27 Okt 2015

Penyertaan Anak Muda Perkukuhkan AMANAH

Anak muda Amanah Oleh A Shukur Harun

Hanya baru beberapa bulan, Parti Amanah Negara (Amanah) lahir secara rasmi sebagai parti politik, kini sudah mendapat sambutan luar biasa daripada golongan anak muda, di samping golongan veteran.

Ini tentunya menunjukkan mereka melihat Amanah sebagai parti politik masa depan tanah air, bukan saja daripada segi ketokohan pimpinannya, dasarnya, bahkan hala tujunya.

Ini kerana ia dilihat sebagai parti berpandangan jauh ke depan, berpaksikan Islam dengan wajah yang ramah, tidak bengis, terbuka dan mampu memenuhi cita rasa rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Sebenarnya tidak mudah untuk anak muda memilih sesebuah parti politik, justeru mereka melihat parti politik negara ini dan pimpinannya dibebani pelbagai dogma, hambatan perkauman, pandangan agama yang sempit dan pelbagai lagi constrain. Maka itu, anak muda, yang mempunyai pemikiran kritikal terhadap establishment, amat sukar menyertai jalur politik parti yang ada.

Bagaimanapun, kini anak muda ini melihat Amanah sebagai parti pilihan mereka, dalam banyak hal, Amanah memenuhi cita rasa mereka.

Saban hari, Amanah menerima ratusan malah ribuan permohonan ahli baru yang berminat menyertai parti ini kerana dasarnya jelas demi menyelamatkan negara daripada terus dipimpin golongan tidak beramanah. Misinya ialah menuju Malaysia baru yang berintegriti dan progresif.

Parti itu dilihat berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran keahlian sebanyak 15,000, khususnya pemuda, yang berusia di bawah 35 tahun menjelang akhir tahun ini.

Ini sebagai nilai tambah kepada keahlian pemuda yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dan profesion. Maka dalam kenyataannya, Pemuda Amanah turut gembira menerima kemasukan tokoh anak muda yang menempa nama di peringkat nasional kerana melibatkan diri dengan isu rakyat.

Sehubungan itu, Pemuda Amanah mengumumkan kemasukan tokoh anak muda menyertai keluarga besar Amanah dan diberi kepercayaan pula untuk memimpin barisan hadapan Pemuda Amanah. Antara mereka ialah Wan Anwar bin Wan Ibrahim, Azan Safar, Khairol Najib bin Hashim, Mohamad Ammar Atan dan ramai lama tokoh anak muda terpelajar yang menyerlah, menyertai Amanah.

Mereka adalah bekas pemimpin pelajar dalam dari universiti dalam dan juga luar negeri.

Azan umpamanya diamanahkan sebagai naib ketua Pemuda Amanah.

Anak muda ini kini menjadi golongan profesional yang berjaya seperti peguam, ahli ekonomi, jurutera, arkitek, doktor dan pelbagai lagi. Mereka dalam posisi yang penting dan dijangka akan memberikan sumbangan penting kepada kemajuan Amanah.

Parti Amanah memang sentiasa membuka ruang dan peluang kepada anak muda untuk bersama-sama menyumbang idea dan tenaga ke arah membina keutuhan parti untuk membina masa depan negara yang gemilang.

Kini Amanah yakin akan lebih ramai lagi anak muda dalam pelbagai lapangan menyertai parti baru ini.

Sementara itu, aktivis Amanah, seluruh negara kini bergerak cergas berkempen menambah ahli parti. Setakat ini, sambutan pelbagai golongan rakyat sangat memberangsangkan.

Umpamanya, di pelbagai pasar malam dan pagi di pelbagai kawasan, kelihatan aktivis Amanah bergerak cergas mendaftarkan ahli baru. Mereka yang mengisi borang keahlian bukan saja kaum Melayu, bahkan pelbagai kaum.

Di sini, walaupun Amanah berakar tunjang Islam, tetapi ia parti yang terbuka untuk semua kaum. Kebanyakan mereka yang mengisi borang keahlian, faham dasar dan matlamat Amanah setelah mendengar pelbagai ceramah tokoh Amanah, di samping daripada portal berita dan risalah diedarkan aktivis Amanah serta pelbagai saluran maklumat lagi.

Dengan kerancakan dunia siber, news on line mempermudah lagi penyebaran maklumat mengenai Amanah.

Dalam beberapa tinjauan saya di pasar pagi di beberapa bandar di Selangor dan Wilayah Persekutuan, umpamanya aktivis Amanah menghulurkan risalah parti itu kepada orang ramai. Mereka menerima dengan baik risalah itu, malah ramai yang berkata, "Kami tahu Amanah, parti baru. Kami mahu menjadi ahlinya."

Perkembangan Amanah yang begitu pesat ini sudah tentu kehadirannya amat dirasakan masyarakat. Bagi yang memahami keseluruhan penubuhan Amanah dengan segala sejarahnya yang sangat dramatik, mereka merasakan parti ini bukan sebarang parti, tidak boleh dipandang remeh. Mereka meremehkan kehadiran Amanah, saya kira, terkejut disebabkan menghadapi masalah psikologi yang pelbagai.

Di mana mereka terkejut, tidak menyangka dalam umur yang sangat muda itu, Amanah sudah sangat dirasakan kehadirannya pelbagai pihak, sama ada yang menyukainya, mahupun yang membencinya.

Kini Amanah tidak perlu menoleh ke belakang, memandang kiri dan kanan untuk melayani pelbagai karenah. Tetapi Amanah akan terus memandang ke depan, looking forward dengan jiwa besarnya.

Ia tidak akan membalas sebarang serangan dan tuduhan kepadanya daripada pelbagai pihak. Namun begitu tentunya ia akan menjelaskan dengan hujah fakta dan ilmu jika ada pandangan mengelirukan terhadap kewujudan Amanah, justeru ini adalah kewajipan untuk menjelaskan sebarang kekeliruan.

Langkah ini sesuai dengan dasar Islam yang dipegang teguh Amanah untuk melaksanakan fungsi Islam sebagai rahmat seluruh alam.

Di sinilah saya teringat kata-kata pemimpin Ikhwanul Muslimin, allahyarham Imam Hasan Al-Banna, "Kamu sebagai petugas Islam hendaklah bersifat sebagai pohon berbuah ranum. Orang melemparnya dengan batu, kamu membalasnya dengan buah ranum. Itulah kerja dakwah."

Katanya lagi:"Kamu hendaklah bersifat seperti minyak wangi, disukai semua orang, diletakkan di mana pun, ia tetap berbau harum."

Di sinilah saya yakin Amanah akan terus memperbanyak sahabat, mengurangkan musuh. Inilah sebenarnya inti sari yang dinamakan politik Islam. Amanah akan menebarkan keharumannya dengan sifat politik santun – muwajahah silmiyah.

DARI REKOD


KEMASUKAN TOKOH-TOKOH ANAK MUDA KE DALAM PARTI AMANAH NEGARA (AMANAH)

Parti Amanah Negara (AMANAH) menzahirkan kesyukuran yang tidak terhingga atas kemudahan dan kelancaran perjalanan parti yang baru ditubuhkan sejak lebih sebulan lalu dengan sambutan yang amat luar biasa dari pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.

Saban hari, AMANAH menerima ratusan malah ribuan permohonan ahli baru yang berminat menyertai parti ini atas dasar yang jelas demi menyelamatkan negara dari terus dipimpin oleh kerajaan yang tidak beramanah dan menuju Malaysia baru yang lebih berintegriti dan progresif.

Pemuda AMANAH Nasional khasnya sedang berada di atas landasan yang tepat untuk mencapai sasaran keahlian sebanyak 15000 pemuda yang berusia di bawah 35 tahun menjelang akhir tahun ini.

Sebagai nilai tambah kepada keahlian pemuda yang mempunyai kepelbagaian latar dan profesion, Pemuda AMANAH Nasional turut berbesar hati menerima kemasukan tokoh-tokoh anak muda yang telah menempa nama di peringkat nasional dengan aktivisme yang peduli isu dan rakyat.

Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Nasional dengan bangganya mengumumkan kemasukan tokoh-tokoh anak muda berikut untuk bersama kami dalam keluarga besar AMANAH dan diberi kepercayaan memimpin barisan hadapan Pemuda AMANAH.

Wan_Anwar_Wan_Ibrahim

1) Wan Anwar bin Wan Ibrahim

Beliau merupakan pengasas kepada Centre for Political and Economic Transcendence (COMPETENT), sebuah gerakan advokasi ke arah suatu pembaharuan dan perubahan politik dan ekonomi baru dalam negara. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kejadian) dan juga Sarjana (Undang-undang Perbankan) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan kini beramal sebagai seorang Peguambela dan Peguamcara (Malaya) di samping turut merupakan seorang Peguam Syarie.

Wan Anwar juga merupakan seorang pemimpin mahasiswa semasa di universiti. Beliau adalah mantan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa, Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA) dan pernah mengetuai rombongan KARISMA dalam lawatan kerja di luar negara.

Sebagai seorang profesional, Wan Anwar juga merupakan ahli lembaga pengarah dan penasihat undang-undang kepada pelbagai koperasi serta pernah membentangkan kertas kerja akademik dalam konvensyen akademik di peringkat kebangsaan dan juga terlibat aktif dalam forum-forum akademik, undang-undang, ekonomi dan perniagaan. Selain itu beliau juga sering diundang untuk memberikan pandangan mengenai isu-isu perundangan dalam media-media massa.

Sebagai seorang aktivis masyarakat, Wan Anwar kini merupakan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama, Pengerusi Persatuan Penduduk dan juga Wakil Pemuda Surau di kediaman beliau.

Wan Anwar juga adalah seorang aktivis sosial yang mana beliau merupakan mantan Pengarah Operasi i-Bantu IKRAM negeri Selangor, iaitu sebuah sayap khidmat masyarakat Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang terlibat secara aktif dalam mengkoordinasikan bantuan dan pembangunan semula negeri-negeri yang telah terkesan teruk akibat bencana banjir yang melanda negara pada hujung tahun 2014 selain beliau juga adalah Pengerusi pertama kepada Persatuan Alumni Pusat Pendidikan Al-Amin Selangor.

Wan Anwar sekarang diamanahkan sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

image

2) Azan Safar

Beliau yang berusia 26 tahun, adalah merupakan bekas aktivis mahasiswa yang giat aktif memperjuangkan isu-isu kemahasiswaan termasuklah kebebasan akademi dan autonomi universiti dan juga isu-isu nasional terutamanya yang melibatkan soal kepentingan rakyat terbanyak. Berlatarbelakangkan Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan merupakan seorang Hafiz berkelulusan Darul Quran wal Qiraat JAKIM, beliau telah diberi kepercayaan selaku Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) bagi sesi 2013/2014.

Ketika memegang posisi Presiden GAMIS, beliau secara proaktif telah memimpin gerakan mahasiswa turun ke dalam masyarakat secara langsung termasuklah melibatkan GAMIS secara aktif dalam menjayakan siri-siri himpunan bantahan rakyat. Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, Azan Safar telah memimpin Gerakan Tolak Kerajaan UMNO/BN (TOLAK) dan mengetuai siri jelajah TOLAK ke seluruh negara bagi memberi penerangan dan berkempen kepada masyarakat untuk menolak kepimpinan lemah UMNO/BN pada pemilihan yang lalu.

Antara sumbangan beliau paling signifikan dan memberi impak yang besar kepada landskap perjuangan rakyat tertindas adalah kejayaan beliau mengasaskan dan memimpin Gerakan Turun Kos Sara Hidup atau popular dengan panggilan Gerakan TURUN yang berobjektifkan untuk mengangkat isu-isu utama yang bertemakan penindasan rakyat terutamanya isu kenaikan kos sara hidup yang tidak terkawal.

Melalui gerakan TURUN, beliau telah berjaya mengumpul sokongan ratusan ribu rakyat dengan siri jelajah penerangannya di seluruh negara dan berjaya mengetuai Himpunan TURUN secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada malam sambutan Tahun Baru 2014, sehingga telah menyebabkan kerajaan bereaksi terhadap gelombang kebangkitan itu dengan membuat tahanan lokap terhadap beliau dan mendakwanya atas tuduhan untuk menggulingkan kerajaan.

Hari ini, Azan Safar, telah diamanahkan sebagai Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional.

kn
3) Khairol Najib bin Hashim

Baru berusia 23 tahun dan beliau merupakan mahasiswa Tahun Akhir Sarjana Muda Syariah (Sains Politik Islam) serta aktif dalam persatuan-persatuan mahasiswa di universiti Malaya. Antaranya beliau pernah memimpin dan menjadi Pengasas Bersama Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN) yang merupakan sebuah koalisi kesatuan-kesatuan mahasiswa di negara ini dalam memperjuangkan kebebasan akademik, pendidikan percuma dan hal ehwal semasa.

Selain itu beliau juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden 1 Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS) dan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaysia (PMIUM) sesi 2014/15 serta Presiden Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak (Bersatu Perak) sesi 2013/14.

Aktiviti kemahasiswaan beliau di peringkat nasional terbukti berkesan memberikan impak yang amat positif apabila beliau turut mengepalai Gerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU dan Akta 174 (GMMA/174) selain bertindak sebagai Koordinator Bersama Aksi #LangkahSiswa dan OCCUPY UM.

Dalam aktiviti kemasyarakatan, beliau sangat aktif bersama Gerakan Rakyat Bela Kg. Chubadak Tambahan dan isu Pengusiran Rakyat dalam Tanah Rizab Melayu selain bersama dalam Gerakan Rakyat Menuntut Pembelaan Harga Getah.

Beliau juga pernah menggerakkan usaha membantu mangsa-mangsa banjir di Kelantan dengan bertindak sebagai Pengarah Operasi Misi Banjir Mahasiswa (MBM) pada penghujung tahun lepas.

Dalam isu GST pula, beliau terlibat bersama aktivis sosial yang lain memperjuangkan pemansuhan GST sehingga ditangkap dan proses pendakwaan mereka masih berjalan di Mahkamah.

Terkini, beliau diberi kepercayaan dalam kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional sebagai Pengarah Pembangunan Kepimpinan.

ammar
4) Mohamad Ammar Atan

Ammar Atan merupakan mahasiswa tahun akhir dalam bidang Ekonomi dari Universiti Malaya. Beliau yang juga merupakan mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) sesi 2014/15, pernah mewakili Universiti Malaya dalam sesi “Rundingan Meja Bulat Kebangsaan 2015” anjuran Kementerian Belia dan Sukan yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia selain membentangkan beberapa siri kertas kerja dalam persidangan di peringkat kebangsaan.

Antaranya, beliau pernah mewakili Universiti Malaya untuk membentangkan kertas bertajuk “Islamic Economy; Remedy to Domestic and International Economic Problems?” pada 2013 di UIAM, Gombak dan kertas bertajuk “Mahasiswa dan Negara” dalam sebuah persidangan anjuran GAMIS sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Bakat kepimpinannya sangat cemerlang kerana beliau juga pernah mengetuai badan-badan perwakilan di peringkat Universiti seperti Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS) pada 2014 sebagai Presiden, Bendahari Persatuan Mahasiswa Selangor (PERMAS) dan Ketua Eksekutif Sekretariat Mahasiswa Universiti Malaya (UMESS) sesi 2013/14.

Di peringkat nasional, beliau aktif memperjuangkan kebebasan akademik, media dan ekonomi rakyat menerusi Gerakan Merdeka Rakyat yang beliau sendiri ketuai.

Selain itu, Ammar juga terlibat secara aktif dalam dunia aktivisme perjuangan rakyat dengan solidariti bersama Rakyat Kg. Chubadak, selain bersama menggerakkan dan memobilisasi mahasiswa dalam Demonstrasi Bantah GST di KLCC selaku Presiden PMUM.

Beliau turut terlibat dalam protes “Langkah Siswa” di Parlimen Malaysia pada Ogos 2015, dan pernah ditahan di lokap untuk tempoh tertentu.

Ammar juga aktif dalam penulisan dan hasil tulisan beliau turut mendapat tempat di kebanyakan media alternatif seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider, The Malay Mail, Berita Harian, Sinar Harian, Harakah Daily, dan RocketKini. Hasil penulisan beliau dibaca dan turut dimuatkan dalam blog peribadinya di pautan ammaratan.blogspot.my.

Kini beliau diberi kepercayaan dalam kepimpinan Pemuda AMANAH Nasional sebagai Timbalan Pengarah Pembangunan Kepimpinan.

AhygVV-QFAonnErGbNZ2F4CEMvLob5XAcavVHHDa3XRo

AMANAH sentiasa membuka ruang dan peluang selain meraikan anak-anak muda Malaysia untuk bersama-sama menyumbang idea dan tenaga ke arah membina masa depan negara yang lebih gemilang.

Pihak AMANAH penuh yakin bahawa masa depan negara ini akan lebih terjamin di tangan anak muda hari ini yang dibentuk dan dilibatkan bersama secara serius dalam mewarnai aktiviti kemasyarakatan dan politik negara.

Justeru, kami di pihak AMANAH amat mengalu-alukan penyertaan lebih ramai anak muda untuk menyertai AMANAH dan optimis lebih ramai anak-anak muda berprestasi tinggi akan bersama kami dari semasa ke semasa.

Selain itu, Pemuda AMANAH Nasional juga ingin mengumumkan senarai penuh perjawatan dalam Pemuda AMANAH Nasional seperti berikut:-

Ketua Pemuda: Sany Hamzan

Timbalan Ketua Pemuda: Faiz Fadzil

Naib Ketua Pemuda (Politik): Shazni Munir Mohd Ithnin

Naib Ketua Pemuda (Hubungan Luar): Ustaz Fakhrul Razi Mokhtar

Naib Ketua Pemuda (Pembangunan Masyarakat): Azan Safar

Naib Ketua Pemuda (Kenegaraan dan Isu Semasa): Wan Anwar Wan Ibrahim

Bendahari: Burhanuddin Othman

Setiausaha: Ikbal Ahmad

Penolong Setiausaha: Muhammad Ramadan

Penolong Setiausaha: Ikdar Husin

Penolong Setiausaha: Ikmal Amar

PENGARAH-PENGARAH BIRO

Pengarah Komunikasi: Muhamad Fadzil Ahamad

Pengarah Strategi: Hilmi Radzuan

Pengarah Pembangunan Kepimpinan: Khairol Najib Hashim

Timbalan Pengarah Pembangunan Kepimpinan: Mohamad Ammar Atan

Pengarah Pilihanraya: Muhammad Taqiuddin Cheman

Timbalan Pengarah Pilihanraya: Danial Al Rashid

Pengarah Media Baru: Affzan Abdullah

Pengarah IT dan Infrastruktur: Mohd Munsif

Pengarah Keahlian: Zainal Lutfi

Pengarah Perbendaharaan: Zuhan Zakaria

Pengarah Undang-undang: Zaki Sukery

Pengarah Pendidikan Politik: Hasbie Muda

Pengarah Hal Ehwal Ekonomi: Syed Mujahid

Pengarah Hal Ehwal Pendidikan: Ahmad Zubair Wan Ab. Rahim

Pengarah Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar: ‘Asim Abdullah Ainollutfi

Pengarah Pemuda ARiF: Yuswan

Pengarah Sukan: Muriza Hazrul

Pengarah Seni & Kebudayaan: Abbas Azmi

Pengarah Kebajikan dan Kesukarelawanan: Hasnul

Pengarah Kerjaya & Keusahawanan: Ustaz Ridzuan Zolkafli

Pengarah Hubungan Antarabangsa: Dr Mohammad Fazli Azizan

Pengarah Hubungan NGO: Muhammad Najib Abdurrahim

Pengarah Hubungan Pekerja Muda: Dr Muhammad Omar

Pengarah Hal Ehwal OKU: Muhammad Yusof

Sekian, terima kasih.

Haji Salahuddin bin Ayub
Timbalan Presiden AMANAH



10 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

SYABAS! Untuk anak2 muda yg sedar!

Tanpa Nama berkata...

