11 Sep 2014

Tweet Merapu, Menteri UMNO Diselar Ahli MPKN


Ahli MPKN selar 'serkap jarang' menteri

Kritikan seorang menteri Umno terhadap cadangan draf pengganti Akta Hasutan 1948 tanpa membacanya atau menghadiri siri perbincangannya mengundang kritikan balas anggota Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN).

Ahli Jawatankuasa Perundangan dan Dasar MKPN Zharif Badrul berkata, tindakan Datuk Abdul Rahman Dahalan yang dibuat melalui siri tulisan di Twitter, sebenarnya hanya menjejaskan imejnya sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

“Budaya antiintelektual yang hanya mengambil pendekatan serkap jarang dan bertindak tanpa membuat "homework" (kerja rumah) terlebih dahulu hanya menjejaskan imej YB sendiri yang juga merupakan seorang menteri,” katanya.

Rahman dalam siri tweetnya semalam antaranya membidas anggota MPKN Datuk Saifuddin Abdullah yang mencadangkan Akta Hasutan digantikan dengan draf rang undang-undang MKPN.

Rahman juga menyelar MKPN kerana menganggap draf yang dikemukakan mereka sebagai muktamad sedangkan tugas majlis itu hanya memberikan input dan mencadangkan undang-undang baru.

Dalam tulisan balas yang disiarkan The Malaysian Insider hari ini, Zharif membela Saifuddin yang menurutnya telah turun padang mendengar pandangan akar umbi berhubung perkara itu.

“Sekurang-kurangnya, MKPN khususnya Saifuddin berani untuk duduk bersama rakyat dan mendengar pandangan daripada akar umbi, bukannya hanya sekadar duduk di atas kerusi dan tweet semberono tanpa mahu mengambil tahu kehendak rakyat,”
tulisnya.

Zharif dalam tulisannya itu juga berkata, mereka sedia maklum bahawa penggubalan undang-undang adalah tugas Pejabat Peguam Negara sebelum dihantar ke kabinet dan diluluskan di Parlimen.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak bererti proses konsultasi tidak boleh dilaksanakan, seperti inisiatif kerajaan menjalankan perundingan di seluruh negara untuk mendapatkan maklum balas masyarakat.

Justeru, katanya, MKPN sekadar membantu kerajaan mendapatkan input serta cadangan berkenaan Akta Harmoni Nasional yang diilhamkan sendiri Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak untuk menggantikan Akta Hasutan.

“Usaha NUCC adalah memastikan agar Akta Harmoni Nasional tidak mewarisi ciri-ciri drakonian dan opresif seperti yang diwariskan penjajah British dalam Akta Hasutan,” katanya lagi.

LAPORAN SEBELUMNYA


Akta Keharmonian Nasional: Rahman Dahlan bidas Saifuddin Abdullah di Twitter

KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Rahman Dahlan secara terbuka telah membidas Datuk Saifuddin Abdullah di laman Twitter berhubung draf cadangan Akta Keharmonian Nasional oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang akan dikemukakan kepada Putrajaya, tidak lama lagi.

"Saya tidak bersetuju dengan pandangan Datuk Saifuddin yang mahu cadangan draf bagi Akta Keharmonian Nasional digantikan dengan versi MKPN.

"Saya percaya MKPN hanya ditugaskan untuk menyalurkan input bagi undang-undang baru yang dicadangkan itu dan bukannya merangka keseluruhan peruntukan Akta tersebut," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Jelas beliau MKPN sepatutnya mengemukakan dahulu pandangan mereka untuk dipertimbangkan kerajaan, tetapi katanya Saifuddin bercakap seolah-olah draf itu telah pun dimuktamadkan, dan ianya salah.

Abdul Rahman mempersoalkan kenapa Saifuddin dan MKPN telah mendedahkan kepada umum isi kandungan cadangan tersebut sebelum ianya diterima sendiri oleh kabinet.

"Sebab itu saya kata MKPN perlu menyerahkan kepada kerajaan dahulu sebelum mendedahkan isi kandungan draf undang-undang itu kepada media. Itu tidak adil," katanya yang juga Ahli Parlimen BN-Kota Belud.

Tegasnya, perkara itu akan hanya menimbulkan kekeliruan kepada ramai pihak.

Kata beliau lagi, versi muktamad Akta Keharmonian Nasional itu sepatutnya berdasarkan pandangan orang ramai dan bukan hanya MKPN.

Sementara itu, Saifuddin mempertahankan pendiriannya. Katanya cadangan supaya kerajaan mengguna pakai draf Akta Keharmonian Nasional versi MKPN hanyalah pandangan dirinya.

Beliau mengalukan sebarang maklumbalas mengenai cadangan tersebut, tetapi tetap mempertahankan haknya untuk bersuara.

"Saya tidak pernah kata ianya muktamad. Ia masih dalam proses perundingan. Kerajaan masih boleh mendapatkan pandangan pihak lain selain MKPN. Kata akhir adalah dari kerajaan," kata bekas ahli Parlimen BN-Temerloh itu menerusi akaun Twitternya.

Terdahulu, Saifuddin memaklumkan bahawa MKPN akan secara rasminya menyerahkan tiga cadangan undang-undang untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 kepada kerajaan, lapor The Malay Mail Online.

MKPN dijangka menyerahkan cadangan tersebut selepas membincangkannya dengan Putrajaya, pada 17 September nanti.

Jawatankuasa undang-undang dan dasar MKPN mencadangkan tiga undang-undang, iaitu Rang Undang-undang (RUU) Jenayah Kebencian Kaum dan Agama, RUU Keharmonian dan Perdamaian Nasional dan RUU Suruhanjaya Keharmonian dan Perdamaian Nasional.
-astroawani










IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





Tiada ulasan: