9 Sep 2014

PasMa - Gelombang & Harapan Baru Perkukuhkan PAS Dalam PR


Di forum PasMa, kemarahan terhadap Hadi Awang membuak

Forum pertama anjuran Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) malam tadi yang mensasarkan untuk menghalang sebarang kerjasama di antara PAS dan Umno menyaksikan hadirin meluahkan kemarahan terhadap parti Islam itu dan presidennya berhubung peranan mereka dalam krisis menteri besar Selangor.

Persoalan sama ada Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu dikenakan tindakan kerana menentang keputusan parti dalam isu menteri besar Selangor termasuk masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) diajukan kepada ahli panel Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

“Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat PKR kerana enggan menurut keputusan parti, apakah tindakan yang akan dikenakan terhadap Hadi kerana menentang keputusan parti dalam isu MB Selangor?” soal seorang hadirin disambut tepukan gemuruh di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdapat hadirin yang merungut bagaimana rosaknya imej PAS dalam menguruskan krisis ini sehingga seorang daripada hadirin mempersoalkan Mujahid mengapa beliau dan pemimpin seperti Dr Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad perlu memberikan penjelasan kepada orang ramai berhubung masalah dilakukan pemimpin lain.

Mujahid yang berhati-hati memberikan penjelasan kepada kira-kira 500 hadirin berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dan Hadi tidak dianggap maksum oleh parti Islam itu.

"PAS nak bersama dengan Umno, anda boleh mengandaikan apa yang anda ingin andaikan. Saya tidak boleh menyekat anda mengandai demikian.

"Saya mahu beritahu pada malam ini di depan kamera dan wartawan. Jangan misquote saya. PAS tidak ada apa-apa hasrat atau pun niat untuk bersama dengan Umno,” katanya disambut dengan tepukan hadirin pelbagai kaum di forum bertajuk PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju itu.

Mujahid berkata, tiada perjuangan dalam parti atau gerakan Islam yang mensucikan pemimpin tertentu dan mereka juga boleh ditegur kerana tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

AJK PAS Pusat itu berkata, ketaatan kepada pemimpin bukanlah bersifat mutlak kerana kepatuhan sepenuhnya hanya diberikan kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad.

“Kami orang PAS dididik dengan satu hadis Nabi Muhammad, ‘ketaatan manusia sesama manusia adalah ketaatan yang tidak mutlak manakala ketaatan kepada Allah dan rasul itu adalah mutlak’,”
katanya.

Bagaimanapun, Phahrolrazi berkata tindakan PAS akhir-akhir ini tidak menunjukkan mereka mahu terus bersama PR.

“Kadang-kadang kita lihat PAS berkata mereka akan terus kekal bersama PR, tetapi ia tidak jelas dalam tindakannya.


“Tidak dapat dinafikan agenda Umno adalah untuk melemahkan PR, dan PAS termasuk dalam perangkap itu dan sesetengah ahlinya terpengaruh.

“Kita sudah lihat ini berlaku. (Bekas timbalan presiden PAS) Ustaz Nasharuddin (Mat Isa) contohnya, sangat rapat (dengan Umno) dan mengikut perdana menteri ke mana-mana, tetapi beliau masih belum dipecat lagi,” katanya.

Phahrolrazi berkata, jika PAS mahu keluar dari[ada gabungan itu dan bersendirian, ia akan menguntungkan Umno kerana rakyat sudah tiada lagi gabungan alternatif untuk disokong.

"Kita (Pasma) tidak mahu PR runtuh. Kalau PR jatuh kita akan kembali kepada zaman 1950-an dan 1960-an di mana rakyat tiada pilihan,” kata bekas timbalan pesuruhjaya PAS Kedah itu.

"Politik sihat adalah rakyat mempunyai pilihan dan mereka yang berkuasa perlu sedar rakyat boleh menyingkirkan mereka,” katanya.

Rayuan presiden PasMa agar PAS kekal dalam PR disambut dengan sorakan hadirin yang setia menanti forum selama 3 jam itu.

PasMa, ditubuhkan ahli PAS yang mahu parti itu kekal dalam PR dan dilancarkan di Kota Baru pada 31 Ogos.

Bagaimanapun Mujahid enggan terheret sama dengan kekecewaan hadirin dengan peranan Hadi dalam krisis menteri besar Selangor dan dilihat masih membelanya.

Aziz bagaimanapun kurang bersetuju dengan kenyataan Mujahid yang dilihat terlalu mempertahankan Hadi.

Katanya, PAS tidak perlu membeza-bezakan ahlinya dalam mengambil tindakan kerana segalanya perlu diadili secara saksama.

