4 Nov 2011

Kepulangan Dua Orang Cucu Natrah Menggamit Kenangan

Chukai: “Kami teruja dan gembira dapat bertemu keluarga yang pernah bersama nenek dulu. Kami banyak mengetahui kisahnya daripada ibu bapa dan internet,” kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah Maarof atau Maria Bertha Hertogh.

Isu Natrah, wanita berketurunan Belanda menjadi anak angkat kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu, pernah menjadi kontroversi apabila mahkamah memutuskan gadis itu dipulangkan kepada bapanya, sehingga mencetuskan rusuhan di Singapura pada 1950.

Sasha, cucu sulung Natrah, bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dibawa dari Belanda untuk bertemu Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat Che Aminah, di Kampung Mak Chili Paya di sini, semalam, atas inisiatif Tourism Malaysia Terengganu dan Tourism Malaysia The Hague, sempena program ‘Building Bridges, iaitu program menggalakkan pelajar luar melancong ke negara ini.

Sasha adalah anak kepada pasangan Jan Van Gastel dan Carolien Van Gastel, manakala Romy adalah anak kepada Frans Wolkenfelt dan Carla Wolkenfelt.

Carolien anak perempuan Natrah, manakala Wolken-felt anak sulung Natrah.

Gambar: ROKAYAH sambil diperhatikan Romy, memakaikan Sasha tudung ketika kunjungan ke rumahnya di Kampung Mak Chili Paya, Chukai.

Kali pertama bersua, dua gadis itu pada mulanya agak kekok, namun keramahan keluarga Rokayah melayani mereka membuatkan suasana bertukar lebih selesa hinggakan suasana hiba terbit apabila Sasha dan Romy mahu pulang selepas kira-kira empat jam bersama.
Sasha dan Romy turut bertukar cenderamata dengan keluarga pesara guru itu dan dibawa melawat rumah lama Che Aminah di Kampung Gong Pauh, di sini.

Sasha yang saling tidak tumpah iras Natrah agak sukar berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, tetapi dibantu Romy yang boleh bertutur sedikit dalam bahasa Inggeris dan mereka tidak putus-putus berbual mengenai kisah silam dengan Rokayah, yang melayan mereka sambil menunjukkan gambar dan laporan meluas media mengenai Natrah di negara ini.

“Di sana (Belanda) orang tidak ambil kisah kami cucu Natrah, tetapi apabila di sini, kami agak terkejut apabila menjadi tumpuan dan ditemubual seperti ini. Kami diberitahu mengenai perancangan membawa kami ke sini seminggu lalu dan kami sangat teruja.

Gambar: SASHA (kanan) melihat Romy mencuba permainan tradisi Melayu, ‘ting-ting’ yang dipercayai menjadi kegemaran nenek mereka ketika kunjungan mereka ke Terengganu.

“Kami sudah mengambil banyak gambar dengan keluarga angkat nenek dan keindahan Malaysia. Kami tidak sabar untuk berkongsi dengan keluarga di Belanda,” katanya sambil mengucap terima kasih kepada Tourism Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Tourism Malaysia Terengganu, Mohd Nasir Kushairi, berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan pelajar serta lepasan kolej luar negara melawat Malaysia, khususnya Terengganu.

Natrah adalah anak kepada pasangan Adeline Hunter dan Andrianus Petrus Hertogh, berketurunan Belanda. Beliau diserahkan bapanya kepada seorang wanita bernama Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia selepas menjadi tawanan tentera Jepun pada 1942.

Sejak itu, Natrah yang ketika itu dikatakan berusia lima tahun dibesarkan oleh Che Aminah dan menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan mengikut adat Melayu dan Islam.

Namun, selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah sehingga berjaya menemuinya, namun berlaku perebutan antara Hertogh dan Che Aminah terhadap penjagaan Natrah sehingga terpaksa membuat rayuan di mahkamah dan Che Aminah berjaya mendapat Natrah.

Natrah kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun dan pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan Natrah dikembalikan semula kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Selepas itu berlakulah rusuhan Natrah di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus lagi cedera. -BH

Jejak tempat nenek bermanja


CHUKAI: “Nenek (Natrah Maarof) tidak pernah menceritakan kisah silamnya kepada cucu-cucunya. Hanya ibu yang rajin bercerita mengenai kisah dia di Malaysia.

“Semua diceritakan ibu membuatkan saya sentiasa ingin datang ke negara ini dan kini saya amat gembira apabila hasrat itu terlaksana.” Demikian kata Sasha Van Gastel, 18, cucu Natrah atau nama sebenarnya, Maria Bertha Hertogh yang dibawa oleh Tourism Malaysia (TM) Terengganu ke negeri ini untuk melihat tempat pernah didiami neneknya lebih 60 tahun lalu. Menerusi program dinamakan Building Bridges (BB) dilaksanakan dengan kerjasama TM di The Hague, Belanda, Sasha bersama sepupunya, Romy Elizabeth Marian Smol, 17, dijadualkan berada di negeri ini selama empat hari bermula semalam.

PERTEMUAN BERMAKNA...Sasha (tiga dari kanan) dan Romy (empat dari kanan) diraikan kedatangan mereka oleh keluarga angkat Natrah di Kampung Mak Cili Paya, Kemaman, semalam.


“Sukar diceritakan bagaimana perasaan saya apabila dapat melihat kawasan yang pernah didiami nenek satu ketika dulu,” katanya.

Dua bersaudara itu semalam dipertemukan dengan Rokayah Yusof, 65, anak saudara angkat kepada Natrah di kediamannya di Kampung Mak Chili Paya di sini.

Sasha, anak kepada pasangan Carolein Van Gastel dan Jan Van Gastel berkata, dia dan Romy hanya dimaklumkan mengenai pertemuan dengan Rokayah kira-kira seminggu sebelum berlepas ke negara ini.

“Sejak itu, pelbagai gambaran bermain di fikiran saya dan berasa amat gembira apabila dilayan dengan mesra,” katanya yang terharu dengan layanan keluarga Rokayah.

Gambar: NATRAH...meninggal 2009

Seperti Sasha, Romy, anak kepada pasangan Frans dan Carla Wolkenfelt, turut berkongsi perasaan gembira dengan pertemuan dengan Rokayah serta keluarganya.

“Sebelum ini, saya hanya melihat keindahan dan keunikan Malaysia melalui pembacaan, Internet dan (cerita) ayah. Namun, program ini peluang keemasan untuk saya lebih mengenali keluarga angkat nenek di Malaysia walaupun kami tidak pernah bersua muka.

“Lebih membuat saya terharu, layanan mereka berikan terhadap saya dan Sasha. Mereka amat mesra dan melayan kami seolah-olah pernah bertemu sebelum ini.

“Walaupun pertemuan hanya sekitar empat jam, ia meninggalkan banyak kenangan manis. Malah, layanan mesra yang mereka berikan kepada kami membuatkan saya faham mengapa nenek begitu dekat dengan budaya dan adat Melayu,” katanya yang menggemari makanan pedas di Malaysia.

Bagi Rokayah pula, pertemuan dengan dua cucu Natrah adalah satu perkara yang tidak pernah terlintas di fikirannya selama ini.

“Saya tidak menyangka akan bertemu semula dengan waris Natrah dan selama ini menganggap perhubungan dengan keluarga Natrah sudah terputus,” katanya.

Rokayah, anak kedua daripada lapan beradik, adalah anak kepada Kamariah yang menjadi adik-beradik angkat dengan Natrah ketika wanita Belanda itu dibesarkan Che Aminah Mohamad di Terengganu pada zaman penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Menurut Rokayah, pertemuan itu sememangnya tidak dijangka apatah lagi selepas ketiadaan ibu saudaranya (Natrah) yang meninggal dunia pada 9 Julai 2009.

“Saya bersyukur kerana masih dipanjangkan umur dan berkesempatan bertemu dengan tiga generasi dalam keluarga Natrah sendiri.

“Jika diikutkan, tidak banyak kenangan antara saya dan Natrah apatah lagi ketika itu saya masih kecil. Namun, ikatan kekeluargaan yang ada menyebabkan rasa kasih dan sayang itu tidak pernah putus.

“Bayangkan, saya hanya bertemu Natrah pada 1998 iaitu selepas 46 tahun kami terpisah. Ia satu pertemuan yang penuh bermakna sebelum dua anak Natrah, Carolein dan Silvia bersama pasangan masing-masing melawat kami awal Januari lalu.

“Kini, tanpa disangka dua cucunya pula datang. Lebih membuatkan saya tersentuh apabila memandang wajah Sasha yang mirip neneknya (Natrah),” katanya yang juga pesara guru.

Menurutnya, kehadiran dua gadis remaja itu seakan-akan rahmat dan hadiah bermakna sempena sambutan Aidiladha, Ahad ini.

“Pertemuan bukan saja mengeratkan hubungan dua negara tetapi ikatan kekeluargaan yang tidak terputus walaupun berlainan agama dan budaya.

“Apa yang diharapkan, hubungan kekeluargaan ini akan berkekalan. Malah, saya turut menyimpan hasrat untuk melawat keluarga Natrah di Belanda,” katanya. -HM


Susur galur


1937 24 Mac- Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh

Disember 1942- Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.

Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.

15 November 1945- Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.

1945- Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.

September 1949- Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.

19 Ogos 1949- polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.

12 April 1950- Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.

22 Mei 1950- Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura

24 April 1950- Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura

28 April- Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.


19 Mei 1950- peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .

28 Julai 1950- Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill

1 Ogos 1950- kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.

2 Disember 1950- Ketua Hakim mengeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah. Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.

Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.

12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman – Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.

12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.

13 Disember 1950- Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.

Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.

15 Disember 1950- Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk ‘Welcome Back Bertha’. Mereka dari ‘Bertha Hertogh Comittee’ yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.

Gambar: Natrah solat

Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang ‘Di mana masjid di Bergen Op Zoom?’. Natrah minta sejadah, bertanyakan kiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.

Januari 1952- Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.

9 Januari 1951- Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.

10 Januari 1951- Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.

17 September 1951- Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.

Mac 1953- Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya ‘Bertha Hertogh’.

25 Januari 1953- Surat Mansor Adabi kepada Natrah

20 Julai 1953- Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.

1954- Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri. Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.

26 Januari 1956- Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.

20 April 1956- Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.

15 Februari 1957- Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.

20 Januari 1959- Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.

3 Februari 1959- Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail ‘Personal – Mansor Adabi’ di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.

25 November 1975- Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.

16 Ogos 1976- Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru – tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.

26 Disember 1976- Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.

Gambar: Masa datang ke malaysia jenguk keluarga angkat di kemaman.

1976- Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an

Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans – lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.

1983- Bertha bercerai dengan Tom Ballermans

1984- Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.

15 September 1984- Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga… Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.

Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.

Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyanyian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.

9 Julai 2009 – Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda.

Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama.




Tiada ulasan: