4 Nov 2011

Sudahlah Meniru Pakatan, Tak Betul Pula Pelaksanaan…

Petaling Jaya, 3 Nov – Kerajaan Barisan Nasional yang cuba menjadi juara rakyat dengan meniru Bajet 2012 Pakatan Rakyat dilihat lebih membawa kerugian, malah mungkin membankrapkan negara.

Ianya dilihat sebagai satu lagi projek pembaziran oleh kerajaan BN apabila mengumumkan akan menambah 2,000 pekerja tambahan untuk menguruskan permohonan bantuan RM500 kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM3,000.

Adun DAP Kampung Tunku, Lau Weng San berkata, keputusan kerajaan yang memperuntukkan RM1.8 bilion untuk menjalankan program itu menjelaskan maksud sebenar mereka yang tergesa-gesa mengejar populariti.

Menurutnya, kos mengurus untuk membantu orang miskin lebih tinggi daripada jumlah dan nilai yang akan diterima oleh orang miskin, dan semuanya ini bakal ditanggung oleh pembayar cukai.

Beliau berkata, kos tinggi yang terpaksa kerajaan persekutuan tanggung, iaitu sebanyak RM36 juta setahun jika gaji purata ialah sebanyak RM1,500 sebulan untuk 2,000 pekerja tambahan ini.

“Satu ketika dahulu, kerajaan persekutuan yang didalangi BN mengkritik hebat dasar Pakatan Rakyat kerana dikatakan akan menjadikan kerajaan bankrap.

“Kalau dasar Pakatan akan membankrapkan kerajaan, mengapakah BN pula melaksanakannya sekarang?


“Malah kerajaan persekutuan di bawah UMNO pula dilihat cuba menggunakan duit kerajaan untuk memperkayakan ahli-ahli mereka sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Lau yang juga Setiausaha Organisasi DAP Selangor, berbanding Belanjawan 2012 Pakatan, peruntukan RM1.8 bilion oleh kerajaan persekutuan langsung tidak memperuntukkan satu sen pun untuk menampung perbelanjaan emolumen.

Justeru beliau mempersoalkan sama ada kerajaan BN sedar akan banyak kepincangan mereka sendiri, sehinggakan perlu mengupah 2,000 pekerja tambahan dan kos tersebut akan dimasukkan dalam Bajet Tambahan.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni kelmarin bahawa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu mengupah seramai 2,000 pekerja tambahan untuk menguruskan program tersebut.

“Mengapakah kerajaan persekutuan tidak menggunakan tenaga kakitangan sedia ada untuk melaksanakan dasar ini?

“Adakah kerajaan persekutuan akan mengambil ahli-ahli UMNO untuk menjalankan program ini dan sekaligus menjadikan dasar ini alat pancing undi?

“Jikalau ini ialah apa yang berlaku sebenarnya, maka ini menunjukkan kerajaan persekutuan tidak merancang program ini sebaik-baiknya daripada permulaaan,” katanya. – Roketkini

Tiada ulasan: