1 Apr 2012

UMNO Burukkan Kelantan Air Kotor, Di Pahang Masih Ada Yang Belum Dapat Air

Rayu bekalan air bersih

KAMPUNG DERAHMAN – Kira-kira 30 rumah masyarakat Orang Asli Kampung Derahman, di sini, masih menagih janji bekalan air bersih di kampung mereka bagi memberi keselesaan kepada masyarakat itu menjalankan urusan seharian.

Maimun Sulong, 45, berkata, isu bekalan air bersih di kampung itu amat serius kerana masalah bekalan itu sudah lama membelenggu masyarakat itu meskipun beberapa rumah sudah mendapat bekalan asas tersebut.

Menurutnya, kebanyakan penduduk terpaksa menggunakan air perigi atau menarik air daripada rumah jiran dan keluarga terdekat bagi menikmati bekalan itu memandangkan air adalah keperluan utama dalam kehidupan seharian.

“Ketiadaan air sememangnya amat dirasai lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai bilangan anggota keluarga ramai,” katanya ­kepada Sinar Harian.

Maimun berkata, dia pula misalnya, terpaksa menarik sumber bekalan air bersih daripada rumah ibunya yang sudah dilengkapi kemudahan itu hampir dua tahun lepas.

“Apabila air paip ini dibuka di rumah kami, rumah ibu pula pasti mengalami gangguan bekalan air kerana hanya terdapat satu paip saja yang boleh dibuka sebagai sumber punca air di rumah,” katanya.

Katanya, dia sudah beberapa kali mengadu hal itu kepada agensi berkaitan, namun pihak yang menabur janji ­terus ‘diam membisu’ tanpa ­sebarang tindakan.

“Kampung ini adalah satu-satunya kampung Orang Asli yang terletak berhampiran dengan kawasan Bandar Kuala Rompin dan berharap ia menjadi sebuah perkam­pungan contoh kepada ­masyarakat Orang Asli lain,” katanya.

Menurutnya, dia berasa hairan bagaimana projek bekalan air bersih di kampung itu tergendala sejak sekian lama meskipun ada sebahagian daripada penduduk sudah pun menikmati kemudahan asas tersebut.

“Kami amat berharap kerajaan dapat membantu penduduk kerana keperluan bekalan air bersih amat diperlukan terutama jika ada kenduri kahwin dan sebagainya yang memerlukan sumber air yang banyak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tioman, Datuk Kapten (B) Mohd Johari Hussain berkata, masalah itu akan diatasi secara berperingkat-peringkat memandangkan sebahagian daripada penduduk sudah pun menerima bekalan tersebut.

Katanya, kos pemasangan paip air dari rumah ke rumah penduduk memerlukan ­peruntukan yang besar, namun masalah itu akan ­ditangani ­segera bagi memastikan setiap rumah menik­mati bekalan itu dalam waktu terdekat.

“Buat permulaan sudah pun merancang untuk menyediakan keperluan itu bagi 10 hingga 15 rumah dalam waktu terdekat ini bagi memenuhi hasrat penduduk yang mahukan bekalan air bersih sejak sekian lama,” katanya.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




4 ulasan:

Abu Syaukah berkata...

Hampir tidak percaya ada lagi rakyat di luar kelantan yang masih tidak mendapat bekalan air paip, lebih2 lagi negeri Pahang.

Tanpa Nama berkata...

Cuba buat kajian berapa ppm kandungan logam berat dalam air dirawat di KL, Selangor, NS dan sebagainya

Tanpa Nama berkata...

Dah dekat pilihan raya ni. Pasti BN akan sambung projek pembekalan air yang diminta pengundi.
Nampaknya Orang Asli telah cedik, kena pada masanya.

Tanpa Nama berkata...

Jangan ada sahaja paip air kerajaan tapi airnya tak ada..... juga di Pahang Darul Makmur