15 Jan 2013

HKR 112 Paling Aman & Bersih Dalam Sejarah


Himpunan Kebangkitan Rakyat adalah perhimpunan paling aman dalam sejarah negara, ibarat karnival keluarga, menurut Pemerhati Majlis Peguam.

“Sangat aman…Peserta himpunan mengikut arahan. Secara keseluruhan, tiada masalah,” kata Peguam Pemerhati Majlis Peguam, Wan Muhammad Hafiz.

“Saya rasa seperti di karnival keluarga. Paling aman dalam sejarah,” kata seorang lagi Peguam Pemerhati, Azira Aziz.

Beliau menterjemah demikian kepada Keadilan Daily sebaik kumpulan berjumlah 3,000 rakyat dari Kampung Baru tiba di Stadium Merdeka, Sabtu lalu.

Peserta HKR dilepaskan dari lokasi tersebut diketuai Penyelaras Solidariti Anak Muda Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard.

Perjalanan ke Stadium Merdeka sejauh lima kilometer mengambil masa kira-kira sejam setengah diiringi, sebuah jip 4WD dan van yang turut dipenuhi minuman dan kelengkapan perubatan untuk peserta.

Kumpulan ini bertepuk tangan dan menyanyi beramai-ramai lagu rock dari kumpulan One Buck Short berjudul ‘Kelibat Korupsi’ bagi menaikkan semangat peserta.

Mereka turut mengibarkan bendera besar SAMM, bersama puluhan bendera kecil lain menarik perhatian orang ramai dari dalam kedai dan pejabat untuk segera ke pinggir jalan mengambil gambar.

Manakala para pemandu kereta membunyikan hon dan menunjukkan isyarat bagus.

Beberapa wartawan media arus perdana dan online yang ditemui memberitahu, Himpunan Kebangkitan Rakyat seperti ‘pesta jalanan’.

“Sangat menarik dan sangat bagus. Kita boleh ‘jual’ berita. Liputan membolehkan (jualan akhbar) laris,” kata seorang wartawan kanan yang ditemui. -KD


Memang bersih sungguh kali ini


Alhamdulillah. Terbukti acara kemuncak Himpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari lalu bertaraf grand finale yang mencipta sejarah.

Stadium Merdeka menjadi saksi bahawa gemuruh suara rakyat tidak boleh diremehkan.

Mereka benar-benar mahukan perubahan! Dan ia tidak boleh ditangguh lagi.

Lebih penting, ada amaran tersirat: "Pastikan tiada penipuan dan manipulasi dalam PRU13.

Hormati segala tuntutan Bersih selama ini."

Segalanya berjalan teratur, lancar dan aman sekali. Malah, ramai berasa selesa dengan ketiadaan kelibat FRU. Ratusan ribu rakyat prihatin bergerak tanpa gangguan.

Tekad polis untuk menjadi fasilitator atau pemudahcara boleh dikatakan berjaya.

Tanpa provokasi dan gangguan seperti siri perhimpunan raksasa sebelumnya, Kuala Lumpur tidak bingit lagi dengan tembakan gas pemedih mata atau pertembungan langsung dengan pasukan keselamatan.

Tiada keganasan direkodkan. Harmoni. Menyenangkan. Penuh muhibah dan toleransi.

Walaupun jumlah kehadiran cuba dikecilkan pihak polis, saya kira umum dapat memahami situasi terdesak itu. Ya, apa lagi yang mahu diputar-belitkan untuk memberi gambaran jelek kepada publik, khususnya melalui siaran berita RTM dan TV3 pada malam Ahad lalu?

Strategis dan tukang propaganda Umno-BN kehilangan idea untuk 'spin' isu ini.

Selepas memberi gelaran tidak masuk akal -- "Himpunan Shamsidar" -- Utusan Malaysia dan TV3 terpaksa menelan muntah sendiri. Maka terpaksa diselongkar (sebenarnya direka-reka) bahan yang boleh memaparkan kegagalan perhimpunan yang memecah rekod itu.

Harapan pengarah himpunan, Mohamad Sabu, seperti dilafazkan selepas berjumpa Ketua Polis Negara beberapa hari lalu, agar peserta datang beramai-ramai, membawa keluarga bersama, berjalan santai beriringan, dengan mood festival, bernar-benar tercapai.

Setiap lapisan masyarakat, dengan pelbagai latar belakang, tua dan muda (juga kanak-kanak), lelaki dan wanita, mewakili segenap sektor yang membawa tuntutan berbeda tetapi dengan roh dan semangat yang sama, biarpun penat berhimpit-himpit dan letih mengatur langkah, namun wajah mereka membayangkan kegembiraan dan kepuasan.

Saya hampir terlepas menyaksikan himpunan bersejarah itu selepas keletihan berjalan agak jauh pada malam sebelumnya, untuk bersama-sama memeriahkan acara "countdown" di Kampung Baru.

Hasrat awal untuk berkereta sehampir mungkin dengan stadium, tetapi terpaksa berpusing-pusing sekitar ibukota apabila banyak laluan, termasuk Jalan Sultan berhampiran hotel penginapan saya dekat Pudu Sentral ditutup.

Selepas setengah jam "sesat jalan" dan balik semula ke Jalan Tuanku Abdul Rahman, kami tersekat pula di persimpangan Dataran Merdeka, apabila Jalan Tun Perak ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan.

Apa pun, terima kasih kepada pemandu teksi yang bersedia membantu (ada buku "Kebangkitan Rakyat" oleh Yusuf Qaradawi atas dashboard keretanya; bayangkan dia hanya menerima RM3 untuk perjalanan yang saya kira bayaran miternya melepasi RM15), selepas jalan dibuka jam 2.

30 petang.

Dapat juga saya menapak perlahan-lahan sehingga ke tangga stadium, untuk naik memerhati lautan manusia, yang juga sabar memberi giliran dan peluang kepada orang lain menyaksikan acara terhebat itu.

Pemandangan di sekitar stadium begitu menakjubkan.

Limpahan manusia tertib berdisiplin.

Masing-masing senyum hormat, menebarkan salam, mengangkat tangan, menunjukkan tanda "bagus".

walaupun saling tidak mengenali.

Seorang anak muda bukan Melayu, yang tersinggung sedikit tangan saya, ketika berjalan turun tangga stadium, dengan nada sopan, menundukkan kepala, memohon maaf berkali-kali.

Tidak sempat lama mendengar amanat pemimpin, saya terpaksa berjalan balik ke hotel. Bimbang "kelemasan" dalam suasana sesak dan padat. Secara peribadi, saya cukup berpuas hati dan melafazkan syukur berulangkali kerana dapat sama-sama berdiri di antara ratusan ribu yang lain, menyaksikan "sejarah Malaysia baru dalam pembikinan".

Ramai rakan-rakan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sengaja memilih untuk tidak masuk ke stadium.

Semasa berselisih dengan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad, selepas berakhir acara "countdown" di Kampung Baru, jam 12.30 malam sebelumnya, dia menyatakan seeloknya masyarakat Lembah Klang memberi peluang kepada orang luar untuk menghayati kemeriahan Stadium Merdeka.

Agak lama juga saya menunggu teksi untuk balik ke hotel. Tak mampu lagi mengheret kaki walaupun perjalanan menuruni bukit. Alhamdulillah, seorang pemandu teksi, kali ini rakan Tionghua yang baik hati, bersedia menempuh kesesakan.

"Memang bersih kali ini, ya?" katanya, ketawa kecil, merujuk suasana aman walaupun lebih ramai berarak berbanding siri demonstrasi Bersih sebelumnya. "Tak takut bawa teksi hari ini?" tanya saya.

"Biasa saja, jalan pun tutup taklah lama, sekarang sudah lancar," balas pemandu yang ramah dan tidak lokek dengan senyuman itu.

"Kalau polis tak kacau, dan jalankan tugas secara profesional, keadaan akan jadi baik macam hari ini," pintas rakan saya, yang menemani sejak pagi. "Mungkin peniaga Jalan Tuanku Abdul Rahman merungut, sebab laluan mereka tidak sesak seperti demonstrasi Bersih sebelum ini, dan pelanggan tak ramai," tambahnya. Kami serentak ketawa.

Anak lelaki saya pula mengingatkan ada peserta himpunan yang mengagihkan minuman ringan kepada anggota polis di hadapan pintu stadium. "Baguslah, kalau semua bertimbang rasa, saling memahami, dan jadi bukti bahawa demonstrasi tidak perlu ditakuti," kata saya, mahu melihat reaksi pemandu teksi tadi. Dia mengiayakan.

Namun, saya tidak akan lupa wajah bersih seorang anak muda, awal 20-an, yang baru saja pulih dari koma selepas lebih setahun kemalangan, tetapi masih uzur di atas kerusi roda, datang bersama keluarganya, dari Johor. Semangat keluarga ini cukup luar biasa. Dan saya pasti blogger Umno akan memanipulasikan suasana hebat itu daripada perspektif sempit mereka.

Riak muka anak muda itu membayangkan tingginya harapan dan tulusnya impian rakyat Malaysia untuk melihat perubahan besar selepas PRU13 nanti
-Ahmad Lutfi Othman/HD

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sebab rakyat yang jadikan aman, sebelum ni BN yang buat kekacauan

BaDiN berkata...

Alhamdulillah.
Semuga ianya terus aman damai di lain lain masa & tempat dimana program rapat umum anjuran PR dilangsungkan.Terutamanya ketika PRU & Peralihan Kuasa peringkat pusat dan negeri antara BN kpd PR nanti.Insya'Allah.