19 Feb 2012

3 Maut Dalam Kemalangan Ngeri Di Dungun

Dungun – Hajat enam sekeluarga untuk menghadiri kenduri perkahwinan saudara tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 21.5, Jalan Dungun-Bukit Besi, Kampung Paya Kemudi di sini semalam.

Gambar: ORANG RAMAI melihat keadaan kereta mangsa kemalangan yang mengorbankan tiga sekeluarga di Kampung Paya Kemudi, Dungun semalam.

Dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu, pemandu kereta Proton Wira, Tengku Shafuddin Tengku A. Rahman, 46, dan isterinya, Salwiah Abdul Rahman, 42, maut di tempat kejadian sementara anak mereka, Tengku Muhammad Aqil Tengku Shafudin, 9, disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ibu kepada Tengku Shafuddin, Tengku Nik Asiah Tengku Embong, 70, berada dalam kritikal manakala dua lagi anak pasangan itu, Tengku Amir Haziz, 10, patah paha kanan dan Tengku Nor Azira 18, cedera ringan. Kesemua mereka menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Kampung Syukur, Pasir Raja untuk menghadiri kenduri perkahwinan di Kampung Gong Pasir. -kosmo

Tiga Beranak Maut Kereta Dinaiki Bertembung Lori Barang

DUNGUN: Tiga beranak maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung sebuah lori barang di kilometer 21.5 Jalan Dungun-Bukit Besi berdekatan Kampung Paya Kemudi di sini, Sabtu.

Kejadian itu berlaku kira-kira 11.40 pagi ketika Tengku Shafudin Tengku A Rahman bersama lima anggota keluarganya dalam perjalanan menghadiri kenduri kahwin saudara mereka.

Dalam insiden itu, Tengku Shafuddin, 46, dan isterinya, Salwiah Abdul Rahman, 42, mati di tempat kejadian manakala anak mereka Tengku Muhammad Aqil, 9, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Dungun.

Sementara itu, Ibu Tengku Shafuddin, Tengku Nik Asiah Tengku Embong, 70, yang parah di kepala dan patah kaki kanan, kini dilaporkan kritikal di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Dua lagi anaknya, Tengku Amir Haziz, 10, patah peha kanan dan dirawat di HSNZ manakala Tengku Nor Azira, 18, yang cedera ringan, menerima rawatan di Hospital Dungun.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu Tengku Shafuddin dari arah Bukit Besi ke Dungun dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah lori dari arah sama.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta jenis sama yang berada di belakang lori tersebut dikatakan cuba mengelak daripada melanggar kenderaan mangsa dan ini menyebabkan ia berpusing serta terbabas ke bahu jalan, sebelum merempuh tiang elektrik.

Pemandu kereta Mohd Adli Rashid Abdullah, 36, bersama isterinya, Haslinda Mohamad, 35, serta dua anak mereka yang berusia empat dan sembilan tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketika kejadian, Mohd Adli yang juga kakitangan Jabatan Alam Sekitar Kuantan, berkata mereka sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kuala Berang.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Ismail Abdullah ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.

Pemandu lori terbabit, Mohamad Abdullah, 58, dari Kampung Gong Pasir, Dungun pula cedera di bahagian lutut dan dirawat sebagai pesakit luar.
- BERNAMA


Tiada ulasan: