18 Sep 2011

[Video] Tiga Rakyat Malaysia Terbunuh Dalam Letupan Bom Di Sungai Golok

Tiga rakyat Malaysian termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terbunuh dan sekurang-kurangnya 50 yang lain cedera dalam tiga letupan di bandar selatan Thailand malam tadi.

Ketiga-tiga letupan itu dilaporkan berlaku di sepanjang Jalan Cheroen Ket, berhampiran sebuah hotel dan pusat kebudayaan.

Letupan pertama terjadi pada pukul 7.30 malam (waktu Malaysia), demikian menurut laporan The Star Online hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok Rusdi Che Omar dipetik berkata, mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Foong Foo Keah, 45, dari Kuantan, Pahang; Wong Hong Yep, 63, dan cucunya Wong Kai Sien, kedua-duanya dari Jalan Hamzah, Kota Baru.

Seorang rakyat Thailand, yang hanya dikenal pasti sebagai sukarelawan juga terbunuh dalam kejadian itu.

Menurut laporan itu, Wong dan cucunya tiba di Sungai Golok bersama rakannya kelmarin untuk membeli-belah.

Dalam pada itu, laporan New Straits Times Online pula menyebut, bom meletup berhampiran dua hotel iaitu Parkson Hotel dan Merlin Hotel, yang masing-masing terletak dalam jarak 50 meter.

Kedua-dua hotel itu popular di kalangan rakyat Malaysia, katanya.

Ketua Polis Sungai Golok Kol Chakapon Phancon berkata, “situasi sangat kritikal. Kami percaya sejumlah ramai rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian ini.”

Katanya, pihak polis percaya letupan adalah kerja kumpulan pemisah.

Kejadian semalam adalah yang pertama di wilayah selatan Thailand yang berhadapan dengan konflik menuntut kemerdekaan.

Sungai Golok terletak kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Ketiga-tiga letupan terjadi antara pukul 7.40 dan 8.20 malam, kata laporan laman web Teak Door.

Kejadian pertama dilaporkan di kawasan bertentangan dengan Teochew Association di Jalan Charoen Khet.

Letupan kedua dilaporkan berlaku 15 minit kemudian dan ketiga sekitar 8.20 malam.

Sejak 2004 hingga bulan lalu lebih 11,000 kes keganasan dilaporkan dengan lebih 4,800 kematian kebanyakannya Muslim.



Tiada ulasan: