Jawapan lemah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berhubung pendedahan rasuah pembalakan dalam satu video seolah-olah mengesahkan kesalahannya.
Terdahulu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di London, NGO Global Witness (GW) mengeluarkan sebuah video yang merakam perbualan di antara penyiasat persendiran GW dengan dua pupu Taib.
Video itu mendedahkan bagaimana Taib dan anggota keluarganya menimbun kekayaan secara haram dengan memunggah kekayaan hasil dari aktiviti pembalakan secara berleluasa. Video tersebut dimuat naik dalam YouTube dan disiarkan rangkaian TV Aljazeera pada 18 Mac lalu.
Menyamar sebagai pelabur asing untuk membeli tanah hutan balak untuk dijadikan ladang kelapa sawit, penyiasat GW berbual dengan Fatimah Abdul Rahman dan Norlia Abdul Rahman, yang merupakan anak-anak bapa saudara Taib iaitu Abdul Rahman Ya’acob, ketua menteri sebelum Taib.
Perbualan mereka adalah seperti berikut:
Fatimah: Ample Agro adalah syarikat milik keluarga kami, tetapi empat daripada saudara kami ada dalam syarikat itu. Jabatan Survei dan Tanah yang mengeluarkan lesen.
Sudah tentu atas arahan Ketua Menteri dan saya boleh bercakap dengan Ketua Menteri dengan mudah.
GW: Boleh ke? Fatimah: Ya.
GW: Kamu fikir beliau akan setuju? Fatimah: Ya, dialah yang memberi tanah kepada kami. Dia sepupu saya (ketawa). Ibunya dan bapa saya adalah kakak dan adik. Dia sepupu saya, jadi agak mudah.
Taib tidak dapat menjawab Kedua-dua beradik itu berkata Ample Agro memiliki 5,000 hektar tanah yang diberi oleh Taib dan dibeli pada kadar harga yang sangat rendah. Mereka bercadang untuk menjual syarikat itu dan dalam klip video itu mereka meminta RM4,000 se ekar (menjadikan jumlah keseluruhan RM50 juta).
Di antara pemilik bersama ialah Norah Abdul Rahman, ahli parlimen Tanjong Manis dan Khatijah Abdul Rahman, kakak ipar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dan apa yang dikatakan Taib berhubung dakwaan kedua-dua sepupunya itu dalam video itu apabila beliau diasak oleh para pemberita, kata beliau:
“Awak kenal, mereka itu sepupu saya? Adakah awak tahu apa hubungan di antara bapa mereka dan saya……….sama ada mesra atau tidak? Kami bergaduh pada suatu ketika dulu. Dua pupu saya itu bukannya orang yang saya paling percayai……tapi bergantunglah kepada awak.”
Apa yang dimaksudkan Taib ialah beliau tidak mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga sepupunya itu dan oleh itu, apa yang disebutkan oleh kedua-dua sepupunya itu harus dipandang dengan perasaan ragu dan tidak mempunyai kredibiliti.
Sememangnya Taib pernah bergaduh dengan bapa saudaranya Abdul Rahman Ya’acob. Tetapi perkara itu berlaku pada tahun 1980an apabila berlaku pertembungan kepentingan kerana merebut kontrak kerajaan dan konsesi balak.
Bagaimanapun mereka berbaik semula selepas itu dan satu peristiwa yang mendapat liputan media secara meluas pada 2008 di mana mereka kelihatan berpelukan dan mengisytiharkan bahawa ‘air dicincang tidak akan putus’.
Kini pergaduhan di antara mereka telah pun tinggal dalam lipatan sejarah dan keluarga Abdul Rahman mendapat keuntungan besar daripada Taib berdasarkan kepentingan-kepentingan yang meluas dalam empayar perniagaan Taib.
Satu lagi tanda di mana terjalinnya hubungan mesra di antara kedua-dua keluarga mereka ialah Taib memilih Norah, anak perempuan Abdul Rahman untuk bertanding kerusi parlimen Tanjong Manis dalam pilihan raya umum lalu.
Ringkasnya, Taib berbohong apabila beliau mendakwa kedua-dua sepupunya itu tidak mempunyai hubungan yang baik dengannya dan justeru itu, kedua-dua sepupunya itu tidak perlu membabitkan beliau dengan mereka cipta cerita-cerita sebegini.
Lagi pun, maklumat mengenai pemilikan dan bayaran premium yang minima untuk 5,000 hektar tanah itu mudah diperolehi di pejabat pendaftar tanah dan untuk berbohong dalam isu ini adalah satu tindakan yang tidak wajar. Malahan tindakan Taib untuk mempertahankan diri memberi isyarat jelas bahawa beliau bersalah seperti didakwa.
Peguam dedah korupsi Taib
Video berdurasi 16 minit itu juga memaparkan perbualan yang berasingan di antara GW dengan dua peguam yang mendedahkan tindakan Taib yang melanggar undang-undang dan terlibat dengan rasuah.
Salah seorang daripada mereka ialah Alvin Chong, peguam yang terlibat dalam urusan perniagaan keluarga Taib dan kerajaan negeri Sarawak. Seorang lagi peguam ialah Huang Lung Ong yang berusaha untuk menjual tanah bagi pihak bapa saudaranya, tokoh korporat Hii Yii Peng yang rapat dengan Taib.
Dalam perbualan dengan Alvin, GW memberitahu apa yang telah diberitahu oleh kedua-dua sepupu Taib sebelum itu berhubung cara haram yang digunakan untuk mengelak dari membayar cukai keuntungan hartanah.
Alvin juga menggariskan kaedah yang selamat tetapi secara haram yang sering digunakan oleh mereka untuk mengelak dari peraturan kerajaan bahawa pemilikan saham dalam sesebuah syarikat tempatan mestilah tidak kurang dari 51%.
Huang berusaha untuk menjual 32,000 hektar tanah dengan harga RM230 juta yang dimiliki Billion Venture, di mana bapa saudaranya Hii merupakan pemegang saham majoriti.
Beliau memberitahu GW secara terus terang bahawa untuk menjayakan urusniaga itu, vendor tersebut harus memberi komisyen peribadi kepada Taib sebanyak 10% dari nilai jualan, yang dianggap sebagai amalan biasa.
Apabila Taib mendesak para pemberita supaya membuat komen tentang pendedahan video ini, beliau mengakui beliau telah menonton video tersebut dan menganggapnya sebagai “nakal” dan tidak mempunyai kredibiliti dan beliau menafikan mempunyai orang tengah.
Kata beliau: “Boleh jadi seseorang itu mencuba untuk mempromosi dirinya untuk menjadi agen untuk mendapatkan layanan istimewa daripada saya? Ia tidak ada kena mengena dengan saya, betul?”
Jawapan yang samar-samar dan tidak relevan seperti itu berhubung pendetailan khusus tentang rasuah, salah guna kuasa dan mengelak dari membayar cukai dan keperluan statut yang didedahkan secara terang-terang oleh mereka yang berwibawa seolah-olah beliau memberitahu seluruh dunia: “Saya memang bersalah, apa jadahnya?”
Perlu disebut disini bahawa peguam Huang tidak menafikan kesahihan perbualan dalam video tersebut. Dalam satu wawancara menerusi telefon yang disiarkan Malay Mail 19 Mac lalu, beliau bagaimanapun menyifatkan perbualan tersebut sebagai “perbualan kedai kopi” dengan seorang “pelabur asing”.
Beliau menjelaskan: “Saya diperangkap. Saya meminta nasihat tentang aspek undang-undang berhubung urusan tanah. Saya mungkin telah menuturkan beberapa perkataan akibat dari kekecewaan kerana dia (pelabur asing itu) bertanyakan banyak soalan. Saya tertekan.
” Perkataan-perkataan ini dengan sendirinya menjelaskan tentang kebenaran yang didedahkan Huang berhubung amalan rasuah Taib.
Tali hayat akhir Umno?
Sebagai pemimpin Sarawak yang korup selama 32 tahun, Taib Mahmud sudah tentu tidak asing lagi dengan pelbagai skandal.
Dalam rak-rak dokumen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini penuh dengan debu, beribu-ribu muka surat mencatat pelbagai penyelewengan dan dosa Taib yang memusnahkan hutan rimba tebal Sarawak sehingga hampir pupus.
Beliau merampok sebahagian besar kekayaan hutan balak untuk keluarga dan kroni perniagaannya secara haram dengan memusnahkan kehidupan dan alam sekitar penduduk pribumi.
Tetapi Taib tetap kebal, walaupun berbagai laporan dibuat terhadapnya dalam tempoh beberapa tahun yang silam, dilindungi oleh kemampuannya untuk menjadi juara dengan rekod memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) pada setiap kali pilihan raya.
Namun, kali ini masanya luar biasa dan video Global Witness merupakan satu pendedahan yang luar biasa.
Sejak video ini tersebar beberapa tahun lalu, pendedahan di YouTube telah berjaya menarik lebih sejuta pelawat. Ini bermakna rasuah bersaiz mega Taib itu sudah tersebar ke dalam lebih sejuta rumah dan akan terus tersebar seperti api yang cepat merebak sehingga hari pengundian.
Mampukah Najib berdiam diri dan membiarkan Taib menjadi tugu peringatan sebagai tanda amalan rasuah BN sehingga menjelangnya pilihan raya umum akan datang? Tidakkah Taib yang degil dan tidak boleh disentuh itu melambangkan regim BN yang korup itu tidak mahu bertaubat dan tidak dapat diselamatkan lagi.
Mungkinkah ini tali hayat terakhir sebagai isyarat keruntuhan hegemoni Umno yang berusia lebih separuh abad itu?
6 ulasan:
Bhai GB...
Masak aaa Taib Mahmud kali nih.... hahaha... abis la fixed deposit BN ini kali.... hahaha
ayuh kita rakyat sarawak bangun menindaskan ketidakadilan yang merampas hak kita,jangan sampai orang lain menjual hak kita...agi idup agi ngelaban!!!!
asal nak masak lak, kalau BN menang PRU 13 ni jaminan keselamatan perasuah hebat BN terutamanya umno akan dijamin selama 5 tahun lagi, hidup rakyat serawak kerana memilih kerajaan perasuah yang tepat.
haa...ha pelandok dah kena jerat...amik ko...sekecil dosa pun dibalas....kwang2
Kalau masih tak nampak lagi tak tau la....jangan perbodohkan diri dan perjudikan masa depan anak2. Serawak kaya dengan hasil minyak. Selama 32 tahun, sepatutnya rakyat Serawak sudah hidup senang. Tumbangkan BN! Tak paham2 lagi??
Jangan takut berubah wahai kawan2. Kita kena berubah untuk dapatkan kebenaran dan hak kita kembali. Terlalu banyak harta negeri kita tau kemana dan rakyat merempat. Kasihanilah generasi akan datang, kita bina hidup baru yang bebas hutang. Negara yang anti kronisme, antirasuah, anti perkauman. Buka peluang kepada rakyat bumiputra borneo untuk menjawat jawatan di jabatan kerajaan yang adil dan bukan lagi sekadar bermimpi. Ubahlah wahai org kampung ku sekalian. Lihatlah dengan mata hati dan pandang masa depan kita kalau BN masih perintah. Moga Tuhan memberi petunjuk pada kita semua dan kita tergolong orang yang dizalimi. Sesuatu kaum itu tak akan berubah kalau kita tak berani berubah. Perubahan bermula dari anda semua.
Catat Ulasan