“Saya kurang bersetuju dengan Mujahid. Kenapa tidak katakan dalam parti semua sama? Siapa saja boleh dikenakan tunjuk sebab.

“Kenapa mesti pertahankan presiden secara tidak langsung? Hendak buat apa? Semua orang tahu.

“Boleh terangkan dalam parti semuanya sama. Jangan ingat satu golongan manusia maksum, satu golongan tidak boleh tegur,” katanya.

Mujahid dalam menegakkan hujahnya berkata, apa yang dikatakannya adalah prosedur dalam parti dan terpulang bagaimana pihak tertentu menafsirkannya.

“Saya tidak kata begitu. Saya hanya katakan dalam disiplin ada prosesnya. Itu saja. Dia hendak tafsir saya mempertahankan, itu masalah dia,” katanya kepada Aziz. – TMI

'Kami tubuh Pasma sebab sayangkan PR'


KUALA LUMPUR - Presiden NGO Persatuan Ummah Sejahtera (Pasma), Datuk Pahrolrazi Zawawi berkata, penubuhan Pasma adalah kerana NGO tersebut bimbang dengan nasib yang menimpa Pakatan Rakyat sekarang.

Pahrolrazi berkata, PR adalah aset yang tidak ternilai kepada Malaysia, oleh sebab itu Pasma ditubuhkan bagi mengelak PR terkubur.

"Kita (Pasma) tidak mahu PR runtuh. Kalau PR jatuh kita akan kembali kepada zaman 50-an dan 60-an dahulu di mana rakyat tiada pilihan.

"Kalau runtuh PR rakyat Malaysia akan terima bencana,"
katanya pada Forum Pas Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor di sini hari ini.

Oleh itu, Pahrolrazi berkata, situasi sekarang menunjukkan PR berada dalam keadaan yang 'tenat' sehingga Pasma terpanggil untuk menyelamatkan keadaan.

"Politik sihat adalah rakyat mempunyai pilihan.

"(Apa yang) Berlaku di Selangor sudah sampai kemuncak nasib PR terumbang-ambing.

"Sudah ada bayangan peristiwa ingin menukar MB, bagaimana ada percaturan daripada Pas, sudah ada perbincangan bahawa kerajaan PR boleh jatuh dan digantikan dengan Khalid Ibrahim yang akan bekerjasaama Umno.

"Kalau tidak kerana dua wakil Pas yang memberi sokongan kepada Datuk Seri Wan Azizah, ianya berjaya menyelamatkan keadaan.

"Sebab itu melihat situasi sekarang PR dalam keadaan bahaya, jadi kami terpanggil untuk menyelamatkan keadaan,"
katanya.

Turut hadir dalam forum tersebut Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mujahid Yusof Rawa dan bekas pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Aziz Bari.
-SH


Derhaka kepada Sultan bukan kesalahan jenayah, kata pakar Perlembagaan


Tindakan PKR dan DAP menghantar 1 nama iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar tidak melakukan sebarang kesalahan walaupun dimurkai Sultan Selangor, kata Dr Abdul Aziz Bari.

Pakar Perlembagaan itu berkata undang-undang di Malaysia tidak menyifatkan derhaka kepada Sultan sebagai satu kesalahan jenayah dan ia tidak seperti yang ditetapkan di negara jiran Thailand.

“Setahu saya tidak ada undang-undang di Malaysia ini yang menjenayahkan apa yang dikatakan derhaka. Derhaka bukan satu kesalahan sebenarnya.

“Tidak seperti di Thailand iaya satu kesalahan. Sesiapa yang dianggap biadap kepada raja boleh dihukum dan sebagainya. Itu undang-undang mereka tetapi di sini tidak ada.

“Itu hak ‘pihak’ berkenaan menderhakakan sesiapa jadi katak atau apa,” katanya ketika berucap di forum PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahan baginda supaya mengemukakan lebih 2 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada masa sama, Sultan Selangor juga tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain daripada parti Pakatan Rakyat (PR) yang berkelayakan untuk dilantik memimpin negeri terkaya itu.

"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," titah Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan setiausaha sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani.

Aziz berkata, pihak istana perlu sedar urusan pentadbiran kerajaan negeri digerakkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat dan segala urusan pentadbiran berada di bawah tanggungjawab mereka.

Katanya, konsep demokrasi berparlimen jelas melindungi istana daripada terlibat dengan kancah politik berbeza seperti negara yang mengamalkan lantikan pemimpinnya secara terus.

“Adakah istana sanggup dilibatkan jika kerajaan ini gagal? Jika sistem ekonomi dan prestasinya gagal? Mahu? Jadi macam Brunei atau Saudi. Kerajaan itu lantikan peribadi raja. Apa-apa hal raja tanggung. Jangan komen, jangan kata, jangan kritik.