TAHNIAH DAN SYABAS...
TERUSKAN MOMENTUM PERJUANGAN SAUDARA2.... sebagaimana saya juga pernah meneruskan momentum ini selepas graduasi dari UM pd th 86.... namun hari ini kecewa dgn arah tuju perjuangan PAS di bwh kepimpinan TGHH...

omar daud berkata...

Salam:
SYABAS,

Bravo,Looking forward,gerak-kerja yg hebat,pergi ka-pasar2 malam cari ahli!!THUMB UP!!semangat ini PKR tak ada,sayang 1000x sayang PKR tidak ada programe utk ahli baru cuma 500k sahaja sejak 1999.tambah lagi bila dapat memerintah selangor,segala activiti utk ahli NIL,nahi kabi nahi.

Insyallah,dgn ada pemuda yg lasak dan mempunyai idealisma boleh menjadi "CATALYST" terus memperkukuhkan parti.diharapkan dimulakan activiti2 utk ahli2,ahli mencari ahli.

go AMANAH go.

Wassalam.

Timnajib Jomfikir berkata...

Mempunyai ilmu dunia dan hebat menguasai ilmu akhirat.

Tahniah! Anak muda, kamulah yang akan memberitahu..kepada belia2 dikampung ajaran Islam bagaimanakah yang patut mereka ikuti.

Tanpa Nama berkata...

Takbirrr.

Tanpa Nama berkata...



Ranjau Sepanjang Jalan.

Tidak ada jalan mudah untuk menegakkan Islam.

Namun ini lah pilihan anak muda yang sedar betapa pahitnya pengalaman yang telah di lalui oleh abang-abang nya sebelum ini.

Allahuakhar !

GEBU berkata...

Alhamdulillah! Anak2 muda AMANAH yg diberikan ilham oleh Allah SWT utk menegakan kebenaran dan merealisasikan amanah kpd setiap manusia yg berpegang kpd SIMPULAN IMAN iaitu Dua kalimah sahadah. Hanya doa dari saya ...semoga semuanya ini mendapat keredhaan Allah SWT...Amin!

Tanpa Nama berkata...

Orang muda adalah asset paling bernilai yg mana kerajaan malaysia, gagal menghargai diaorg. Akibatnya asset yg berharga dengan senang shj negara lain ambil kesempatan dengan beri kewarganegaraan dengan cepat keatas semua orang muda berbakat. Buktinya blog ni dah pernah mengeluarkan isu ex ceo petronas yg sudah diambil olh singapura dan dijadikan warganegara singapore terus. For those golongan muda especially umur 20an dan 30an, please hargailah masa muda you krn salah satu perkara yg rasullulah saw sendiri pesan, beringat semasa muda sebelum tiba masa tua. Malaikat will never ever ever ask apa kita buat ssmasa kita tua but 1 trillion percent akn tanya apa yg kita buat semasa masih muda. Fikirkan dan renungkan.

Tanpa Nama berkata...

Setuju dengan anon 10 52 PTG.

Ada anak muda yang melakukan kejahatan konon bila tua tidak dapat lakukan atau bila tua boleh taubat. Sedangkan masa tua dah bertongkat dan mata pun kabur, nafas pun termengah-mengah........ Apa sangat yang malaikat nak tanya.

Namun ada yang dah tua menjadi lagi teruk dan mengulangi apa yang di buat masa muda. Sebab itu kebanyakan yang sudah tua akan menunjukkan sikap dan kesalahan yang dia buat masa muda seperti tamak kan kuasa, dengki dan suka menipu. Ya mereka berubah dari tidak berserban pakai serban dan yang berserban pulak dari berdakwah tiba-tiba lebih pentingkan politik seperti cukup sekadar berusaha membawa hudud ke DUN.

Lebih malang bila yang tua di beri semula kesihatan yang baik dan jika kesihatan nya kurang baik mungkin yang tua begini tidak buat kesalahan seperti yang di lakukan sekarang ini.

Bila masa tua. kita renung bagaimana iman kita masa muda adakah cantik ?


Waallahuallam.

Tanpa Nama berkata...

cikit nya ORANG yg join Amanah kalau dibandingkan dgn beribu2 BORANG keahlian pas... heheheheheeee

awat skrg tak dak berita serah borg keahlian pas? dah tak ada org join lg ke?