29 Feb 2012

Tuntutan Palsu: Mahkamah Dapati MP Sabak Bernam Bersalah

Shah Alam: Ahli Parlimen Sabak Bernam Abdul Rahman Bakri hari ini didapati bersalah terhadap lapan pertuduhan tuntutan palsu yang berjumlah RM80,000, tiga tahun lalu.

Abdul Rahman, 46, didakwa melakukan kesalahan itu semasa beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar mewakili Barisan Nasional (BN).

Hakim Mahkamah Sesyen Azhaniz Teh Azman Teh membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan bukti tanpa keraguan munasabah.

Selain itu, mahkamah turut mendapati pembantu Abdul Rahman, Rosli Busro, 43, bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dalam melakukan semua lapan kesalahan yang didakwa.

Hakim bagaimanapun bersetuju untuk menjatuhkan hukuman terhadap Abdul Rahman dan Rosli pada pukul 11 pagi esok.

Ini berikutan permintaan peguam bela mewakili kedua-dua tertuduh Affifuddin Hafifi dan Lim Kon Keen yang mahukan sedikit masa untuk menyediakan mitigasi serta rayuan terhadap hukuman yang bakal dikenakan.

Tuntutan palsu

Selaku ejen kerajaan Malaysia, Abdul Rahman didakwa dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya dengan menggunakan surat Adun yang mengandungi butiran palsu membuat tuntutan ke atas program atau aktiviti yang sebenarnya tidak dilaksanakan.

Antaranya pembelian hadiah dan cenderamata serta penganjuran jamuan Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di kawasannya.

Beliau juga didakwa membuat tuntutan menggunakan butiran palsu mengenai Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga KRT di Dun Sungai Air Tawar, Program Forum Perdana Peringkat Mukim Bagan Nakhoda Omar, program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Guru-guru Kemas serta Program Mesra Rakyat serta sambutan Maulud Nabi.

Semua tuntutan palsu itu membabitkan jumlah RM10,000 setiap satu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh antara 21 Januari hingga 12 Februari 2008 di Pejabat Daerah Sabak Bernam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa. Kes sebelum ini dibicarakan di Mahkamah Khas Jenayah Rasuah Shah Alam. -FMT

5 ulasan:

Amuraria berkata...

INIKAH EMIMPIN UMNO-BN ? MEMIMPIN MELALUI TELADAN ! LINGKOP MALAYSIA !

Tanpa Nama berkata...

Kalau betul-betul buat siasatan siapa yang sudah terima RM 500 dari kerajaan,akan tertangkaplah ramai ahli UMNO yang tidak layak terima RM500 sebagaimana yang disyaratkan.Khabarnya dalam satu rumah/keluarga ada yang terima 3-4 orang.Pemimpin dan Ketua UMNO tabur baucer RM500 tu macam bapak depa yang punya.

Tanpa Nama berkata...

Kalau betul-betul buat siasatan siapa yang sudah terima RM 500 dari kerajaan,akan tertangkaplah ramai ahli UMNO yang tidak layak terima RM500 sebagaimana yang disyaratkan.Khabarnya dalam satu rumah/keluarga ada yang terima 3-4 orang.Pemimpin dan Ketua UMNO tabur baucer RM500 tu macam bapak depa yang punya.

Tanpa Nama berkata...

Minta peluang lagi sekali. Wakakaka. Kot-kot dapat buat tuntutan lebih banyak di masa hadapan.Mana tahu, kalau nasib baik dapat 250 juta.

Tanpa Nama berkata...

hurmmmmm....my ex-primary teacher...