18 Sep 2011

PAS Merlimau Adakan Solat Hajat Selamatkan Tanah Markas PAS & PASTI As-Solihin

PAS Merlimau hari ini telah mengadakan majlis Solat Hajat untuk menyelamatkan tanah Markas Pas dan PASTI As-Solihin, Merlimau dari dirampas oleh Kerajaan Negeri Melaka di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960.

Majlis Solat Hajat berkenaan telah diadakan sempena sambutan Majlis Jamuan Hari Raya peringkat Majlis Tindakan DUN Merlimau di perkarangan PASTI As-Solihin Merlimau.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Bekas Yang Dipertua PAS Kawasan Jasin, Tn Hj Major Jasme Tompang yang di dalam ucapannya telah melahirkan rasa dukacita di atas tindakan kerajaan negeri yang sentiasa mencari jalan untuk mengkucar-kacirkan dan memusnahkan markas-markas PAS di dalam negeri ini.

Tanah tersebut telah dibersihkan dan dibangunkan dari hutan belantara sewaktu beliau memimpin PAS Kawasan Jasin, tetapi akibat daripada kerakusan pihak tertentu, tanah tersebut kini hendak diambil alih oleh Kerajaan Negeri dengan sebegitu mudah.

Sementara itu, Yang Dipertua PAS Jasin yang baru, Ustaz Kamaruddin Sidek (gambar) turut menyelar tindakan kerajaan negeri Melaka yang cuba menggunakan kuasa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk merampas tanah markas PAS.

Beliau mengimbau sejarah pengambilan Madrasah Al Falah Kuala Sungai Baru pada tahun 1993/94 dimana selepas pengambil-alihan tersebut, madrasah yang di satu ketika menjadi kebanggaan Parti Islam SeMalaysia akhirnya bertukar entiti dan identiti sebagai sekolah bantuan kerajaan yang sudah tidak lagi mempunyai "roh" perjuangan untuk mendaulatkan Islam.

Semalam, blog ini menyiarkan berita dari akhbar tabloid tindakan Kerajaan Negeri mahu mengambil tanah Markas Pas As-Solihin, Merlimau, di bawah Seksyen 3 (1) (a) Akta Pengambilan Tanah 1960 telah mendapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk pemilik tanah berkenaan.

Pemilik, Miah Jani, 74, yang berkata, beliau membantah tindakan itu kerana mendakwa bersusah payah membelinya tetapi dengan tiba-tiba ingin diambil alih Kerajaan Negeri.

Menurutnya, bukan mudah untuknya memiliki tanah itu yang kini didirikan Markas Pas dan juga Sekolah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) As-Solihin.

“Saya beli dengan bersusah payah dan rancang nak bangunkan, tapi tiba-tiba dirampas pula, tanah ini bukan tanah terbiar.

“Sejak awal sudah ada Pasti As-Solihin dan diimarahkan dengan pelbagai program Pas untuk hidupkan aktiviti masyarakat di sini, saya tidak reda dengan tindakan ini,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Abdullah Mohamad, 76, beliau sekeluarga memberi kebenaran tanah itu dijadikan Markas Pas dan Pasti sejak1996 termasuk segala aktiviti yang berkaitannya.

“Saya bantah dan tak setuju kerana saya sudah rancang dengan pemaju untuk bangunkan tanah ini bagi projek perumahan yang sedang dijalankan,” katanya.

Ini adalah pengambilan kali kedua Markas Pas Kawasan di Melaka di bawah akta sama dengan menggunakan alasan ingin membina sekolah tahfiz al-Quran. Manakala bagi pengambilan tanah Markas Pas Bukit Katil sebelum ini, bertujuan membina jalan raya.

Tiada ulasan: