9 Mei 2011

Peluang Mat Sabu Cerah Untuk Timb Presiden PAS

Mat Sabu dahului pencalonan

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu mendahului senarai pencalonan jawatan timbalan presiden apabila memperoleh 70 pencalonan daripada 133 kawasan parti itu yang sudah bermesyuarat berbanding penyandang, Nasharudin Mat Isa yang mendapat 39 pencalonan.

Lebih mengejutkan Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok gagal memperoleh sebarang pencalonan daripada 13 kawasan di Kelantan yang sudah mengadakan mesyuarat agung. Satu lagi kawasan, iaitu Bachok dijadual bermesyuarat pada 21 Mei ini, seminggu selepas tarikh akhir pencalonan dikemukakan.

Selain Nasharudin dan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, empat lagi pemimpin tertinggi parti turut memperoleh pencalonan bagi jawatan nombor dua parti itu.

Mereka ialah Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang memperoleh 17 pencalonan, diikuti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dengan lima pencalonan, manakala seorang lagi Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin masing-masing memperoleh satu pencalonan.

Sumber memberitahu, jumlah pencalonan terkini itu memberi gambaran awal Nasharuddin mengesahkan akan mempertahankan jawatan bagi penggal ketiga, bakal berdepan laluan sukar berikutan jumlah pencalonan jauh lebih rendah berbanding pencabar terdekatnya.

Malah, ketiadaan pencalonan daripada semua kawasan di Kelantan kecuali Bachok memberi mesej awal beliau ditolak ahli peringkat kawasan, khususnya di negeri itu.

PAS akan mengadakan pemilihan parti pada Muktamar Tahunan ke-57 di Taman Melewar, awal bulan depan yang akan dihadiri 1,100 perwakilan daripada 179 kawasan dengan 15 Mei ditetapkan sebagai tarikh akhir untuk kawasan mengemukakan pencalonan.

Baki 45 kawasan tidak termasuk Bachok, dijangka mengemukakan pencalonan sebelum tarikh tutup 15 Mei ini. Pencalonan juga diterima daripada Majlis Syura Ulama, Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Mat Sabu bertanding merebut jawatan sama pada pemilihan 2009, membabitkan persaingan tiga penjuru antara beliau, Nasharuddin dan Datuk Husam Musa.

Sumber turut memaklumkan sehingga kini, Mat Sabu memperoleh enam pencalonan daripada 13 kawasan di Kelantan, termasuk Kubang Kerian, empat di Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan (dua daripada 13 kawasan), Kedah (lapan daripada 15 kawasan), Perak (13 daripada 24 kawasan), Pulau Pinang (lima daripada 13 kawasan), Selangor (empat daripada 22 kawasan), Perlis (dua daripada tiga kawasan), Melaka (dua daripada enam kawasan), Sabah (lima daripada lapan kawasan), Johor (15 daripada 26 kawasan), Pahang (tiga daripada 14 kawasan) dan Sarawak (satu daripada lima kawasan).

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata kawasan yang mahu mengadakan mesyuarat agung selepas 15 Mei tidak boleh menghantar pencalonan dan tiga kawasan dikenal pasti termasuk Bachok dan Seremban mungkin lewat bermesyuarat.

Pencalonan jawatan Timbalan Presiden PAS

# Mohamad Sabu
- 70 pencalonan

# Nasharudin Mat Isa
- 39 pencalonan

# Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
- 17 pencalonan

# Datuk Seri Azizan Abdul Razak
- 5 pencalonan

# Salahuddin Ayub
- 1 pencalonan

# Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin
- 1 pencalonan

Ulasan GB

Seperti yang GB utarakan sebelum ini, GB terbuka. Sesiapa pun berhak bertanding.

Di dalam konteks semasa, rasanya perlukan "adjustment" terhadap barisan kepimpinan untuk menghadapi PRU13.

Dan pencalonan yang agak banyak yang diterima oleh Mohd Sabu untuk jawatan Timbalan Presiden menampakkan ahli-ahli PAS seluruh negara mengharapkan perubahan dan untuk memenuhi keperluan adjustment tersebut.

Selamat maju jaya kepada Mohd Sabu.


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Harun Taib kata: Tak payah ada pertandingan 2 jawatan tertinggi,Presiden dan Tim.Presiden.Satu komen yang langsung tidak demokratik dan dianggap cuba nak selamatkan Nasaruddin Mat Isa yang sedang lemas.Inilah kerja puak-puak UG ni,nak lingkupkan PAS.Ada baiknya Jawatran Ketua Ulamak juga dipertandingkan untuk cari ulamak yang lebih muda dan dinamis.Kuda-kuda tua ini sudah boleh simpan aje dalam kandang,tak boleh lari lagi.

puakPas berkata...

kepada Mat Sabu sahabat ku:
Sejarah pemilihan jawatan tertinggi dalam PKR tidak boleh dijadikan contoh tauladan terbaik kepada PAS.
Berkempen secara jujur, kekalahan disamput dengan kesyukuran, kemenangan disambut dengan istighfar.(lihat surah an-Nasr).
Perjuangan Islam yang berjaya, apabila lahir insan berjiwa Khalid al-Walid, bersedia untuk berada dimana sahaja tempat dalam perjuangan Islam.
Perjuangan Islam yang berjaya, apabila dapat melahirkan insan sejiwa dengan Umar al-Khatab, bersedia untuk menjadi pentadbir yang amanah dan jujur.
Bukan PAS kiblat kita, bukan Iran arah tujuan kita, bukan Hizbullah arah dada kita, Islam adalah matlamat dan perjuangan kita.