16 Nov 2011

152,182 Anak Luar Nikah Dalam 2 Tahun, Kegagalan UMNO Didik Rakyat

Kuala Lumpur - Seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan Kementerian Pemba­ngunan Wanita, Ke­luarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010.

Timbalan Menterinya, Heng Seai Kie berkata, dari pada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), telah menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasikan pendidikan kesihatan reproductive dan sosial.

“Program itu melibatkan 64,000 remaja mengenai pendidikan dan risiko yang terpaksa ditempuhi kerana tindakan mereka,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Jidin ingin tahu jumlah anak luar nikah direkodkan sejak 2008, punca masalah dan inisiatif kementerian membendung gejala itu.

Seai Kie (gambar) berkata, enam pusat remaja ditubuhkan untuk golongan sasar berumur antara 13 dan 24 tahun, bagi memberi maklumat berkaitan isu psikososial termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan kemahiran hidup.

“Program outreach yang dilakukan di sekolah dan komuniti setempat itu berjaya mendekati 257,147 remaja, melalui 4,698 program dari November 2005 hingga September 2011,” katanya.

Timbalan Menteri Ke­sihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin pula memberitahu dewan bahawa 24,813 orang, dimasukkan ke hospital kerajaan kerana masalah berkaitan mental tahun lalu.

“Setakat ini, kita ada empat institusi mental di seluruh negara, 42 hospital kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan mental dan 124 pakar dalam bidang tersebut,” katanya kepada soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Pengkalan Chepa).

Rosnah berkata, usaha sedang dijalankan bagi meningkatkan kesedaran awam serta kepekaan masyarakat untuk mengenal pasti tanda-tanda awal dan mereka yang berpotensi mendapat rawatan awal. - Bernama


Anak luar nikah: Umno tidak relevan didik rakyat

KUALA LUMPUR, 16 Nov: Umno telah gagal untuk mendidik rakyat ke arah hidup yang lebih seimbang dan tidak bermoral, kata Penolong Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Nazmi Nik Din.

Katanya, Umno sentiasa mendakwa bahawa hanya mereka yang boleh menjaga umat Islam di negara ini tetapi apa yang berlaku sebaliknya.

Ini, katanya membuktikan kegagalan Umno untuk melaksanakan amanah mentadbir generasi muda di negara ini.

Beliau menyatakan demikian ketika mengulas media hari ini yang melaporkan bahawa seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tak sah taraf direkodkan antara tahun 2008 dan 2010 yang memetik kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

“Apa yang berlaku adalah kerana dasar pendidikan kita yang gagal dalam mengeluarkan insan yang mampu merubah masyarakat, kementerian yang terbabit diseru melihat kepada angka ini dengan serius.

“Kita percaya seluruh rakyat Malaysia mahukan dasar pendidikan yang lebih ‘bermakna’ dalam kehidupan mereka dan bukan hanya mnegejar kecermelangan akademik sahaja semata-mata” kata beliau lagi,” katanya.

Tambahnya, Umno tidak serius menangani masalah sosial, pandangan para ulamak tidak menjadi keutamaan dalam membuat keputusan, konsert-konsert yang tidak bermoral masih berleluasa, rakyat dihidangkan dengan kehidupan yang melangkaui batasan tanpa pemantauan yang sewajarnya melalui media massa sama ada surat khabar atau televisyen.

“Inilah akibat apabila Islam tidak dijadikan asas utama dalam perjuangan, media arus utama terutamanya televisyen dan pembikinan filem lebih cenderung menghidangkan pengisian-pengisian yang tidak sepatutnya, rakyat menjadi lalai untuk mengenali tujuan manusia dicipta oleh Allah s.w.t di atas muka bumi ini,” ujar beliau lagi. -HD


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

'HARGA' yang perlu dibayar oleh rakyat dengan pembaharuan dan kemajuan yang dibuat oleh pemerentah.