3 Mac 2012

PPIM Dakwa Wujud Amalan Riba Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

PPIM dakwa wujud amalan riba di UIAM

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengamalkan riba dan menindas peniaga universiti itu apabila mengenakan kadar caj tambahan sebanyak dua peratus sebulan bagi tunggakan sewa premis mereka.

Pengerusi Majlis Penasihatnya, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, tindakan universiti itu dilihat bukan sahaja bermotifkan keuntungan semata-mata, malah dianggap tidak membantu meningkatkan pendapatan peniaga Melayu dan memberi bebanan kepada mereka.

Menurutnya, UIAM yang terkenal sebagai sebuah institusi pengajian berkonsepkan Islamik seharusnya mencerminkan prinsip perniagaan yang dituntut agama.

“PPIM menerima aduan bahawa kontrak perjanjian perniagaan dikeluarkan pengurusan universiti berkenaan sejak mula lagi didakwa berat sebelah dan tidak adil kepada peniaga dalam aspek tertentu termasuk mengenai kadar caj tambahan sewa.

“Di dalam kontrak perjanjian menggariskan, hanya peniaga dikenakan caj tambahan sewa ini yang kononnya digelar ‘caj pentadbiran’ yang mana membebankan peniaga,”
katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lebih mengejutkan apabila ia tidak termaktub dalam perjanjian terbabit bahawa peniaga juga boleh mengenakan caj sama sekiranya universiti itu berhutang atau lambat menjelaskan bayaran tempahan makanan.

“Kami menerima aduan daripada seorang peniaga di mana, UIAM menerusi penuntutnya ada menempah perkhidmatan makanan di dalam anggaran RM27,000 beberapa bulan lalu namun sehingga kini masih gagal menjelaskan baki hutang sebanyak RM16,600, Tiada caj tambahan dikenakan di atas kelewatan pembayaran berkenaan.

“Lebih mengecewakan kandungan kontrak ini turut diketahui, dipersetujui serta diluluskan seorang pegawai atasan universiti dan tindakannya dilihat tidak prihatin dalam membantu menggalakkan usaha peniaga Melayu,” katanya.

Menurut kontrak, jika peniaga gagal membayar sewa dalam tempoh tertentu, pihak universiti akan bertindak menyita barangan perniagaan.

Katanya, perkara tui tidak terkandung dalam kontrak perjanjian.

“Buat masa ini, PPIM sedang membuat siasatan terperinci mengenai perkara ini dan sudah beberapa kali cuba mengadakan perbincangan mengenai isu itu bersama pihak pengurusan universiti yang bertanggungjawab dalam penyediaan kontrak dan pegawai atasan berkenaan bagaimanapun mereka enggan bekerjasama.

“Di dalam Islam, prinsip utama sesuatu perniagaan adalah tiada unsur tekanan, tiada keuntungan melampau, tiada keuntungan melalui manipulasi, tiada kezaliman dan perlu membantu mereka yang susah, tertindas atau berhutang,” katanya.

“Kami minta pihak universiti segera memberikan kerjasama bagi menyelesaikan konflik berkenaan dan menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya memandang serius perkara ini dengan mengambil tindakan sewajarnya demi kesucian agama serta membela nasib peniaga Melayu,” katanya. -SH

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tertunggu2 jawapan UIA pulak. Jawab jgn tak jawab.