“Demokrasi berparlimen untuk lindungi istana supaya jangan terlibat dengan politik. Itu tujuannya,”
katanya kepada 400 hadirin yang menghadiri forum berkenaan.

Beliau turut membidas kenyataan Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman semalam yang menggesa rakan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) supaya akur kepada titah Sultan Selangor dalam kemelut melibatkan nama calon menteri besar yang masih berlarutan.

Katanya, bukan pemimpin PR yang menderhaka kepada institusi diraja sebaliknya perkara berkenaan terdahulu dilakukan oleh Umno dalam krisis pentadbiran sebelumnya.

“Saya dapati setiausaha PAS Selangor agak pelik kerana dia seolah-olah melihat ini satu usaha melawan dengan istana. Tiada siapa yang mahu berlawan dengan istana. Yang menuduh kita melawan istana adalah Umno.


“Dalam demokrasi tiada apa yang dikatakan kuasa mutlak. Dalam Islam pun tidak ada. Kuasa mutlak hanya kepada Allah, raja segala raja,” katanya.

Khairuddin dalam satu kenyataan semalam berkata kedegilan PKR dan DAP dalam kemelut menteri besar Selangor adalah perkara sia-sia kerana ia menyusahkan rakyat Selangor.

"PAS Selangor mohon rakan kita agar akur kepada titah Tuanku Sultan kerana kita tidak akan ke mana-mana apabila menentang institusi raja ini.

"Kita yakin kemelut ini boleh diselesaikan dan kita harap ia diselesaikan segera. Lagi lama kemelut ini berlaku, maka lagi susah rakyat kita.

"Cukuplah. Mari kita fikir pula masalah kebajikan rakyat yang sudah lama tergendala," katanya.
-TMI










IKLAN BERBAYAR

Jangan Biarkan Pasangan Anda Menderita,
Atasi Masalah Prostat & Kelemahan Zakar Dengan MEN CAPSULE.
KLIK SINI
LIKE kami di SINI





23 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bravo.... TGHA hari2 kuar TV3 dan RTM... Utusan pun sama. Pemimpin2 UMNO pun puji TGHA. Agaknya dalam pilihanraya nanti adakah UMNO akan sokong TGHA?

Ibn Sabil berkata...

Anon 10:35

Bukan saja Hj hadi, pemimpin2 UG yg lain sah tertonggeng spt Khairuddin At-Takiri (K.Nerus), Nasruddin tantawi (Temerloh) Mohd Abduh (Pasir Mas) Idris Ahmad (Bukit Gantang)

Dalam DUN-DUN, PAS Selangor akan terima musibah paling teruk.

Tanpa Nama berkata...

Hadi awang dgn ulamak2 UG ni takde rasa malu ke dgn tindakan dorang yg tak mencerminkan ajaran Islam. Amanat Hadi itulah yg digunapakai oleh syahdah2 Memali dulu. sedihnya bila tuanpunya kata2 itu sudah ludah jilat balik fatwanya. Apakah asas dan prinsip perjuangan yg dipegang Hadi Awang selama ini? Sudah hilangkah rasa malu kpd Allah dan manusia?

dj berkata...

Betulke Pasma nak terlibat dlm politik atau cuma ngo aja. klu benar bagai dikata,nyawa dan badan hamba serahkan, borang Pasma pasti ku isikan..UG tidak sekali2.

Tanpa Nama berkata...

Sambutan pada forum kelmarin amat menggalakkan. Itu mengambarkan org ramai sekarang adalah dari kalangan yg celik maklumat dan mereka ini tidak menerima mentah-mentah apa yg diperkatakan oleh mana-mana pemimpin. Mereka akan menkaji kebenaran dan kesesuaian pada situasi semasa. Syabas kepada rakyat msia kita sokong kepada pihak dilihat dapat membantu kita rakyat bawahan, jangan terlampau taksub kepada mana-mana pemimpin. Salah/terpesong harus ditentang.

Tanpa Nama berkata...

Kuasai PAS dulu tumpaskan UG, jika gagal barulah fikir parti baru.

Tanpa Nama berkata...

Betapa bodohnya UG menyerang PASMA dengan pelbagai tuduhan.

Aku yang jadi ahli PAS Kedah tak tahupun kewujudan NGO ni, tapi sebab bodoh UG yang melantun-lantun telah memberikan PROMOSI PERCUMA kepada PASMA.

Takziah UG, sebab kebodohan kamu yang melantun-lantun maka PASMA mendapat perhatian ahli-ahli PAS untuk mendekati mereka. Tahniah PAS, sebab UG bodoh, maka PASMA maju ke hadapan membasmi kemunafikan UG di dalam PAS.

