27 Sep 2012

[VIDEO] PKNS Buat Laporan Polis Terhadap NGO Mesra UMNO

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa pihak yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap syarikat tersebut.

Peguam mewakili PKNS, Sankara Nair berkata beliau telah menasihati PKNS untuk membuat laporan polis terhadap Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Presidennya, Azwanddin Hamzah.

“Kami menegaskan bahawa anak guam kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana media atau organisasi yang membuat kenyataan fitnah mengaitkan PKNS dan penyelesaian hutang Talam,” katanya di luar Ibu Pejabat Daerah Polis Shah Alam di sini hari ini.

PKNS turut membuat laporan polis hari ini ke atas JMM berhubung risalah berbau hasutan dan fitnah yang didakwa menyalahi undang-undang.

Laporan polis itu menyebut bahawa risalah dengan logo JMM menghasut pemilik-pemilik rumah yang telah membeli rumah dari PKNS atau Selangor Industrial Corporation (SIC) agar memohon kepada kerajaan negeri melupuskan hutang tertunggak.

Dasar ini kononnya atas sama seperti diambil kerajaan negeri Selangor dalam melupuskan hutang Talam Corporation Berhad.

Salinan risalah bertarikh 15 September 2012 itu antara lain turut disertakan borang bertajuk “Pembelian Hutang PKNS”.

Penulis risalah – Azwanddin didakwa berniat jahat dengan menulis, menerbitkan dan mengedar risalah mengaitkan PKNS dengan isu Talam sedangkan hal tersebut tidak mempunyai kaitan.

“Saya juga melaporkan bahawa motif penulisan, penerbitan dan pengedaran risalah itu mencetuskan perasaan takut,rungsing dan gusar dalam minda orang ramai terhadap PKNS serta mengaibkan dan menjatuhkan reputasi,” kata Pegawai Undang-undang PKNS, Silawati Mat Jusoh yang membaca laporan polis itu kepada media.

Pada 21 September lalu, satu laporan polis turut dibuat ke atas organisasi media dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berkenaan laporan berita palsu yang mengaitkan anak syarikat PKNS- PKNS Infra Sdn Bhd terlibat dalam kes kecurian air.

GAPS lapor polis tentang bas Dalam perkembangan lain, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) turut membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 6, berhubung dakwaan penyelewengan pemilikan pembelian bas oleh Menteri Besar Selangor,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Presiden GAPS, Hamidzun Khairuddin mendakwa Menteri Besar mengaku bas dimiliki beliau dan disewa kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk tujuan pilihan raya akan datang.

Maka beliau mahu siasatan terperinci dibuat kerana mensyaki pembelian bas mewah itu yang didakwa bernilai RM900 ribu.

Laporan berhubung hal tersebut juga akan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -FMT

1 ulasan:

Adios Amigos berkata...

Oleh kerana syarikat yang difitnah dan dijatuhkan maruah adalah konglomerat besar negeri Selangor, so kenakan kat dia orang saman RM100 juta... InsyaAllah dia orang kalah punya... kang mati terbeliak sbb tak boleh bayar saman. Pupus seekor lagi kaki fitnah UMPORNO........