2 Feb 2012

Hujan Batu & Angin Puting Beliuang Landa Kulim

Ribut hujan batu rosakkan 57 rumah di empat mukim di Kulim

KULIM - Sebanyak 57 rumah rosak dalam kejadian ribut dan hujan batu di sini, petang semalam. Kejadian pada pukul 6 petang di empat mukim itu menerbangkan 28 bumbung rumah terbabit.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulim Rohana Yusuf berkata 35 rumah yang rosak itu ialah di Mukim Padang China, 16 di Mukim Keladi, lima di Mukim Lunas dan satu di Mukim Sungai Seluang.

"Kawasan yang paling teruk dilanda ribut ialah Taman Mutiara, Sungai Kob di Mukim Padang China," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian ribut mendapati banyak dahan, batang dan ranting pokok buah-buahan dan pokok hiasan bertaburan dan pokok yang tumbang telah dipotong dan dikumpul di tepi jalan untuk memudahkan laluan.

Seorang pekerja kilang, Hafizah Md Hasan, 40, berkata beliau yang mendukung anak bongsunya Norshafiq Hani, 2, nyaris ditimpa sebatang pokok mempelam ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari rumah pengasuh di Taman Mutiara, Sungai Kob.

"Dalam keadaan saya bersama anak basah kuyup akibat hujan lebat, saya hampir terjatuh berikutan angin kuat ketika berada berhampiran sebatang pokok mempelam...beberapa saat selepas itu, saya dapati pokok mempelam itu tumbang hampir menimpa saya dan anak," katanya.

Sementara itu, Penyelaras Parlimen Barisan Nasional (BN) Padang Serai Dr Chin Tung Leung, Setiausaha Umno Bahagian Padang Serai Drs Ahmad Zubib Saad dan Ketua Umno Cawangan Taman Mutiara Dr Zainal Abidin Raja Mohd Hashim melawat rumah-rumah mangsa untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerugian yang dialami mereka.- Bernama


Muka ‘dilibas’ angin puting beliung

KULIM: “Sebaik melintasi pokok mempelam milik jiran, saya terdengar dentuman sebelum pokok itu tumbang, manakala saya yang sedang mendukung anak kecil tiba-tiba terjatuh ke atas jalan selepas muka seolah-olah ‘dilibas’ angin puting beliung.”

Begitu kata pekerja kilang, Hafizah Md Hassan, 43, yang menceritakan semula detik cemas selepas terkena ‘libasan’ angin kuat dalam kejadian ribut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Mutiara, Sungai Kob, di sini, petang kelmarin.

Hafizah berkata, dalam kejadian jam 5.40 petang itu, dia bersama seorang anaknya, Nurshamila Shetri, 12, ke rumah pengasuh untuk mengambil bayi perempuannya, Nursyafiah Hany, 18 bulan, dalam hujan renyai-renyai.

“Sebaik pulang dari tempat kerja, saya mengajak Nurshamila menemani untuk mengambil Nursyafiah di rumah pengasuh kira-kira 80 meter dari rumah.

“Kami bertiga berjalan pulang dalam hujan semakin lebat dan angin mulai kencang. Kami bergerak cepat dengan menggunakan payung berikutan bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Tiba-tiba pokok mempelam milik jiran mengeluarkan bunyi kuat sebaik kami melintasinya lalu tumbang dan muka saya seperti ditolak menyebabkan saya dan dua anak jatuh terduduk di atas jalan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, ketika itu pandangannya menjadi kabur apabila melihat suasana menjadi putih seperti kabus lalu bingkas bangun dan menarik anak berlari ke rumah selepas payung turut diterbangkan angin kuat.

Katanya, beberapa minit kemudian dia terdengar pula dentuman kuat dari luar rumah dan mendapati bumbung rumah jiran, Mohd Dahar Yusoff pula diterbangkan angin. -hm

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

cik zul xbalik tgk ker?

Tanpa Nama berkata...

Taman Mutiara Sungai Kob....kawasan paling kerap keluar berita ditangkap khalwat,maksiat ...