-apa pun Najib mahu dikenang sebagai pemimpin yang telah menewaskan Mahathir seorang pemimpin yang hebat.

Awanama berkata...

Dari dulu pertelingkahan antara pemimpin nombor 1 dengan sesiapa pun, tidak ada kena-mengena secara langsung dengan sesiapa pun. Perjuangan Anwar adalah semata-mata atas sebab peribadi. Apa yang berlaku ke atas Mukhriz dan di Kedah tidak ada kena-mengena dengan negeri lain walaupun kepala nya orang yang sama. Peribadi kerana bersifat dendam.

Alasan menyokong walaupun tahu akan akibatnya buruk ialah kena patuh dan setia dengan Ketua sedangkan tindakan Ketua atas sebab peribadi.

Jangan ingat apa yang berlaku di Kedah adalah masalah Kedah sahaja sedangkan yang buat masalah ialah orang yang sama memberi masalah pada negara.

Awanama berkata...

Pada aku pulak yang menjadi penyebab utamanya ialah Hadi Awang.
Itu sebabnya aku kata kalau jumpa Najib dan ular, kotok Hadi Awang dulu.

Awanama berkata...

Tetapi, pada aku, yang PKR tu buat apalah mengada-ngada yang kononnya nak menunjukkan sokongan pada Mukhriz. Siap demo pulak. Tang tu aku kata memang bangang jugak PKR ni.
Tak taulah, kok masyuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuk.