11 Jul 2011

[Video] Insiden Tembak Gas Di KL Sentral Satu Perbuatan Jenayah

Parti Keadilan Rakyat menggesa satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat tindakan yang dilakukan pegawai senior polis termasuk Menteri Dalam Negeri Datuk, Datuk Seri Hishamuddin Hussein kerana mengarahkan polis melakukan kekejaman dan perbuatan jenayah dalam usaha menghalang hak mutlak rakyat untuk berhimpun secara aman.

Naib Presiden PKR N. Surendren menyatakan perbuatan jenayah tersebut merujuk kepada perbuatan melepaskan tembakan gas pemedih mata kepada orang awam di tempat tertutup dan sempit di laluan bawah berhampiran KL Sentral semalam dan ianya berlaku 'tanpa sebarang provokasi'.

Atas kesalahan itu, pelaku boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kata Surendran dalam satu kenyataan media.

"Tindakan polis amat melanggari undang-undang dan standard polis antarabangsa. Tindakan itu sengaja dilakukan untuk membunuh, mencacat dan mencederakan mereka yang berarak dengan aman. Secara spesifiknya, tembakan gas pemedih mata di ruang tertutup di laluan bawah ialah perbuatan jenayah, yang akan menyebabbkan kecederaan serius atau kematian dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan," kata beliau.

Antara mangsa yang terkena serangan tembakan gas pemedih mata yang dilepaskan di jalan bawah (underpass) KL Sentral ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pemimpin DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah pengawal peribadi Anwar, Fayad Al-Bakri mengalami kecederaan di bahagian mukanya ketika menyelamatkan pemimpin itu.

Ironinya, walaupun dirakam lensa kamera media seluruh negara termasuk Reuters akan kejadian di Stesen Sentral Kuala Lumpur itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menafikan bahawa Anwar cedera dan menyatakan tembakan gas pemedih mata hanya dilepaskan di sekitar Pudu dan tidak di tempat lain.

Jawatankuasa Penggerak Bersih dan Pakatan Rakyat menganggap Bersih 2.0 semalam sebagai “satu kejayaan besar” dengan lebih 50,000 dianggarkan hadir memberi sokongan meskipun tidak dapat menyerahkan memorandum tuntutan kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Setelah kumpulan kami yang aman memasuki laluan bawah itu, kami berhadapan dengan sepasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang berbaris dan menghalang laluan di hadapan dan bersenjatakan gas pemedih mata. Naib Presiden Tian Chua kemudian pergi ke barisan polis tersebut untuk berunding tetapi polis terus bereaksi dengan menjerit, mengetuk perisai mereka dan menghalakan senapang pemedih mata ke arah kami," terang Surendren.

Selain Anwar, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad turut mengalami kecederaaan ekoran insiden itu. -tvsnews





3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Saya syorkan pada pucuk pimpinan Pakatan Rakyat untuk lancarkan kempen pakai pakaian kuning (tanpa logo Bersih) di seluruh Malaysia sebagai protes senyap tindak polis yang melanggar hak asasi manusia selain tuntutan kita kepada SPR. Kita tunjukkan kita benci tindakan mereka itu.

Tanpa Nama berkata...

Minta maaf, Ibrahim Ali tak boleh hadir kerana berkhatan, TAHNIAH KEPADA SEMUA BERSIH 2 YANG HADIR

Tanpa Nama berkata...

kami pelajar IPT sokong BERSIH dan hadir dalam perhimpunan