17 Apr 2011

Pasca PRN Sarawak: BN Yang Tewas, Undi Popular Cuma 54.5%

Sarawak: BN kekal kuasa penggal ke-10, undi popular terus turun

Barisan Nasional (BN) meneruskan penguasaan kerajaan negeri buat penggal ke-10 dengan memperoleh 55 kerusi tetapi peratusan undi popular yang diperolehnya menurun berbanding pilihan raya negeri 2006.

Berdasarkan maklumat dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) malam tadi, BN merekodkan 372,379 undi atau 54.5 peratus daripada keluar mengundi kali ini.

Lima tahun lalu perikatan itu menerima 62.91 peratus (341,587 undi) dan 71.16 peratus (382,137 undi) pada 2001.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri kesembilan dan kelapan pada 2006 dan 2001 di mana masing-masing hanya 69 dan 43 kerusi disaingi selepas bakinya dimenangi BN tanpa saingan.

Kali ini BN memperoleh 55 kerusi, Pakatan Rakyat pula 15 kerusi manakala baki satu dimenangi oleh Bebas.

Sistem pilihan raya negara ini tidak menggunakan pemerolehan undi popular dalam pembahagian kerusi.

Dalam pilihan raya negeri kali ini, baki undi popular pergi kepada barisan pembangkang dan calon-calon Bebas.

Pakatan Rakyat (PR) yang pertama kali bertanding dalam satu perikatan tiga parti di peringkat negeri memperoleh 38 peratus, sekali gus memperlihatkan peningkatan undi popular kali ini.

Kali ini, DAP yang memenangi 12 kerusi merekodkan 134,847 undi (19.7 peratus), Parti Keadilan Rakyat dengan memperoleh tiga kerusi mendapat 117,100 undi (17.14 peratus) manakala PAS yang gagal memperoleh sebarang kerusi mengumpulkan 9,719 (1.4 peratus).

Pada pilihan raya negeri 2006, DAP mengumpulkan 82,134 undi (15.13 peratus), PKR (47,348 undi; 8.72 peratus) dan PAS (1,901 undi; 0.35 peratus).

Lima tahun lalu, BN bertanding di kesemua 71 kerusi tetapi menang dua kerusi tanpa dicabar pada hari penamaan calon manakala DAP bertanding di 12 kawasan, PKR (25), PAS (satu), Snap (29) dan Bebas (20).

Peningkatan undi popular bagi parti-parti komponen PR juga ada kaitan dengan bilangan kerusi yang ditandingi kali ini, yang meningkat berbanding lima tahun lalu khususnya PKR.

Kali ini kesemua kerusi disaingi BN dengan DAP bertanding di 15 kerusi, PKR bertanding di 49 kerusi majoriti Melayu/Melanau dan Dayak, dan PAS di lima kawasan Melayu manakala Snap di 26 kerusi majoriti Dayak, Parti Cinta Malaysia (PCM) di enam kawasan Bumiputera dan 41 calon Bebas.

Snap dan dan PCM yang turut tidak memperoleh sebarang kerusi masing-masing menerima 15,663 undi dan 2,895 undi.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah bilangan keluar mengundi 682,854 orang atau 70 peratus.

Jumlah undi ditolak sebanyak 8,224 undi.

Kerusi DUN yang merekodkan majoriti tinggi ialah Bukit Assek iaitu 8,827 undi manakala majoriti paling rendah ialah Senadin iaitu 58 undi.

Katanya, jumlah calon yang hilang deposit kerana gagal mendapat satu per lapan daripada jumlah undi keseluruhan ialah 71 calon. -TMI


Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN

Pakatan Rakyat berjaya menembusi di Sarawak, dengan menggandakan bilangan wakil rakyatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan berjaya melumpuhkan parti parti komponen kedua terbesar BN Sarawak, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Penolakan rakyat terhadap BN jelas berlaku di kawasan bandar di mana SUPP tumpas teruk, manakala presidennya sendiri, Tan Sri George Chan gagal mempertahankan kerusi Piasau, yang sudah sekian lama diwakilinya.

Paling mengejutkan ialah kejayaan calon PKR - seorang muka baru - menewaskan timbalan menteri dari SPDP.

Satu lagi kejutan ialah kemenangan calon Bebas, George Lagong, yang menewaskan calon muka baru PRS, Stanley Nyitar @ Unya Anak Malan dalam pertandingan empat penjuru.

PKR juga mencatat kemenangan simbolik di Ba'Kelalan, di mana pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian - walaupun menang tipis dengan majoriti 473 undi - tetapi merupakan kemenangan pertama parti itu di pedalaman Sarawak.

Dan apa yang sudah jelas ialah kemenangan besar DAP yang memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandinginya. -mk



Pakatan: Undi popular BN S'wak merosot

Walaupun gagal untuk menafikan BN Sarawak majoriti dua pertiganya dalam pilihan raya negeri semalam, tetapi Pakatan Rakyat berpuashati kerana undi popular BN telah merosot lapan peratus.

Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng berkata undi popular BN telah merosot daripada 63 peratus pada 2006 kepada 55 peratus kali ini.

“Saya percaya pilihan raya ini menunjukkan bahawa Sarawak bukan 'simpanan tetap' seperti yang didakwa mereka.

“Ini peralihan lapan peratus, yang merupakan satu peralihan yang besar. Jika ini berterusan dalam pilihan raya parlimen nanti, maka BN akan kalah lebih banyak kerusi,” kata Guan Eng.

Beliau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di Kuching bersama dengan pemimpin tertingi Pakatan.

Dalam pilihan raya negeri semalam, BN kalah hampir semua kerusinya di kawasan bandar dan tiga kerusi luar bandar. Pakatan pula berjaya memenangi 15 kerusi, dan satu lagi kerusi dimenangi calon Bebas. Dewan Undangan Negeri Sarawak mempunyai 71 kerusi.-mk


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

alhamdulillah kuasai parlimen nanti PRU13