15 Nov 2011

Bayi Lelaki Ditemui Dalam Beg Yang Bergerak-gerak

Bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh beberapa jam ditemui berbalut dengan tuala dalam beg di belakang bangunan Klinik Kesihatan Daerah Kota Setar di sini, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu, berkata, bayi yang berusia empat jam itu dijumpai oleh seorang jururawat sekitar jam 12.05 tengah hari semalam sebelum dihantar ke unit kecemasan klinik berkenaan.

Menurutnya, bayi berkenaan ditinggalkan di bawah pokok yang terletak antara kawasan tempat letak kereta dan longkang belakang wad sakit jiwa lelaki.

“Ketika dijumpai bayi yang dipercayai berbangsa Melayu berada dalam keadaan sihat dan masih mempunyai tali pusat serta terdapat sedikit kotoran pada bahagian mukanya.

“Bayi itu kini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk rawatan susulan,” katanya kepada Sinar Harian.

Baharom berkata, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

“Kita akan terus menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan pemilik sebenar bayi berkenaan,” katanya. -SH


‘Beg bergerak-gerak’

ALOR SETAR: Seorang jururawat tidak menyangka beg kain berbelang merah putih di bawah pokok yang ditemuinya berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini, semalam, mengandungi bayi lelaki baru dilahirkan.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, bayi dalam keadaan berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih itu dipercayai baru empat jam dilahirkan.

Bayi seberat 2.6 kilogram (kg) yang masih bertali pusat itu ditemui jururawat berkenaan yang baru saja meletakkan kenderaan di kawasan itu untuk memulakan tugasannya di klinik.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Baharom Abu berkata jururawat itu membuka bungkusan itu dan terkejut apabila mendapati ada bayi lelaki di dalamnya.

“Bayi yang masih bertali pusat itu dipercayai baru empat jam dilahirkan dan mukanya masih kemerahan selain tangannya dihurungi semut. Bayi itu ditemui di bawah pokok berhampiran kawasan letak kereta di belakang Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar, Lebuhraya Darulaman, di sini.

“Jururawat itu ternampak beg kain berbelang merah putih di bawah pokok berhampiran yang kelihatan bergerak-gerak sebelum menghampirinya. “Dia mendapati seorang bayi lelaki yang hanya berbungkus dengan tuala mandi berwarna putih di dalam beg berkenaan dan terus membawanya ke klinik sebelum menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam. -hm


Tiada ulasan: