11 Mei 2012

Lebih Banyak Pihak Tolak Haniff Sebagai Pengerusi J/K Siasatan BERSIH 3.0

Siapa tak sokong Hanif angkat tangan'

Ribuan mengangkat tangan tanda menentang pelantikan Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel siasatan berhubung dakwaan kekasaran polis dalam perhimpunan BERSIH 3.0.

Dalam ceramah di Subang Jaya malam tadi, kira-kira 2,000 orang berbuat demikian selepas ketua anggota parlimen DAP Lim Kit Siang menyoal siapa yang menentang pelantikan bekas ketua polis negara itu.

Ditanya kenapa mereka hadir dalam program jelajah PKR di seluruh negara pasca-BERSIH, mereka menjawab kerana tidak percaya pada Hanif.

Lim berkata, selepas apa diucapkannya sebelum ini, Hanif sepatutnya menjadi saksi dan bukannya pengerusi panel siasatan itu. -mk

Pelantikan Tun Haniff Omar: AMK mengajak rakyat Malaysia untuk tolak hasil siasatan panel Bersih 3.0

Sejarah perundangan dilengkapi dengan penegasan bahawa 'keadilan itu bukan sekadar perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan'.

Memperlihatkan kepada prinsip ini, Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpandangan bahawa pelantikan mantan Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar selaku Pengerusi Panel Siasatan Bebas Bersih 3.0, adalah satu langkah terkebelakang, menempangkan proses keadilan dan membuktikan kerajaan BN terdesak untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Malah, AMK berpandangan pelantikan ini sebenarnya hanyalah satu strategi mainan media Umno-BN. Ini bertujuan untuk terus-menerus mengalihkan pandangan rakyat daripada menekankan soal reformasi sistem pilihanraya, dengan memfokuskan kepada isu siasatan yang 'bebas' di bawah panel yang diketuai oleh individu yang 'tidak bebas'.

AMK menggariskan tiga (3) sebab mengapa kredibiliti Tun Haniff selaku Pengerusi Panel ini boleh dipertikaikan:

1. Sebagaimana yang telah disiarkan oleh media beberapa hari lepas, sikap prejudis beliau kononnya Bersih 3.0 didalangi oleh pihak pro-komunis, adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab malah keluar daripada norma realiti politik negara. Kenyataan tanpa fakta, digembar gembur secara bersistematik, memperlihatkan Bersih 3.0 seolah-olah satu gerakan yang 'kotor'. Dan inilah persepsi awal yang diperlihatkan oleh beliau sebelum memimpin panel yang akan dinanti-nantikan oleh rakyat apakah resolusi lanjut yang bakal dihasilkan.

2. Tun Haniff juga tidak pernah kita lupakan dengan kalimah keramat beliau di mana beliau tidak pernah menjumpai ayat di dalam Al-Quran yang mengharamkan judi. AMK tidak berminat untuk tahu apa iktiqad pegangan beliau, tetapi dalam keadaan prinsip keadilan asas di dalam Al-Quran pun masih gagal beliau fahami, bagaimana beliau mampu mengemudi sebuah panel yang bertanggungjawab menyiasat gerakan Bersih yang menuntut keadilan dalam sistem pilihanraya Malaysia?

3. Bersih 3.0 menyaksikan keganasan pihak polis berada pada tahap yang paling parah dalam sejarah penyuraian perhimpunan aman yang berlaku di Malaysia. Bagaimanakah seorang mantan Ketua Polis Negara, mampu mengheret institusi yang pernah beliau pimpin selama 20 tahun ke kancah pengadilan? Ini persepsi dan realiti yang sedang membelenggu rakyat ke atas kredibiliti beliau kini.

AMK berharap Tun Haniff boleh kembali menyemak artikel tulisan beliau di dalam The Star pada 12 Februari 2006, tatkala beliau memberikan respon balas mengenai cadangan penubuhan IPCMC :

The IPCMC must have the confidence not only of the public but also of the police. Thus, appoint the right people to be commissioners; this is absolutely vital.

Dalam kes siasatan Bersih ini, Panel harus meraih keyakinan rakyat, bukan keyakinan polis. Maka, melantik pihak yang tepat sebagai Pengerusi adalah sesuatu yang maha penting. Terbukti, Tun Haniff bukan individu yang sesuai. Maka AMK berpandangan, sewajarnya beliau, atas integriti selaku bekas Ketua Polis Negara, mengundur diri secara terhormat. Begitu juga dengan ahli-ahli panel yang lain.

AMK dengan tegas mengajak rakyat Malaysia untuk menolak hasil siasatan Bersih 3.0 sekiranya Pengerusi dan ahli-ahli panel yang tempang kredibilitinya terus dikekalkan!

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia


NUJ juga tolak Haniff Omar

KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJM) menolak perlantikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar sebagai pengerusi penal bebas siasatan Bersih 3.0.

Sebaliknya, Presiden NUJM, Chin Sung Chew dalam kenyataannya mencadangkan bekas ketua hakim Borneo, Tan Sri Steve Shim dilantik sebagai pengerusi.

Ini kerana, dalam sejarahnya, inilah pertama kali seorang bekas ketua hakim menjadi ahli biasa kepada sesuatu jawatankuasa siasatan. Biasanya merekalah yang mengetuai apa-apa penal.

Pendirian NUJM ini bermakna, hampir kesemua pihak yang terlibat dengan perhimpunan ini menolak perlantikan Haniff.

Sebelum ini, PAS, PKR dan DAP telah menolak perlantikan Haniff.

Menteri Dalam Negeri hari ini mengumumkan perlantikan bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar selaku pengerusi panel.

Lain-lain anggota adalah bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Akhbar Sinar Harian Datuk Husammuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah, dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.

Menurut NUJM, badan itu tidak menentang keanggotan badan ini yang lain namun adalah lebih baik kalau aktivis dari NGO dan pejuang hak asasi manusia dimasukkan ke dalam senarai anggotanya.
-HD


Saifuddin: Tun Hanif Omar 'kurang sesuai' jadi pengerusi panel

SHAH ALAM - Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Saifuddin Abdullah menyambut baik pembentukan Panel Penasihat Bebas enam anggota bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian rusuhan berikutan penganjuran Bersih 3.0 di ibu negara bulan lalu.

Bagaimanapun kata Saifuddin, beliau melihat pelantikan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar sebagai pengerusi panel itu "kurang sesuai."

"Saya amat menghormati Tun Hanif. PDRM berada di zaman kegemilangannya semasa beliau Ketua Polis Negara. Menjadi ahli panel, sesuai. Tapi sebagai Pengerusi Panel, kurang sesuai kerana ia (turut) melibatkan siasatan ke atas tindakan polis (semasa Bersih 3.0)," kata beliau yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan hari ini.

Malah katanya, beliau tiada masalah dengan keenam-enam ahli panel, tetapi "cuma ia akan lebih baik" jika ditambah dengan mereka yang ada rekod baik dalam kerja-kerja hak asasi dan penambahbaikan demokrasi.

"Bagi saya ini satu peluang yang baik bagi kerajaan memperbetulkan persepsi dan menjelaskan kepada rakyat apa yang sebenarnya berlaku. Dan, jika dijalankan dengan baik, menggunakan peluang ini dengan baik, saya rasa ia akan mendatangkan faedah kepada kerajaan," kata beliau.

Selain Hanif selaku pengerusi, anggota panel terdiri daripada bekas Ketua Hakim Borneo Tan Sri Steve Sim, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub, Penasihat Undang-undang Kumpulan Akhbar Sin Chiew Liew Peng Chuan, Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Petronas Datuk Medan Abdullah dan Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Ruszmi Ismail.

Kata Saifuddin, beliau merasakan Sim boleh mengetuai panel tersebut.

Mengumumkan perkara itu semalam,

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, panel penasihat akan mengadakan mesyuarat pertama mereka secepat mungkin untuk menentukan terma rujukan serta peranan mereka.

Katanya, mesyuarat Jemaah Menteri semalam sekali lagi memberikan penekanan kepada keperluan untuk mempertahankan keluhuran undang-undang, konsisten dengan pendirian kerajaan dalam mencari kebenaran, keadilan serta pembelaan kepada semua pihak.

"Adalah menjadi hasrat kerajaan agar panel penasihat bebas ini dapat memberi ruang kepada semua pihak untuk mengemukakan laporan, bantahan, maklum balas, serta bahan bukti berkenaan kejadian rusuhan itu," katanya.

Menurutnya, pada masa yang sama, polis akan terus dengan siasatan mereka berhubung kejadian rusuhan itu, dan mengemukakan hasilnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Hishammuddin berkata, penubuhan panel itu juga bertujuan menyediakan saluran kepada mereka yang merasakan menjadi mangsa pihak tertentu pada hari kejadian, dan merasakan seolah-olah tidak ada saluran yang telus untuk mendengar luahan serta pandangan mereka mengenai apa yang berlaku.

Katanya, beliau percaya anggota panel itu cukup diyakini untuk memuaskan hati semua pihak.
-SH



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Sepatutnya Tun Hanif jangan terima tawaran tersebut kerana siasatan yang dijalankan ada kaitan dengan polis. Sebagai bekas IGP, sedikit sebanyak akan ada favour kepada polis dalam membuat keputusan. Majoriti rakyat akan pertikaikan sebarang keputusan/laporan.

Tanpa Nama berkata...

Saya pun sangat bersetuju supaya Tun Hanif tidak menerima tawaran tersebut .... kerana saperticontoh dalam pertandingan bolasepak semi atau profossional sekalipun pengadil yang bias di tolak semua kelab dan peminat seluruh dunia . Tun kena buktikan beliau masih waras sebagai hamba Allah.

Tanpa Nama berkata...

Bukan setakat kurang sesuai ttpi memang2 tidak sesuai. Apa ke jadahnya taukeh meja judi nak diheret sama jadi panel.Macam tak ada manusia yg senonoh sikit ke?

Tanpa Nama berkata...

Tun Hanif xsesuai jd panel siasatan.dia pengerusi Genting. semua org tau genting tu pusat judi terbesar d Malaysia. Panel siasatan menilai seperti hakim.. Jd org FASIQ yg jelas kefasikannya tak boleh jd hakim penilai..wallahu a'lam.