20 Ogo 2011

Selepas Utusan, Giliran Penerbit TV3 Pula Menerima "Suweh"

Pembunuhan Banting: Penerbit Buletin Utama TV3 Pula Diperintah Tunjuk Sebab

SHAH ALAM: Sehari selepas wartawan dan editor Utusan Malaysia diperintahkan untuk hadir di Mahkamah Tinggi di sini, perintah sama dikeluarkan pula kepada penerbit Buletin Utama, TV3 untuk memberikan penjelasan berhubung penerbitan berita yang 'menyerang' peribadi peguam utama di dalam perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu pada Jumaat, selepas membenarkan permohonan peguam Manjeet Singh Dhillon yang memberitahu bahawa berita itu disiarkan pada pukul 8 malam, Rabu lalu dan dapat ditonton di seluruh negara, termasuk oleh dua rakan peguam, Datuk Ng See Teong dan Amer Hamzah Arshad.

Manjeet menambah, kandungan berita tersebut adalah sama seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada Rabu lalu, menerusi berita bertajuk 'Manjeet selalu burukkan kerajaan' yang memetik temubual antara wartawan, Raja Syahrir Abu Bakar dengan Ahli Parlimen Padang Serai, N, Gobalakrishnan. Katanya lagi, berita tersebut yang membawa maksud barisan pembelaan adalah alat kepada pemimpin pembangkang dan mempunyai motif tersembunyi dalam kes itu adalah bersifat subjudis (kacau ganggu kes yang masih berjalan) serta merupakan campur tangan kepada mahkamah dan juga pentadbiran kehakiman.

Hakim Akhtar kemudiannya berkata, perintah telah dikeluarkan kepada Raja Syahrir dan editor surat khabar arus perdana itu untuk hadir di mahkamah pada minggu hadapan, tanpa memberikan tarikh yang spesifik bagi memberikan penjelasan berhubung berita tersebut.

Sementara itu, perbicaraan yang masuk hari ke-26 menyaksikan Timbalan Ketua Balai Polis Selayang, Sarjan Mejar Ranjit Singh, 49, memberitahu bahawa tiga tertuduh, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan tidak pernah membuat aduan kepadanya semasa beliau melawat lokap pada pukul 3.25 pagi dan 3.30 petang, 10 September 2010.

''Mereka berada dalam keadaan yang normal dan tidak mengalami masalah kesihatan," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin.

Sementara itu, semasa disoal balas oleh Manjeet, saksi yang mempunyai pengalaman selama 30 tahun itu mengakui bahawa lawatannya ke lokap tidak dicatitkan pada buku perharian balai, meskipun ia merupakan satu kemestian.

Tambahnya, ketiadaan catitan itu mungkin disebabkan kerana anggota polis yang bertanggungjawab menulis buku tersebut terlupa atau tersalah pandang untuk berbuat demikian.

Penggunaan perkataan 'terlepas pandang' oleh saksi dipersoalkan oleh Manjeet yang berkata, tidak mungkin anggota polis yang menjaga lokap tidak perasan jika Ranjit ada melawat lokap kerana kerana keadaan fizikalnya yang tinggi dan mudah dilihat.

Manjeet: Berdasarkan keterangan ini, adakah kamu mengatakan anggota polis tersebut tidak mematuhi peraturan?

Ranjit: Mungkin mereka terlupa.

Manjeet: Adakah kamu akan mengambil tindakan kepada anggota polis itu?

Ranjit: Saya boleh membuat aduan pada badan disiplin. Saya kena berbincang dengan Ketua Balai terlebih dahulu.

Manjeet: Jadi, jika kamu berbohong, siapa yang akan mengambil tindakan?

Ranjit: Saya telah bersumpah untuk bercakap benar, tidak boleh berbohong.

Ditanya bagaimana cara pemeriksaan di lokap dilakukan, Ranjit berkata beliau akan berjalan di hadapan sel dan melihat dengan mata kasar jika tahanan mempunyai masalah.

"Waktu lawatan dilakukan, ada juga tahanan yang akan mengadu sakit seperti sakit kepala atau sakit perut dan minta diberikan rawatan," tambah Ranjit.

Menjawab soalan Amer Hamzah, Ranjit memberitahu bahawa beliau tidak menerima sebarang aduan berhubung isu keselamatan atau perkauman dari tertuduh mahupun dari tahanan-tahanan Melayu yang terdapat di dalam lokap pada malam itu.

Selain Ranjit, terdapat empat lagi anggota polis dipanggil sebagai saksi kepada pihak pendakwaan dalam prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) yang diadakan untuk menentukan keadaan mental Thilaiyalagan dan Kathavarayan yang didakwa berada dalam keadaan tertekan semasa memberikan keterangan yang membawa kepada penemuan barang kes.

Prosiding TWT berakhir pada Jumaat, dan Hakim Akhtar menetapkan pihak-pihak yang terlibat untuk mengemukakan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada Jumaat depan.

Thilaiyalagan, 20, dan Kathavarayan, 31, dibicarakan bersama bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42, dan R. Matan, 21, atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010 di senuah ladang di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan akan bersambung dengan prosiding perbicaraan utama pada Isnin ini. -mstar

Ulasan GB

GB dah ulas semalam di entri Wartawan Utusan Mula Menerima "Suweh" Hasil Pencabulan Terhadap Etika Kewartawanan



Tiada ulasan: