24 Ogo 2011

Kontraktor Ugut Sembelih Anak Dihadapkan Ke Mahkamah

Kuala Terengganu: Seorang kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana dituduh cuba membunuh anak perempuannya sendiri dalam kejadian di lebuh raya baru Bukit Besi di Dungun, Isnin lepas.

Shahli Harun, 42, dituduh cuba membunuh Puteri Intan Syazwani, 4 tahun, dengan menggunakan sebilah parang hingga menyebabkan kecederaan di leher anaknya itu.

Shahli, berasal dari Guar Jumaat, Gurun, Kedah, dituduh melakukan perbuatan itu antara 1 tengah hari dan 2 petang berhampiran pondok tol yang masih dalam pembinaan.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, dan jika sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin, Shahli yang tinggal di Kampung Bijangga, Dungun, pada mulanya kelihatan berdolak dalik dengan mengatakan dirinya tidak faham pertuduhan dan tidak waras.

Bagaimanapun setelah pertuduhan dibacakan sekali lagi, dia kemudian mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakanTimbalan Pendakwa Raya Masriwani Mahmud kemudian memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan Shahli diikat jamin memandangkan dia dan anaknya tinggal bersama dan dikhuatiri boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa dan keluarga.

Tertuduh kemudian meminta mahkamah agar menghubungi kakaknya di Guar Jumaat bagi memaklumkan tentang penahanannya itu.

Hakim Zainal Abidin kemudian mengarah pihak pendakwaan agar berbuat demikian dan menetapkan 3 Okt ini sebagai tarikh sebutan semula kes. - BERNAMA

Bapa ugut sembelih anak

DUNGUN – “Sebaik sahaja saya nampak trak polis, saya nekad menahan dan mereka berhenti lalu bertanya apa yang berlaku, tetapi suami saya terus mengacu parang di leher anak saya.

“Polis minta suami bertenang dan memberitahu saya bahawa mereka akan selamatkan anak saya,” kata Hasmah Kadmin, 46, ibu kepada Putri Intan Syawani, 4, ketika menceritakan detik mencemaskan ketika anak perempuannya yang berusia empat tahun itu nyaris disembelih suaminya sendiri yang dikatakan naik angin.

Kejadian kira-kira jam 2.15 petang itu dipercayai berlaku di laluan lebuh raya berdekatan Bukit Besi ketika Hasmah bersama suaminya (suspek) dan tiga anaknya, Putri Intan Syawani, Putri Intan Syawana, 4, dan Putra Mohd Alif, 7, termasuk mangsa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman suaminya di Kedah.

Hasmah yang bekerja sebagai pembantu kedai di Sura Gate itu berkata, sebelum sampai di lokasi terbabit, suaminya dikatakan naik angin lalu mengambil salah seorang anak perempuan kembar mereka di atas riba suami yang sedang memandu.

Bagaimanapun, sebaik sahaja sampai berdekatan plaza tol dekat Bukit Besi, suaminya itu dikatakan makin ganas dengan mengambil sebilah parang yang diletakkan dalam keretanya sebelum dipercayai mengugut Hasmah untuk menyembelih anaknya. -SH


Tiada ulasan: