31 Ogo 2011

Tragedi Bukit Kepong: Siapa Pejuang Siapa Pengkhianat?

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu perlu balik ke landasan yang betul dan berpegang kepada prinsip taqwa.

Sebagai seorang pemimpin Islam, beliau berkata Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu patut selalu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan sentiasa bercakap benar.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan Mat Sabu memutarbelitkan kenyataan adalah satu dosa.

“Kalau dah tersasul dia kena mohon ampun pada Tuhan dan bertaubat supaya tak melakukan sesuatu seperti itu lagi,” katanya kepada pemberita semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini.

Dipetik Bernama Online, Muhyiddin berkata demikian semasa diminta mengulas tindakan Mat Sabu menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung tragedi Bukit Kepong yang mendakwa penyerang anggota keselamatan dan keluarga tragedi itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Muhyiddin kesal dengan kenyataan Mat Sabu dan menyifatkan pemimpin PAS itu lebih berpolitik dan tindakan Mat Sabu menafikan membuat kenyataan itu dan berhasrat menyaman akhbar Utusan Malaysia hanyalah psikologi politik bagi memperbetulkan keterlanjurannya.

“Bagi saya, saya tak tahu ini gambaran PAS yang sebenarnya atau perlakuan peribadi Mat Sabu tetapi yang pastinya apabila seseorang seperti beliau berucap, beliau bercakap dalam kapasiti sebagai Timbalan Presiden (PAS),” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kalau itu menjadi trend PAS pada masa akan datang, ia telah lari daripada asas perjuangan parti berkenaan. -TMI


Sejarah: Cakaplah benar walaupun pahit

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, manusia perlu jujur dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.

“Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang diputarbelitkan oleh media perdana.

Dalam isu sejarah kejadian Bukit Kepong yang dibangkitkan Mohamad dalam satu ceramahnya yang sengaja dijadikan isu kontroversi hangat oleh Umno baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas itu.

"Apakah British dan konconya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah?

“Kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

"Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang,”
kata beliau.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Ini disusuli pula dengan pelbagai kecaman daripada pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan dan jasa Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

“Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat?” soal beliau.

"Disebabkan pada zaman British menjajah negara kita, British telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka, namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan, katanya maka kini, timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

“Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British.

"Atas penilaian inilah, kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero.

Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” tanya beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

“Jika dua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya.


Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.

"Yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero,” terang beliau lagi.

Secara menafsir sejarah secara jujur, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun.

Namun demikian, kata beliau ia tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya “menghalau penjajah” – namun apa yang pasti, “menghalau penjajah” merupakan common goal yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain.

“Pada tahun 1950, adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi Merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu.

Selepas Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.

"Oleh itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis,”
tegas beliau, sambil menambah sekiranya tafsiran sejarah dibuat secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era.

“Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri SELEPAS menghalau penjajah,” kata beliau.

Kontroversi yang sama juga timbul pada sejarah tanahair yang paling kritikal iaitu di zaman peralihan antara Jepun dan British, katanya, di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British.

“Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

"Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” nasihat beliau.

Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis berkata kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu. -HD




7 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

dalam menilai isu ini,jgn lah terikut2 emosi yang dibawa oleh utusan sebab penilaian mereka berasaskan emosi dan matlamat menghalalkan cara..bebeapa persoalan yang mesti dijawab oleh pendukung sejarah dan ianya jawapan sebenar kepda polimik sekarang.

1.Peristiwa pembunuhan JWW Birch di pasir salak-polimik pembunuhan Mat Arshad,,seorang melayu yg berkerja untuk bristis dibunuh oleh melayu sendiri dan dianggap tali barut british ketika menampal poster pengistytiharan cukai dan kekuasaan british,,adakah mat arshad dianggap hero atau pejuang???

2. Tokoh seperti abdul rahman limbong,,dianggap penderhaka kerana
memperjuangkan tanah adat di terengganu.oleh kerana hasutan bristih,sultan sanggup mengisyitaharkan ARL penderhaka,,adakah ARL penderhaka atau pejuang.

anda nilailah sendiri,,,fakta tidak pernah menipu...

Tanpa Nama berkata...

PAS dah tak relevan utk perjuangan berteraskan ISLAM.
Dimana perjuangan PAS utk kemajuan ISLAM?

Pemimpin2 PAS tak berani nak menegur kepimpinan DAP walau pun menyentuh isu agama Islam.

Perjuangan PAS dah terpesong jauh dgn perjuangan asal mereka.




klarmyarmtongteng.
Siapa ULAMAK PAS?

Md Sabu?

Mahfuz Omar?

Ular dalam semak ada lar!

Tanpa Nama berkata...

TPM tahu pula sebut DOSA.... alahamdulillah,tang orang lain dosa aje,tapi bab umnongok tak pula berdosa....ni mazhab umno saje kot.

1 Malaysia berkata...

edih dan Hampa bila melihat, mendengar dan menghayati ucapan-ucapan dari pemimpin tertinggi negara. Depa menuduh Mat Sabu buta sejarah, pengkhianat, perlu bercakap benar, perlu bertaubat .... ? Siapa yang buta sejarah? Siapa yang perlu bertaubat? Siapa yang bercakap benar? Siapa yang pengkhianat?
Kalaulah Melayu masih percaya akan pemimpin tertinggi masa kini, jangan salahkan orang lain akan memandang hina akan bangsa mereka. Bangsa sendiri pun mau ditipu mereka. Menagongkan British dan mengisytihar Melayu lain sebagai pengkhianat.
Sebagai Menteri Pelajaran, wajarlah Tok Muhiddin mentelaah sejarah sebelum membuat kenyataan. Malu kita semua kerana mempunyai seorang Menteri Pelajaran yang buta akademik, buta fakta, buta hati, tidak bercakap benar (sambil senyum sinis pulak tu), kurang pendengaran, kurang peghayatan, .... Dengar dan hayatilah dulu rakaman ceramah Mat Sabu dulu, barulah buat komen. Di sini barulah nampak kecerdikan Muhiddin tapi Labu .. oh Labu .... Labii juga yang menjawab. Biarlah labu ... Biarlah Labu. Dah lah Bodoh dan tak mahu diajar pulak. Mai kat sekolah, bagi tahu kat cikgu macam mana nak ajar anak murid depa sedangkan dirinya kurang ajar. Ingat, semua guru adalah profesional KECUALI .... kau faham aje le.
La ni kita tahulah siapa pengkhianat negara dan bangsa. Bila kita bercakap tentang kelemahan kerajaan, kita dicop sebagai pengkhianat. Orang yang "mencuri" wang negara berjuta-juta tu HERO NEGARA DAN BANGSAKAH? Kalau betul begitu, maka BRITISH lah hero kita sebab depa dapat mengambil alih penjajahan dari Portugis dan Belanda. Depa bunuh rakyat yang menentang depa dan DEPA lah HERO NEGARA MALAYA. Entahlah, bodoh punya MELAYU ... BODOH, BODOH, BODOH, .... tanya ALI SETAN.

Tanpa Nama berkata...

taqwa mcmana ye muhyiddin ..bagi anak nyanyi pakai baju seksi dedah aurat...hmmm...taqwa sungguh mahiaddin ni..

Tanpa Nama berkata...

lebih baik umno cakap tun hussein onn tu pengkhianat dan parti umno (melayu kita ini)parti pengkhianat british dan polis2nya...

Tanpa Nama berkata...

Mat Sabu buat kenyataan berdasarkan "keadaan semasa".Peristiwa serangan Balai Polis Bk.Kepong berlaku zaman British memerintah Tanah Melayu.Puak-puak yang menentang penjajahan British,mahukan Tanah Melayu merdeka.PKMM dan sayap pemudanya API serta sayap wanitanya AWAS yang paling giggih menentang British hingga diharamkan.Apabila PKMM diharamkan,ramai tokoh-tokoh API dan AWAS lari masuk hutan.Pada waktu itu(masa PKMM diharamkan) UMNO baru berusia 2 tahun dan langsung tak terlintas dalam otak pemimpinnya nak merdeka.Dato Onn Jaafar sendiri tak mahu merdeka.Jangan emosi dan cakap ikut nafsu-nafsi.Buka buku-buku sejarah lama(banyak tersimpan diPerpustakaan Negara)baru tau apa fakta yang sebenarnya.