Tanpa Nama berkata...

Dr.mujahid Rawa dan Datuk Phahrulrazi akan dipecat olaeh Presideng Hj.Hadi bersama Mostopa Ali sebab mereka ada kuasa Veto.Itu belum Nik Amar lagi.kalau Nik Amar akan kamu akan di humban keluar dari parti Pas.Kah.kah.kah nak muntah dengan ulamak serban tarbus

Tanpa Nama berkata...

PAS tunggu apa lg? bila nak buat ceramah2 supaya kita boleh tgk banyak mana sokongan terhadap PAS pada masa kini?

Tanpa Nama berkata...

Jom join PASMA beramai-ramai...minta borang dan cepat-cepat isi. Takbir !!!

Tanpa Nama berkata...

Teringat Aduka taruna, dah lama dulu dia nak langgar Hadi. Lama dulu aduka taruna dah nampak perangai busuk hadi

Fread

Tanpa Nama berkata...

Gantikan Presiden Hadi dgn yg baru supaya Islam dan parti Pas akan terus dihormati serta disegani oleh masyarakat Islam dan bukan Islam. Segala tindak laku Hadi kebelakangan ini dah tunjukkan tanda2 dia perlu berundur atau diundurkan.

Tanpa Nama berkata...

Pasma, aku takut kau dijadikan sokong yg mmbawa rebah. Pasma, tangguklah anak2 sepat ronggeng yg berlagak haruan itu ... alahai

Amuraria berkata...

parti islam wajib mandi bunga (bagi wangi) & sucikan dari semua makhluk-makhluk munafik talam dua muka ! ABU !

Tanpa Nama berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.
Ahmad Dzul Mohd berkata...

Badan tertinggi PAS haruslah mengujudkan barisan bukannya untuk atau menentang atur-cara UMNO berlandaskan islam jika dimana prosesnya adalah demokrasi maka ketetapan perlembangan harus diambil-kira iaitu berlandaskan majoriti maka kita patut berusaha yang apa dipersembahkan oleh perlembagaan mendapat sokongan penuh orang islam dan juga yang mengenali islam tidak berkalimah jika UMNO kononnya baru nak bersedia kearah 2 parti mendominisasi suasana pemerintahan maka bergerak langkahlah menjadi tak kala ini iaitu dipihak pembangkang.

Tanpa Nama berkata...

Saya ahli PAS tegar bertaraf macai kerana wang poket sendiri di gunakan untuk perjuangan Parti PAS.suara akar umbi tidak dinilai oleh pemimpin atasan, terasa sedih jugakerana hilang Tranganu, Kedah dan Perak kerana ikut rentak kerjasama UMNU secara sulit untuk masok dalam tong taik UMNU,aku tak menuduh tetapi puak puak dalam PAS berminat untuk bergabung dengan UMNU sekiranya hudud di terima, PAS sanggup bubar parti sekiranya UMNu ikut kehendak PAS,PAS di hina oleh UMNU sebagai parti ajaran sesat, aku terasa juga, apa matelamat perjuangan PAS sebenar ahli memjadi keliru.
diharap pihak atasan janganlah memperbodohkan ahli serperti aku ini.

bat8 berkata...

Anon 8:26

Syabas sdra.

Tanpa Nama berkata...

Ulama gila kuasa katakan. Beringatlah suatu hari nanti lu terima balasan allah swt kerana gila kuasa.

Tanpa Nama berkata...

Anon1.04pm,
Tak usah cerita tentang anak-anak sepat ronggeng,Namrod mati akibat seekor nyamok aje.Jangan cepat memperlekeh orang,jumlah bukan jadi ukur untuk kemenangan.

Tanpa Nama berkata...

Betul...goodbye hadi...

in response to Anon 10:35 Bukan saja Hj hadi, pemimpin2 UG yg lain sah tertonggeng spt Khairuddin At-Takiri (K.Nerus), Nasruddin tantawi (Temerloh) Mohd Abduh (Pasir Mas) Idris Ahmad (Bukit Gantang) Dalam DUN-DUN, PAS Selangor akan terima musibah paling teruk. , by Ibn Sabil.

Tanpa Nama berkata...

Bodoh apa komen begini.... PAS tak payah ikut pilihan raya demokrasi kalau gitu.

in response to Anon1.04pm, Tak usah cerita tentang anak-anak sepat ronggeng,Namrod mati akibat seekor nyamok aje.Jangan cepat memperlekeh orang,jumlah bukan jadi ukur untuk kemenangan., by Anonymous.

Tanpa Nama berkata...

kah kah kah.. tendang hadi keluar, tendang stopa ali keluar.. tendang din ayam skali..