16 Mac 2012

Kilang Diserang 15 Lelaki Bertopeng

Georgetown: Sebanyak 16 kenderaan termasuk milik pegawai kanan sebuah kilang elektronik di Pusat Perindustrian Bayan Lepas, di sini dirosakkan oleh sekumpulan 15 lelaki bersenjatakan parang dan kayu yang menyerbu premis kilang itu semalam, mengakibatkan kerugian hampir RM3 juta.

CERMIN kereta dan cermin lobi sebuah kilang elektronik di Pusat Perindustrian Bayan Lepas dipecahkan penyerang.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, beberapa kereta yang dinaiki lelaki berkenaan memasuki perkarangan kilang terbabit selepas mengugut pengawal keselamatan menggunakan parang sebelum merosakkan semua kenderaan yang diletakkan di perkarangan kilang.

Seorang saksi yang enggan dikenali berkata, dia yang sedang berbual dengan rakannya terkejut apabila beberapa kenderaan tiba-tiba meluru masuk ke perkarangan kilang.

“Dalam sekelip mata saja, semua lelaki bersenjatakan parang dan kayu meluru ke arah kereta yang diletakkan di perkarangan kilang sebelum bertindak memecahkan semua cermin kenderaan, termasuk pintu lobi pejabat.

“Tiada siapa yang berani menghalang tindakan kumpulan lelaki terbabit. Semua yang berada di situ hanya mampu melihat pelbagai jenis kenderaan yang mencecah nilai keseluruhan hampir RM3 juta dirosakkan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Lai Fah Hin, yang ditemui di lokasi kejadian, berkata pihaknya yang mendapat maklumat bergegas ke lokasi kejadian sebelum mendapati semua kenderaan sudah dirosakkan.
Katanya, dalam kejadian itu, suspek terdiri daripada 15 lelaki tempatan bersenjatakan parang dan tukul besi bertindak menyerang kilang elektronik terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, kesemua pekerja kilang itu tidak mengalami sebarang kecederaan kerana ketika kejadian mereka berada di dalam bangunan.

“Suspek yang memakai topeng itu datang menaiki tiga kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu dan bertindak memecahkan sebahagian cermin bangunan dan merosakkan kenderaan pekerja, termasuk pengurus syarikat yang diletakkan di sekeliling bangunan.

“Pemeriksaan ke seluruh kawasan bangunan itu tidak menemui sebarang objek tajam yang dipercayai digunakan suspek sebagai senjata utama,” katanya.

Fah Hin berkata, kesemua suspek berjaya melarikan diri selepas bertindak memecah sebahagian harta benda kilang dan pekerja.

Katanya, polis akan menyiasat secara terperinci punca kejadian sama ada ia membabitkan individu, perniagaan, cemburu mahupun tukar milik dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh. -BH


15 suspek menyerang, merusuh dikenal pasti

GEORGETOWN — Polis yakin dapat menahan 15 lelaki yang dipercayai terbabit merusuh sebuah syarikat elektronik di kawasan perindustrian Bayan Lepas di sini petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Lai Fah Hin berkata, hasil siasatan awal, polis telah mengenal pasti identiti kesemua suspek terbabit dan yakin dapat menahan mereka tidak lama lagi.

Pada kejadian pukul 2.15 petang semalam, 15 lelaki tempatan bersenjatakan parang dan tukul besi memecahkan sebahagian cermin hadapan bangunan syarikat dan merosakkan 16 kenderaan termasuk milik pengurus syarikat berkenaan.

Bagaimanapun semua pekerja dalam bangunan kilang itu selamat dan mereka tidak berani mengambil sebarang tindakan ekoran serangan mengejut secara berkumpulan oleh 15 lelaki terbabit.

"Suspek datang dari luar Pulau Pinang dan kini polis sedang menjejaki mereka,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan di sini hari ini.

Fah Hin berkata, hasil siasatan juga mendapati serangan berpunca akibat perselisihan faham berkaitan perniagaan dan dendam.
— BERNAMA


2 ulasan:

Kak Mahh berkata...

Terasa tidak selamat pula...

Sinner berkata...

Malaysia PALING selamat..dun wuri..w/p tiap2 ari berlonggok kes rogol,bunuh,gengster..