7 Okt 2011

Akta Kerja Diluluskan Walaupun Dibantah MTUC: Bukti Kerajaan Tak Dengar Suara Rakyat

Akta Kerja: Dewan Rakyat lulus, MTUC putus tindakan susulan Isnin

Meskipun dibantah keras oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selain mengadakan piket di kawasan Parlimen Isnin lalu, Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2010 diluluskan selepas melalui sesi perbahasan lebih lima jam.

Pagi tadi, MTUC mengadakan pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam dan menggesa agar pindaan Akta Kerja ditarik balik dan ditangguhkan.

Bagaimanapun kementerian bertegas mahu meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen sehingga mengejutkan sebahagian besar kepimpinan MTUC.

Rang undang-undang itu dibacakan untuk kali kedua oleh Dr Subramaniam petang tadi, lapor Bernama Online.

The Malaysian Insider difahamkan jawatankuasa kerja MTUC akan bertemu esok sebelum mesyuarat majlis am petang Isnin ini.

“Mesyuarat majlis am akan memutuskan tindakan susulan... apa tindakan yang perlu diambil, hanya majlis am merupakan badan tertinggi MTUC,” kata Naib Presiden A Subramaniam ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Kementerian Sumber Manusia berkata pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.

Selain itu, kementerian juga akan mempunyai rekod komprehensif pekerja bagi memudahkan urusan pemantauan.

Semasa menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut, Dr Subramaniam berkata pendaftaran subkontraktor dengan kementerian juga dapat memastikan penyumberan luaran tidak menjadi satu budaya dalam sektor pekerjaaan.

“Lesen penyumberan luaran sebelum ini di bawah kuasa Kementerian Dalam Negeri... sekarang dah beku, tiada lesen baru... dengan pindaan akta ini, subkontraktor pencari pekerja perlu daftar dahulu dengan kementerian bagi memastikan perlindungan dapat diberi kepada pekerja,” katanya.

Pengenalan peraturan berkenaan gangguan seksual pula, Dr Subramaniam berkata adalah untuk mengawal dari segi perhubungan antara majikan dan pekerja.

Isu pendaftaran agensi pembekal tenaga buruh hangat dibahaskan oleh Ahli Parlimen pembangkang yang mahu ia terus dihapuskan dan pengambilan pekerja serta kebajikan mereka diuruskan secara langsung oleh majikan.

Antara wakil pembangkang yang membangkitkan isu tersebut adalah Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat), M.Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) dan (PSM-Sungai Siput).

Isnin lalu, Dr Subramaniam berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu tetap diteruskan pada sesi Dewan Rakyat kali ini walaupun ditentang MTUC.

Dr Subramaniam berkata pindaan akta itu akan membolehkan pemantauan dan pengawalan agensi pembekal tenaga buruh yang lebih sistematik, terutama di kawasan terpencil.

Rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada sesi Parlimen 8 Julai 2010, namun ditarik balik pada sesi Parlimen 12 Oktober 2010 bagi mengambil kira pandangan saat akhir daripada pelbagai pihak termasuk MTUC mengenai pentakrifan subkontraktor untuk tenaga kerja kepada kontraktor bagi tenaga kerja di bawah Seksyen 2 Akta Kerja 1955.

“Kita dah bincang perkara ini sudah 18 kali, bukan sekali dua dan pandangan mereka diterima, sekarang di saat-saat akhir mereka membuat demikian (piket), tapi niat kita ialah untuk memberi perlindungan kepada pekerja bukan untuk buka ruang ‘outsourcing’ seperti yang dituduh mereka,” katanya.

Ulasan GB

Kementerian Sumber Manusia teruskan juga Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) dan melawan aspirasi MTUC.

Bagus! Itu tanda BN tak hiraukan suara rakyat. Itu juga petanda keruntuhan BN di dalam PRU akan datang. Yang jelas lebih ramai kaum pekerja akan tolak BN.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kerajaan sekarang memang pekak.

Tanpa Nama berkata...

Akta Kg,Baru pun diluluskan walau pun sejumlah besar tuan tanah Kg.Baru menentang.Ada apa pada slogan "Rakyat Didahulukan",.Slogan sebenar: "Cukong diutamakan".