8 Mei 2011

Pilihanraya Singapura: PAP Kembali Berkuasa, Populariti Menurun, Menteri Luar Tewas.

Parti pemerintah Singapura, People's Action Party (PAP) kembali berkuasa hari ini dengan majoriti besar namun menghadapi penurunan pada populariti dan tewas di satu daerah utama ke tangan pembangkang.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, 59, mengakui pilihanraya parlimen semalam menunjukkan satu "anjakan ketara" di dalam lanskap politik Singapura, yang telah diperintah oleh PAP semenjak 52 tahun yang lalu.

Pembangkang menang enam kerusi yang dilihat prestasi sederhana diukur dengan nilai antarabangsa namun ia adalah prestasi terbaik mereka semenjak Singapura merdeka dari Persekutuan Malaysia pada 1965.

Parti PAP memenangi 81 dari 87 kerusi Parlimen, menurun dari kemenangan 82 dari 84 kerusi semasa pilihanraya 2006, dan jumlah undi popular keseluruhannya jatuh dari 67% kepada 60% sahaja dalam tempoh yang sama.

Di dalam satu saingan paling sengit, Menteri Luar Singapura George Yeo dan empat calon PAP yang lain tewas kepada Parti Pekerja di dalam parlimen Al-Junied GRC, memaksa beliau tersingkir dari kabinet.

Kawasan Aljunied GRC, yang mempunyai 143,000 pengundi, jatuh kali pertama ke tangan pembangkang.

Seorang pengundi AlJunied GRC, Nuraini Malik, 22, pelajar sebuah universiti memberitahu Yahoo! Singapura, "Saya amat gembira kerana Parti Pekerja menang... Saya turut sedih George bukan lagi seorang menteri, kerana beliau adalah seorang menteri yang bagus. Tetapi, saya tetap gembira kerana pasukan Parti Pekerja ini betul-betul cemerlang di dalam ceramah-ceramah dan manifesto mereka."

Beliau menambah, "Saya dapat rasakan angin perubahan sedang berlaku. Dan adalah bagus mereka menang untuk membenarkan kita hidup dan menghirup udara segar demokrasi. Sekarang kita berharap mereka dapat menunaikan tanggunjawab mereka!

PM Lee pula di dalam ucapan sulungnya menerusi televisyen selepas pilihanraya ini berkata, "Ini adalah pilihanraya yang mempunyai penanda aras. Ia diadakan selepas lima tahun yang penuh dengan pelbagai peristiwa. Ini adalah dunia yang berbeza dalam tahun 2011 berbanding 2006, dan sebuah Singapura yang juga berbeza."

PAP akan melakukan "kajian mendalam" dan meluahkan untuk bekerjasama dengan ahli parlimen pembangkang, yang memenangi 6 kerusi disamping memberikan tentangan hebat kepada PAP di seluruh pulau Singapura di dalam pilihanraya kali ini.

Pilihanraya semalam merupakan prestasi terburuk PAP semenjak kali pertama pilihanraya diadakan di Singapura pada 1959.



Tiada ulasan: