24 Okt 2011

Isu Gantung: Aziz Bari Hantar Jawapan Petang Ini, ABIM Desak Selesaikan Secara Akademik

Prof Dr Abdul Aziz Bari akan mengemukakan respons kepada surat tunjuk sebab pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), yang menjadi kontroversi akhir minggu lalu, hari ini kata peguam beliau.

“Draf surat jawapan sudah siap, Prof Aziz pun sudah luluskan, dan beliau akan menandatangani pagi ini, dan saya akan menghantar kepada UIA petang ini,” kata Dr Zulqarnain Lukman ketika dihubungi lewat malam tadi.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kandungan respons disediakan Aziz.

“Tunggu dulu, biar kami serahkan kandungan kepada UIA,” kata beliau.

Pengurusan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz (gambar) berhubung kenyataan pensyarah undang-undang itu ekoran titah Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

UIA memberi masa seminggu sehingga 4 petang esok kepada Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Surat tunjuk sebab itu juga menyebut beliau digantung perkhidmatan sehingga siasatan selesai dan dilarang memasuki kampus UIA.

Jumaat lalu, Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata Aziz perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIA untuk dibicarakan.

Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.

Dalam pada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abdul Manan berkata, sewajarnya segala persoalan akademik dilayan secara akademik, bukan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya kerana sebarang isu yang melibatkan pandangan, pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik.

“Seharusnya medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah. Tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Amidi berkata jika perkara ini terjadi, Abim percaya kredibiliti kedua-dua pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu.

Katanya, Abim juga khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu ini dan jika ia berlaku, ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia akademik di Malaysia.

“Abim menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak,” kata beliau lagi. -TMI

Abim: Selesaikan isu Aziz Bari secara akademik

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mahu kemelut penggantungan pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari tidak diselesaikan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya tetapi sebaliknya persoalan akademik dilayan secara akademik juga.

Justeru, kata presidennya, Amidi Abdul Manan (kiri), seharusnya medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah bagi menangani isu itu.

“Tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan.

“Sekiranya perkara ini terjadi, Abim percaya kredibiliti kedua-dua belah pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Amidi, Abim juga khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu ini.

“Jika perkara ini berlaku ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia akademia di Malaysia. Abim menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Aziz yang mencetuskan kontroversi apabila pensyarah UIA itu mengulas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemeriksaaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Jejas reputasi

Berikutan itu, beberapa pemimpin BN dan Umno serta media yang dikuasai mereka membidasnya sehingga pada Khamis lalu UIA bertindak mengantung tugasnya.

Amidi berkata dengan liputan media dan kenyataan oleh pelbagai kelompok, polemik itu boleh menjejaskan reputasi kedua belah pihak.

“Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mempunyai nama dan kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat di Malaysia.

“UIA telah berjasa melahirkan graduan yang berkualiti dan mampu memberikan sumbangan yang besar kepada agama, bangsa dan negara. UIA juga mempunyai reputasi yang baik diperingkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, begitu juga dengan Abdul Aziz yang merupakan seorang tokoh akademik dalam bidang perundangan yang begitu dihormati di negara ini.

“Beliau telah banyak menyumbangkan buah fikiran menerusi ceramah dan penulisan buku dan makalah dalam bidang kepakaran beliau iaitu perlembagaan,” katanya.

Jumaat lalu, hampir seribu mahasiswa berhimpun selepas solat bagi mengadakan bantahan dan mengancam mengadakan perhimpunan lebih besar jika kemelut itu tidak diselesaikan. -mk


Tiada ulasan: