22 Mac 2012

Suhaila Yang Mempunyai Dua Rahim Selamat Menjalani Pembedahan Di Dubai

Nur Suhaila selamat jalani pembedahan

SHAH ALAM - Syukur, alhamdulillah! Ini kata-kata yang diluahkan oleh Hanita Mohd Tahir, ibu kepada Nur Suhaila Tukijan, yang selamat menjalani pembedahan di Hospital Universiti Sharjah, Dubai, hari ini.

Menurut Hanita, pembedahan bagi merawat anaknya yang menghidap 'Congenital Disorder', yang memakan hampir dua jam, berjaya disempurnakan oleh tiga pakar perubatan.

Nur Suhaila dibawa masuk ke dewan pembedahan sekitar jam 9.30 pagi waktu tempatan (1.30 tengah hari waktu Malaysia).

"Keadaanya kini stabil dan telah dipindahkan ke wad kira-kira 30 minit selepas selesai pembedahan.

"Berkat iringan doa rakyat Malaysia, Nur Suhaila berjaya dibedah dan segalanya berjalan lancar," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Hanita, doktor mengesahkan keadaan anaknya akan pulih dalam sedikit masa lagi, namun memerlukan dua rawatan susulan iaitu pada 26 Mac dan 3 April ini.

Sehubungan itu, beliau dan anaknya akan terus berada di Dubai, dan dijadualkan pulang ke tanah air pada 5 April ini.

Katanya, doktor memaklumkan bahawa pembedahan awal menyelamatkan Nur Suhaila daripada risiko jangkitan kuman kerana besar kemungkinan kedua-dua rahimnya akan dibuang sekiranya lambat dibedah.

"Alhamdulillah, pembedahan selamat dan berjalan lancar, tanpa sebarang risiko," katanya.

Dalam pada itu, maklumat diperoleh daripada www.malaysian-uae.com, portal rakyat Malaysia di Dubai, turut memaparkan gambar Nur Suhaila selepas menjalani pembedahan.

Menurut Exco MY-UAE, Zaida Khamis, Nur Suhaila dalam keadaan baik dan ditempatkan di Wad Wanita, Tingkat 1, Hospital Universiti Sharjah.

Sebelum ini, Nur Suhaila dijadualkan menjalani pembedahan esok, namun diawalkan sehari oleh pakar perubatan setelah menjalani ujian MRI dan ultrasound sebaik tiba di Dubai, kelmarin.

Kisah Nur Suhaila, dilaporkan Sinar Harian 22 Februari lalu, memerlukan RM60,000 bagi kos pembedahan.

Nur Suhaila mempunyai dua rahim dan salah satunya tidak berfungsi, dan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam itu hanya mempunyai satu buah pinggang.

Selepas liputan tersebut, Tabung Nur Suhaila mendapat perhatian rakyat Malaysia yang sememangnya tersentuh hati dan prihatin akan nasibnya.

Hasil sumbangan orang ramai, pembedahan Nur Suhaila berjaya dilaksanakan.

Antara pihak yang menyumbang ialah Lembaga Zakat Selangor, Persatuan Bekas Tentera Malaysia; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam, Badan Amal dan Kasih Negeri Selangor (Kasih), Kerajaan Negeri Selangor serta rakyat Malaysia di Dubai. -SH

Ulasan GB

Sama-sama kita doakan kesalamatan dan kesahteraan untuknya.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Part ni aku respek budak dan family dia. Dalam sakit nak bergambar pun tutup aurat.. ni la yg kita mahu. Syariah dipelihara dalam apa jua keadaan selagi termampu.

AzMiR