4 Apr 2011

ISA Ke Atas OKU - Kezaliman Yang Tidak Boleh Dimaafkan

Apa kesalahan adik saya?'

Keluarga kepada Kadir Hashim hari ini menuntut supaya tahanan ISA itu segera dibebaskan atau didakwa di mahkamah.

Salah seorang abangnya, Muda, 46, berkata polis juga perlu menjelaskan kesalahan yang dilakukan oleh Kadir.

"Saya dimaklumkan adik saya ditahan bawah ISA, tapi saya tak puas hati sebab saya tak tahu kenapa dia ditangkap.

"Kalau dia ada lakukan kesalahan, tolong bawa dia ke mahkamah.

"Kalau dia ditahan tanpa apa-apa sebab bermakna pemerintahan kita cukup zalim," kata Muda dalam satu sidang media hari ini.

Kadir, 42, ditahan oleh sekumpulan lebih 10 anggota polis berpakaian preman di rumah keluarganya pada petang Jumaat lalu.

Muda berkata, anggota keluarganya kini masih belum mengetahui di manakah adiknya itu ditahan.

Kegiatan subversif

"Saya juga tidak dibenarkan masuk ke rumah ketika beliau ditahan," katanya lagi sambil mengetap bibir menahan kemarahannya.

Seorang lagi abang kepada Kadir berkata, penahanan lelaki kelainan upaya itu merupakan "kebiadapan" kerajaan yang menjalankan penahanan sewenang-wenang.

"Ini bukan soal politik, tapi kebiadapan (kerajaan)," kata Hisham, 43.

Jelasnya, polis hanya menyatakan bahawa Kadir ditahan kerana terlibat dalam kegiatan subversif.

"Sebab itu terlalu umum," kata Hisham lagi.

Dalam sidang media sama, peguam N Surendran turut membuat panggilan kepada seorang pegawai di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Namun, pegawai itu juga enggan menjelaskan sebab penahanan berkenaan.

Pegawai atasan

Pegawai itu juga meminta Surendran menghantar surat bagi mendapatkan penjelasan serta membuat permohonan untuk berjumpa Kadir.

Perbualan telefon yang disalurkan ke pembesar suara dalam bilik sidang media itu dapat didengar oleh wartawan.

Pegawai polis yang memperkenalkan dirinya sebagai ACP Normah Ishak juga berkata, beliau hanyalah pegawai yang bertanggungjawab menjaga Kadir.

Katanya, sebab penahanan Kadir hanya dapat dijelaskan oleh pegawai atasannya.

Seorang pegawai lain bertanggungjawab ke atas penahanan itu, kata Normah lagi.

Ketika diasak untuk memberikan nama pegawai tersebut, Normah berkata peguam perlu menulis kepada Bukit Aman terlebih dahulu.

Normah berkata, Kadir sedang ditahan di salah sebuah premis Bukit Aman.

Ketika didesak supaya memberitahu lokasi sebenar Kadir ditahan, Normah sekadar berkata: "Saya tak boleh beritahu."

Surendran ketika mengulas perkembangan itu berkata, beliau akan memfailkan notis habeas corpus sekiranya Kadir tidak dibebaskan segera.



"Siapa Nak Beri Makan Makcik?"

“Makcik merayu supaya anak makcik dibebaskan. Makcik yakin dia tak bersalah,” rayu Mah Mat Idris (gambar) berusia 67 tahun sambil menitiskan air mata. Mah adalah ibu kepada Kadir Hashim, 42, ahli PKR– orang kelainan upaya (OKU) yang ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1 April lalu. Kadir kudung pergelangan tangan kiri tetapi didakwa terlibat dalam kegiatan berunsur subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit.

“Bila Kadir tiada selama tiga hari, makcik terasa sunyi. Tak ada selera makan memikirkan keadaan dia di sana entah bagaimana. “Setiap hari, dia yang menguruskan makan minum makcik kerana anak-anak yang lain jauh,” katanya sambil mengalirkan air mata rindu. Beliau yang uzur, ditambah dengan derita penyakit kencing manis dan darah tinggi hingga terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan hospital, begitu berharap anaknya dilepaskan segera.

“Makcik teringin sangat nak jumpa dia (Kadir), lagi pun polis tidak pernah hubungi mak cik sejak dia ditangkap. “Sejak arwah suami meninggal dunia hujung tahun lalu, makcik hanya mengharapkan Kadir. Makcik terlalu sedih dengan apa yang menimpanya,” katanya dalam keadaan lemah lantaran demam dan sakit kepala memikirkan nasib dan keselamatan anaknya itu.

Muda Hashim, 46, abang kepada mangsa kesal dengan perbuatan polis yang mengepung di sekitar rumah mereka pada hari penangkapan tanpa mengeluarkan waran tangkap terhadap Kadir. Malah, disifatkan cara polis mengepung kawasan rumah itu seperti adiknya penjenayah besar.

“Selepas adik saya dibawa masuk ke dalam kereta, baru seorang daripada mereka memberi salinan penangkapan mengikut ISA lebih kurang jam 6.50 petang,” katanya. Menceritakan detik penangkapan, Muda berkata, beliau mulanya tidak perasaan kehadiran sekumpulan polis kerana mereka memakai berbaju biasa dan menyangka pemaju datang meninjau tapak projek di kawasan itu.

“Tetapi selepas mendapati mereka mengepung seperti mahu menangkap penjenayah besar, saya terus bertanya tetapi mereka dengan angkuhnya memberitahu, mereka polis daripada Bukit Aman. “Melihat (polis) bawa adik saya dengan tangan bergari, saya terus bertanya tetapi tidak dilayan. Mereka suruh saya sediakan peguam dan mengatakan mereka hanya jalankan tugas,” katanya.

Muda yang yakin adiknya tidak bersalah itu menganggap perbuatan zalim polis tidak ubah seperti kerajaan komunis memandangkan mereka sekeluarga dari golongan miskin. “Kita tidak boleh bersuara langsung. Ini semua seperti duduk dalam kerajaan komunis yang lebih berminat dengan ISA. Undang-undang yang dipraktikkan kerajaan ini undang-undang Yahudi.

“Saya ada menghubungi pegawai polis yang terlibat bertanyakan keadaan Kadir, tetapi kakitangan di sana memberi alasan tidak berada di pejabat, “katanya. Dalam pada itu, beliau memberitahu seorang peguam datang berjumpa dengannya semalam dan berjanji akan menguruskan kes adiknya supaya dibebaskan secepat mungkin.

“Peguam itu datang berjumpa selepas saya memberitahu ketua cabang Lembah Pantai berkenaan penangkapan Kadir. “Saya hanya menunggu jawapan daripada peguam itu dan berdoa supaya polis membebaskan Kadir,” katanya. Kadir ditahan mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di rumahnya di, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur./klt


2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YA ALLAH ENKAU TURUNKAN BALA KEATAS MEREKA2 YANG SUKA MELAKUKAN KEZALIMAN KEATAS HAMBA2MU YANG DHOIF AMINYAROBBULALAMIN.

FC3S berkata...

kita nak melawan pun tak ada gunanya.... kita ni timun,diorang tu durian.... tapi para2 durian kena ingat satu perkara,sehebat2 durian pun,ia punya satu musuh yang sama dengan timun,yakni pisau. tunggulah bila pisau membelah durian,ketika itulah rasakan kembali apa yang kamu buat pada sang mentimun, tetapi berkali ganda sakitnya kamu dibalas.....