26 Mei 2013

[VIDEO] Anwar: Hakikatnya Pakatan Rakyat Telah Menang PRU13!


Ribuan membanjiri perhimpunan Black 505, SPR digesa letak jawatan

Ribuan rakyat berpakaian hitam memenuhi Padang Timur berhadapan Amcorp Mall menyokong perhimpunan #Black505 di sini.

Perhimpunan ini merupakan rentetan daripada perhimpunan #Black505 yang telah dijalankan di seluruh negara termasuk di Selangor, Johor, Pahang, Perak, Melaka dan Terengganu dan NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sebagai penganjur utama.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengatakan pendirian Pakatan Rakyat (PR) jelas mereka menang secara sah dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

“Ini bukan soal kaum. Dia kata saya, Mat Sabu ni jaga Cina. Saya nak jawab, ya, saya jaga Cina apa masalah? Ya, saya jaga India apa masalah? Kita jaga rakyat dan bukan rompak harta rakyat.

“Saya nak ulang, tak boleh siapapun sangka, saudara telah membuat keputusan bijak. Saudara telah memilih Pakatan Rakyat. Kita lebih yakin dengan mahkamah rakyat!” kata Anwar disambut dengan sorakan.

Anwar juga mengatakan perhimpunan akan meneruskan perhimpunan #Black505 kerana ia adalah hak kepada semua rakyat Malaysia.

“Kita akan terus berhimpun kerana ini adalah hak kita untuk menentang kezaliman. Bersih akan ada Tribunal Rakyat. Biar ratusan ribu beratur untuk beri keterangan!

“Kita hasut orang pertahankan hak, kita hasut orang lawan perompak, kita hasut orang lawan penipu,”
katanya.

Anwar turut meminta pengundi yang tertanggal dakwat kekal membuat laporan polis beramai-ramai sebagai bukti dakwat kekal tidak berkesan untuk digunakan di mahkamah kelak oleh PR.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mengatakan mereka yang menuduh rakyat menggulingkan kerajaan dengan kekerasan sebagai tidak bijak kerana rakyat tidak bersenjata.

“Zahid Hamidi pemimpin penakut kerana hanya berani berlindung dibelakang 120,000 anggota polis,
” kata Mohamad merujuk kepada menteri dalam negeri yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita juga menuntut supaya media dibebaskan. Semua parti politik, NGO diberikan akses kepada media. Kerajaan Barisan Nasional tunaikan atau tidak?” tambah beliau sambil disahut dengan jawapan “tidak” dari hadirin.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan mengatakan pilihan raya umum ke 13 (PRU13) adalah kemenangan buat rakyat Malaysia kerana buat pertama kali, peratusan mengundi tertinggi dalam sejarah iaitu lebih 85 peratus.

“Saudara dan saudari, selepas ini Bersih akan mengadakan Tribunal Rakyat. Apakah tujuan tribunal rakyat? Tribunal rakyat bertujuan untuk mengumpulkan kebenaran.

“Akhir sekali, SPR kalau bermaruah mesti letak jawatan sekarang jugak. Atas satu alasan cukup, alasan dakwat kekal!”
kata Ambiga disambut dengan sorakan dan tiupan vuvuzela.

Diantara yang turut berucap dalam perhimpunan adalah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR Fuziah Salleh, N Surendran, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Ronnie Liu dari DAP dan ramai lagi.

Rafizi mengumumkan, destinasi seterusnya bagi perhimpunan #Black505 adalah di Dataran Merdeka. Beliau turut meminta agar semua kepimpinan SPR meletakkan jawatan.

Perhimpunan untuk membantah keputusan Pilihan Raya 2013 yang bermula semenjak jam 5.00 petang itu disambung semula pada jam 8.30 malam selepas rehat untuk solat Maghrib dengan pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin memberikan ucapan.

“SPR penipu, SPR penipu, SPR penipu,” kata Badrul merujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disambut dengan jawapan “ya” oleh hadirin diiringi dengan tiupan vuvuzela.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Andalas dari PKR Dr Xavier Jeyakumar mengatakan Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mengalah selagi reformasi pilihan raya tidak dilakukan di Malaysia.

Hadirin berbilang kaum memenuhi padang walaupun hujan turun renyai-renyai.




Tiada ulasan: