26 Jan 2015

[BONGKAR] Kemalangan Maut Di Melaka, Benarkah JPJ Tidak Mengejar Kereta Itu?


Kemalangan maut Melaka: Polis siasat laporan JPJ terlibat

MELAKA: Polis Melaka akan menyiasat dakwaan bahawa Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ) terlibat dalam kemalangan yang meragut empat nyawa di Jalan Serkam Pantai-Pulai pada Jumaat.

Menurut pegawai penyiasat, Inspektor Cornelius Loipin, pihaknya ada menerima satu laporan polis daripada saksi yang mengatakan ada cubaan daripada JPJ untuk mengejar sebuah Proton Perdana sehingga mengakibatkan kemalangan tersebut.

"Kita mendapat aduan orang awam ada JPJ cuba kejar pemandu Perdana. Namun begitu, kita masih menjalankan siasatan sama ada dakwaan itu benar atau tidak. Tetapi setakat hari ini, terdapat satu laporan saksi daripada orang awam yang mengatakan JPJ cuba untuk mengejar.


"(Tentang) Kejadian melibatkan JPJ, polis akan menyiasat lebih lanjut... kita tak boleh kata JPJ salah, kita akan siasat lebih lanjut lagi," kata Cornelius.

Difahamkan kemalangan tersebut berpunca daripada sebuah kereta Proton Perdana yang dikatakan memasuki arah bertentangan dan merempuh kereta jenis Perodua Kancil sehingga menyebabkan dua mangsa tercampak keluar dan dua lagi tersepit di dalam kenderaan.

Polis Melaka dalam pada itu meminta lebih ramai saksi tampil untuk membuat laporan bagi membantu siasatan.

Cornelius berkata, keterangan saksi amat perlu berikutan dakwaan terbabit di mana pemandu Proton Perdana itu turut mengalami kecederaan akibat kejadian tersebut.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu mengorbankan empat sekeluarga iaitu Saimah Wahab, 77; Ida Dollah, 46, dan dua anaknya, Siti Rohana Abd Ghaffar, 23, dan Siti Rohani, 18.

Sementara itu, suami mangsa, Abd Ghaffar Said bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana mahukan keadilan akibat kelalaian pengguna jalan raya sehingga menyebabkan ahli keluarganya terkorban.

Beliau amat berharap lebih ramai saksi tampil membuat aduan bagi melancarkan siasatan.


"Saya minta orang ramai tampil menjadi saksi dalam kemalangan semalam yang melibatkan anak isteri saya," kata Abd Ghaffar.

Terdahulu, JPJ menafikan laporan yang mendakwa mereka terlibat secara langsung dalam insiden kemalangan tersebut.

Kesemua mangsa yang dibedah siasat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Panjang Sari, Pagoh selepas Zohor. -astroawani


JPJ nafi jadi punca kemalangan maut empat individu di Melaka

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan laporan yang mengatakan empat individu maut selepas kereta yang mereka naiki dirempuh akibat diburu JPJ.

Berikut adalah kenyataan penuh JPJ yang dimuatnaik menerusi laman rasmi Facebook jabatan tersebut:

"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil serius laporan berita tidak sahih yang dikeluarkan oleh salah sebuah media tempatan.

"Di dalam laporan tersebut menyatakan bahawa kemalangan yang berlaku di Melaka pada 23 Januari 2015 pukul 4.15 petang adalah disebabkan proton perdana dari arah Merlimau yang diburu pasukan JPJ sehingga memasuki jalan bertentangan berlangar dengan produa kancil dan menyebabkan 4 maut di tempat kejadian.

"Ibu Pejabat JPJ telah menerima laporan penuh daripada JPJ Negeri Melaka berhubung dengan situasi sebenar yang berlaku iaitu, 4 anggota JPJ yang sedang menjalankan tugas rondaan terserempak dengan sebuah kemalangan dan telah memberi bantuan yang sewajarnya sementara menunggu pihak polis sampai ke tempat kejadian.

"Berikutan dengan itu, laporan Polis telah dibuat oleh anggota yang berada di tempat kejadian bagi menjelaskan situasi sebenar dan menafikan laporan berita yang dikeluarkan oleh media tempat tersebut.

"JPJ melahirkan rasa kecewa dengan laporan berita yang ditulis tanpa membuat rujukan sahih daripada pihak jabatan.

"Siasatan sedang dibuat berhubung dengan laporan berita tersebut."
-astroawani


ULASAN GB

Kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kejadian tersebut dengan seadil-adilnya.

Apakah benar pihak JPJ tidak mengejar kereta Proton Perdana tersebut dan hanya terserempak dengan kemalangan lalu memberi bantuan sedangkan ada laporan polis dari saksi kejadian menyatakan "ada cubaan daripada JPJ untuk mengejar sebuah Proton Perdana sehingga mengakibatkan kemalangan"?

Daripada laporan polis yang dibuat oleh pegawai JPJ berkenaan nampak seperti kurang logik... terserempak .. berarti secara kebetulan...

Mungkin kereta Perdana itu ada membuat kesalahan, dan JPJ berhak untuk mengejar dan menjejakinya. Tetapi pegawai JPJ membuat laporan polis menyatakan mereka tidak mengejarnya. Apakah kerana apabila mendapat tahu ada kematian, maka pegawai JPJ berkenaan terus mengambil keputusan membuat laporan polis menyatakan mereka terserempak, bukan mengejar kereta berkenaan?

Sebelum ini, ada saksi menyatakan mendengar siren dibunyikan oleh kereta peronda JPJ berkenaan sewaktu mengejar kereta Perdana berkenaan. Apa-apa pun kita meminta saksi-saksi kejadian tampil supaya KEBENARAN dapat ditegakkan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasatnya dengan adil. Jika benar JPJ mengenjarnya, pegawai JPJ berkenaan boleh didakwa membuat laporan polis palsu.

9 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mengikut undang2 syariah, orang yang melanggar kena bayar diyat kepada waris mangsa, bukan potong tangan

Tanpa Nama berkata...

Kita tengok siapa yg kena.aku curiga jugak Dan Dan JPJ Buat laporan polis.mcm ada sesuatu yg tak kena

Tanpa Nama berkata...

Kalau tak kentut kena nak tutup hidung ???

Kerja JPJ memang tak boleh kaya , tak payah fikir nak jadi kaya main kejar kejar ke atau tengok tengok ke.....

Apa lagi yang tak cukup ????

Tanpa Nama berkata...

sekatana jalan harus ada beberapa tempat.

tidak perlu mengejar kereta yg melakukan kesalahan.

sekatan jalan seterusnya di hadapan akan menangkap kereta tersebut.

Tanpa Nama berkata...

Ni mesti kes terlebih tengok action movies, fast & Furious, Die Hard..

Tu yang x fikir keselamatan orang lain.

Tanpa Nama berkata...

Polis dan JPJ dua dua adalah agensi kerajaan sama seperti SPRM Semuga harapan GB di siasat dengan se adil adilnya menjadi kenyataan

Jika kereta Perdana di syaki kereta curi JPJ tidak ada kemampuan untuk mengejarnya seperti mana Peronda Polis mengejar kereta suspek dan mengepung kereta tersebut JPJ sepatutnya melapurkan kepada Polis dan minta bantuan di beri segera

JPJ hanay boleh mengekori perdana setakat yang mereka boleh dan mengunakan hp untuk merakam kan gambar perdana kerana maklumat kenderaan tersebut ada dalam sistem JPJ

Kejar mengejar ialah Peronda Polis itu pun untuk menangkap pengedar dadah dan penjenayah kerana jika pemandu melanggar lampu merah Polis tak bunyi kan siren kereta semasa mengejar

kerana melibatkan sekeluarga maut mereka yang saksi kejadian tersebut hendaklah tampil memberi keterangan 24

Tanpa Nama berkata...

JPJ=JABATAN PALING JAHAT

Tanpa Nama berkata...

Harga nyawa 4 manusia lebih berniali dari harga sebuah kereta perdana yang lama.

Berapa lama usia kereta perdana tu dan berapa harga di pasaran? munkin di bawah rm 20ribu.?

Berapa nilai pula nyawa manusia yg terkorban - sememangnya tak ternilai & tak ada ganti bagi keluarga yang terlibat.

allahualam bisawab.

Tanpa Nama berkata...

Kalau betul jpj terlibat maka rakyat merasa sgt kesal dgn tindakan mereka membahayakan nyawa pengguna jalan raya. Merka tak sepatutnya mengejar pengguna spt mengejar penjenayah. Memadailah dgn mengenakan saman berdasarkan no pendaftaran kenderaan. Skg teknologi dah canggih blh online dsb. Jgn terlalu angkuh tunjukkan kuasa sdgkan gaji mereka dibayar dgn cukai rakyat.