12 Sep 2013

Mantan Ketua Staf Dr.Mursi Dibebaskan


Pihak pendakwa Mesir telah mengarahkan ketua kakitangan Pejabat Pentadbiran Mesir dibebaskan daripada tuduhan menghasut para demonstran sehingga menyebabkan keganasan di luar Istana Presiden Ittihadeya pada Disember tahun lalu.

Sumber Pejabat Kehakiman berkata, Rifaa al-Tahtawi, yang ditahan bersama-sama timbalannya Asaad Sheikha, selama lima belas hari, dibebaskan apabila kekurangan bukti.

“Pendakwa membebaskan Rifaa selepas mengambil kira beliau sebagai saksi kejadian dalam usaha menggulingkan Presiden Mohamed Mursi, 3 Julai lalu,” katanya seperti dilaporkan oleh AP.

Sementara itu, ratusan rakyat Mesir meneruskan protes menuntut pembebasan Mursi, yang digulingkan itu dan ahli-ahli Ikwanul Muslimin.

Mereka berarak di sekitar jalan utama sambil membawa sepanduk Rabia dan mengutuk rampasan kuasa di negara itu.

Dalam perkembangan berasingan, dua serangan bom tercetus di Semenanjung Sinai yang merupakan pintu masuk militan asing ke Mesir.

Pegawai keselamatan berkata, serangan itu disasarkan ke arah tentera Mesir yang mengetatkan kawalan keselamatan di sempadan Rafah-Israel.

“Letupan itu disasarkan ke ibu pejabat perisikan tentera Imam Ali di sempadan Rafah-Israel dan turut memecahkan tingkap bangunan lain dekat kawasan tersebut,” katanya. Beberapa minit kemudian, satu lagi letupan meranapkan pusat pemeriksaan tentera dekat kawasan terbabit.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Alhamdullillah...,,