15 Feb 2012

[Video] Lelaki Iran Cedera Dalam Serangan Bom Di Thailand

Bangkok: Seorang lelaki warga Iran yang membawa bom tangan cedera dan empat orang awam turut cedera dalam tiga letupan yang menggegarkan sebuah kejiranan di ibu kota Thailand itu, semalam.

Bangkok berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak bulan lalu apabila Amerika Syarikat mengeluarkan amaran mengenai ancaman pengganas di kawasan yang sering dikunjungi pelancong.

Namun, pihak berkuasa masih belum dapat memastikan jika insiden semalam ada kaitan dengan amaran Amerika itu.

Tiga lelaki dilihat melarikan diri setelah sebuah rumah di Sukhumvit Road, di timur Bangkok, meletup.

Skuad pemusnah bom bergegas ke kawasan itu dan melihat tiga lelaki melarikan diri dan seorang daripada mereka melontar bom ke arah sebuah teksi.

'Dia cuba menahan teksi tetapi memandangkan dia berlumuran darah, pemandu teksi tidak mahu berhenti,' kata Jeneral Polis, Pansiri Prapawat.

Lelaki itu kemudian cuba melempar sebutir bom ke arah polis, menyebabkan satu lagi letupan berlaku di tepi sebatang jalan yang sibuk.

Menurut pihak berkuasa, akibat letupan itu, sebelah kaki lelaki, yang dipercayai warga Iran itu hancur dan empat orang awam- tiga lelaki dan seorang wanita Thai - turut tercedera.

Letupan di Bangkok itu berlaku sehari setelah sebuah kereta diplomatik Israel dibom di India - serangan yang menurut Israel dilakukan Iran.

Pihak berkuasa Thailand mengatakan mereka tidak pasti jika kedua-dua insiden itu ada kaitan antara satu dengan lain, namun jurucakap Kementerian Luar Israel, Encik Yigal Palmor, berkata mereka tidak dapat menolak kemungkinannya.

Pasukan keselamatan Thailand menemui lebih banyak bahan letupan di sebuah rumah, yang didiami lelaki Iran itu ketika di Bangkok.

Tapi, kata Jeneral Pansiri, mereka tidak dapat pastikan apakah sasaran sebenar kumpulan itu.

Menurutnya lagi, sebuah pasport ditemui di salah satu lokasi letupan dan menunjukkan pengebom sebagai Saeid Moradi dari Iran.

Tambahnya, pihaknya percaya letupan pertama, yang memusnahkan sebahagian bumbung rumah Moradi, berlaku secara tidak sengaja.

Lelaki itu dan mereka yang cedera, kini dirawat di hospital.

Seorang lelaki Iran turut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, malam semalam sedang dia cuba berlepas ke Malaysia.

Lelaki itu masih disoal siasat dan pembabitannya dalam insiden letupan semalam masih belum dapat dipastikan. -- AFP, AP.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

menatang israel punya kerja la ni... derang tengah melobi nak serang fasiliti nuklear iran sekarang... tup tup ada serangan oleh orang iran pulak... cheh... perangai busuk macam amnu...