11 Ogo 2011

Kenyataan Wan Ahmad Bukti Sahih Beliau Talibarut UMNO

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh (gambar) menyifatkan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhan Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar menunjukkan badan itu sebenarnya tidak bebas dan berat sebelah.

Beliau diminta mengulas kenyataan Wan Ahmad yang mendakwa Pakatan Rakyat mengulangi agenda politik kotor untuk menang PRU-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan.

Kenyataan Wan Ahmad itu disiarkan Utusan Malaysia, sebuah akhbar milik Umno.

“Saya nak nasihatkan Wan Ahmad agar hentikanlah dari menjadi tali barut Umno dan bersifat berat sebelah," kata ahli parlimen Kuantan itu seperti dilaporkan Keadilan Daily.

“Dia (Wan Ahmad) kena ingat gaji yang dia dapat merupakan wang yang dibayar oleh rakyat. Jadi berkhidmatlah untuk rakyat dan bukannya untuk Perdana Menteri”

“Insaflah, lebih-lebih lagi bulan puasa ni. Jangan asyik memberikan kenyataan untuk memuaskan Umno dan menjadi agen mereka,” kata Fuziah.

Menurut Fuziah, SPR masih berterusan menafikan kewujudan pengundi hantu seperti pengundi berusia lebih 100 tahun, isu pengundi berstatus Penduduk Tetap (PR), pengundi klon dan daftar nama salah yang didedahkan sebelum ini.

Katanya, penafian itu dilakukan bagi menutup kesalahan mereka, sebaliknya badan itu pula menuding jari kepada Pakatan Rakyat kononnya menyebarkan fitnah dengan mengada-adakan cerita.

“(Sudah tentu) mereka (SPR) boleh betulkan semula dalam sistem (daftar pemilih) kerana hanya mereka yang berkuasa ke atas Semak Daftar Pemilih SPR tersebut,” kata Fuziah.

Sebelum ini, Pakatan mendedahkan pelbagai bukti kepincangan dalam daftar pemilih SPR, termasuk kewujudan pengundi yang berumur lebih 100 tahun.

Baru-baru ini media alternatif menimbulkan isu Mismah, seorang penduduk tetap yang didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih SPR.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa 200,000 warga asing didaftarkan sebagai pengundi. Manakala kerajaan Pulau Pinang pula mengesan 30,000 pengundi baru dalam masa tiga bulan dalam daftar pemilih SPR.

SPR juga mencipta sejarah apabila mendaftarkan sebuah kampung yang diberi nama ‘Kg Baru’ sebagai pengundi, yang tidak ada dalam data Jabatan Pendaftaran Negara, sebelum membetulkan rekod itu beberapa jam kemudian.

Terbaru, beberapa pengundi dikesan memiliki dua nombor kad pengenalan yang berlainan dan mempunyai kelayakan mengundi di dua tempat berbeza sepertimana dalam daftar pemilih SPR.


SPR dakwa pembangkang ulangi agenda politik kotor menang PRU-13

KUALA LUMPUR, 11 Ogos — Pembangkang mengulangi “agenda politik kotor” untuk memenangi pilihan raya umum ke-13 melalui penyebaran fitnah dan pembohongan, dakwa Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

Wan Ahmad (gambar) berkata sebelum pilihan raya umum ke-12, ada pihak yang menuduh SPR bersikap tidak adil dengan menyebar fitnah dan tohmahan memburukkan imej dan kewibawaan badan itu.

Malah kata beliau, selepas mereka menang 82 kerusi Dewan Rakyat mengalahkan BN di lima Dewan Undangan Negeri, mereka terkejut dengan kemenangan melalui proses pilihan raya yang mereka tuduh kotor dan tidak adil selama ini.

“Ini kerana sistem dan proses pilihan raya yang adil yang telah memberi kemenangan besar kepada parti-parti pembangkang di negara ini. Agenda politik ‘kotor’ melalui penyebaran fitnah dan pembohongan telah menunjukkan hasil. Maka agenda yang sama perlu diulangi untuk menghadapi PRU yang akan datang.

“PRU ke-13 akan menjelma. Taktik dan strategi semasa menghadapi PRU ke-12 dan beberapa pilihan raya kecil elepasnya akan berulang,” kata beliau sambil menambah, SPR sekali lagi menjadi sasaran dan ‘punching-bag’ oleh pihak tertentu untuk meraih simpati rakyat dengan menggunakan isu pilihan raya tidak adil.

Wan Ahmad membangkitkan pandangan itu menerusi tulisan bahagian kedua, disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini.

Dakwa beliau, seperti yang berlaku sebelum pilihan raya umum ke-12 apabila parti politik tertentu menyertai demonstrasi jalanan menuntut pilihan raya adil, mereka telah berjaya menaikkan kemarahan rakyat dan hasil perbuatan itu memberi kemenangan besar kepada mereka.

“Pada 9 Julai 2011 mereka sekali lagi mempergunakan strategi yang sama iaitu menyertai demonstrasi jalanan menggunakan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan berjaya mendapat liputan media antarabangsa,” katanya.

Dalam tulisannya Wan Ahmad juga membidas terdapat parti-parti politik di negara ini yang ketandusan isu untuk memikat hati rakyat dalam menghadapi PRU akan datang.

Oleh itu kata beliau, cara lain yang digunakan adalah menyebar fitnah memburukkan kepimpinan SPR supaya rakyat benci dan simpati.

“SPR dijadikan ‘kambing hitam’ dalam memperjuangkan cita-cita mereka,” kata beliau.

Katanya, parti-parti politik di mana jua akan melakukan apa sahaja untuk mencari kemenangan dalam pilihan raya, tetapi yang ketara berlaku di negara ini adalah perbuatan fitnah dan pembohongan yang menjadi perkara wajib dalam usaha mencari sokongan.

“Tidak cukup dengan kecaman terhadap parti lawan, SPR turut dijadikan sasaran kecaman dan fitnah. Mereka membuat kesimpulan atas sesuatu isu yang berbangkit semata-mata berasaskan andaian dan tuduhan yang tidak terbukti di mahkamah,” kata Wan Ahmad lagi.

Beliau seterusnya menulis, melalui ceramah dan tulisan, tanpa rasa berdosa SPR dikecam semata-mata kerana buruk sangka terhadap agensi pengendali pilihan itu.

“Kebencian rakyat terhadap SPR dan pilihan raya diharapkan menjadi undi simpati yang memihak kepada mereka dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Sebagaimana semalam, Wan Ahmad juga mempertahankan bahawa sistem pilihan raya negara ini bebas dan adil.

“Rakyat perlu sedar bahawa di negara ini golongan yang menuduh pilihan raya tidak adil terdiri daripada mereka yang telah menang dalam pilihan raya.

“Mungkinkah mereka menang jika pilihan raya dijalankan secara tidak bebas dan tidak adil?, atau jika proses pengundian atau pengiraan undi tidak dilakukan dengan telus dan bersih?” katanya lagi.

Tegas beliau, parti-parti politik tidak perlu menganggap SPR sebagai musuh dengan menabur fitnah dan kecaman yang tidak dapat dibuktikan.

“Dalam pilihan raya demokratik yang penting adalah proses pemilihannya bebas, telus dan adil. Siapa yang layak boleh bertanding dan calon yang dipilih rakyat akan menang dalam pertandingan. Parti yang mendapat jumlah kerusi majoriti akan menubuh kerajaan,” ujar beliau.

Katanya, permainan politik memerlukan kepintaran ahli-ahli dan parti-parti politik memainkan isu untuk mewujudkan persepsi bagi mempengaruhi pemikiran rakyat.

Malah kata beliau, di negara ini ada pihak-pihak yang pintar dalam bidang berkenaan dan “mereka mengaburi mata rakyat dengan menuduh pilihan raya tidak adil, tidak telus dan kotor. Pelbagai alasan diberi apabila mereka kalah.”

“Mereka tidak dapat menerima kemenangan orang lain. SPR yang menjalankan pilihan raya secara adil dan saksama yang telah memberi kemenangan kepada mereka, turut menjadi sasaran kecaman dan fitnah,” tulis beliau lagi. -TMI



Ulasan GB

Penipu yang menuduh orang lain menipu. Pencuri yang berlari-lari kemudian menjerit-jerit "pencuri, pencuri" untuk menuduh orang lain mencuri supaya dia dapat selamatkan diri dari di kejar oleh orangramai yang sedang mengejar pencuri. Itulah analogi yang paling mudah untuk menceritakan situasi Wan Ahmad Wan Omar berkenaan.

Hujjah Wan Ahmad tersebut ternyata beliau berpihak kepada Barisa Nasional. Bukan lagi sebagai Timbalan pengerusi SPR.

Menuduh Pakatan Rakyat melakukan agenda politik kotor menang pilihanraya sedangkan rakyat sudah buktikan beratus-ratus kali agenda politik kotor SPR untuk memenaangkan Barisan Nasional.

Truth prevails. Anda sedang diawasi dan akan diadili tidak berapa lama lagi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YDP Agung bertitah apa-apa perkara hendaklah diselesaikan secara rundingan, tetapi kini sudah jelas yang sebenarnya tidak mahu kepada rundingan adalah SPR dan Kerajaan BN. PR perlu mengadap YDP Agung bagi menyerahkan segala bukti penyelewangan dan pengkhianatan SPR dalam menguruskan Demokrasi pilihanraya sengan segera.