6 Mei 2011

Rogol Anak Tiri: Bomoh Dakwa Alat Sulitnya Tak Berfungsi Bersama Isteri

Bomoh dipenjara 15 tahun

IPOH: Seorang bomoh berusia 71 tahun dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol anak tirinya, tahun lalu.

Hamzah Abd Ghani, 71, berasal dari Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang, Batu Gajah, dekat sini, diperintah menjalani hukuman itu berkuat kuasa tarikh ditahan pada 13 Februari 2010.

Hakim Noorhayati Mat bagaimanapun mengecualikan tertuduh yang juga seorang penoreh getah daripada hukuman sebat kerana faktor usia.

Noorhayati berkata, keputusan mensabitkan tertuduh terhadap dakwaan itu dibuat selepas mahkamah berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan dan pembelaan.

Ketika keputusan dibacakan, Hamzah yang memakai kemeja lengan pendek dan berseluar sukan serba putih serta berselipar, langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi sedih, sebaliknya kelihatan lebih banyak bermenung ketika diminta berdiri dalam kandang tertuduh.

Hamzah didakwa merogol anak tirinya yang ketika itu berusia 24 tahun di sebuah rumah beralamat No 8, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kampung Changkat Tin, Batu Gajah, kira-kira jam 1 pagi pada 2 Februari 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan. -BH


‘Alat sulit tidak berfungsi’

IPOH - Alasan tidak melakukan hubungan seks dengan isteri sejak 2008 kerana mendakwa alat sulit tidak berfungsi tidak mampu melepaskan seorang lelaki daripada dijatuhi hukuman penjara 15 tahun atas kesalahan merogol anak tirinya.

Hamzah Abdul Ghani yang juga seorang bomoh dikenakan hukuman tersebut oleh Hakim Noor Hayati Mat ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Noor Hayati Mat membuat keputusan itu setelah pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan dalam pendakwaan yang dibuat.

Keputusan itu juga dibuat setelah menilai semula semua keterangan yang dibuat pihak pendakwaan dan pembelaan.

Sebelum itu, peguam bela tertuduh, Ranjit Singh meminta supaya hukuman dikenakan daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 13 Februari 2010 dan tidak dikenakan sebatan kerana umur tertuduh melebihi 60 tahun.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya, Muhaimin Aris meminta pihak mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas perbuatan terkutuk tertuduh kerana merosakkan masa hadapan anak tirinya, Nor Asyikin Sapari, 25.

Mahkamah akhirnya memutuskan tertuduh menjalani hukuman penjara selama 15 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap dan dikecualikan daripada sebatan.

Ketika perbicaraan, tertuduh yang ditemani anak saudaranya turut memberitahu bahawa ada pertengkaran kecil berlaku antaranya dengan anak tiri kira-kira jam 10 pagi pada 2 Februari tahun lalu kerana telefon bimbit.

Menurut tertuduh yang juga bekerja sebagai penoreh getah, akibat pertengkaran itu, mangsa terus melarikan diri dan tidak pulang ke rumah selama tiga hari.

Bagaimanapun, segala keterangan dan alasan yang diberikan tertuduh gagal menimbulkan keraguan terhadap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Pada 28 April lalu, warga emas itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh kerana didakwa melakukan perbuatan sumbang mahram ke atas anak tirinya pada jam 1 pagi di rumahnya di Kampung Changkat Tin, Tanjung Tualang, Batu Gajah di sini, 2 Februari tahun lalu.

Hamzah didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan. -SH


2 ulasan:

Ismi Azraf berkata...

71 Tahun?
Semoga dia bertaubat , tapi laporan berita harian / utusan malaya / kosmo bukan boleh percaya sangat.


Pendapat Ulama Berkaitan Fitnah Zina dan Politik Lucah

.

Tanpa Nama berkata...

inilah hasilnya pengaruh video lucah yg disiarkan oleh buletin utama tv3suku..