1 Apr 2011

Siapa "Faiz" Di dalam Imej Kamera Intip Pejabat MB Selangor?

Siapa ‘Faiz’ dalam imej kamera intip?

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan bahawa seorang individu yang hanya dikenali sebagai ‘Faiz’ yang wujud dalam kamera intip yang ditemui di pejabatnya Ogos lalu.

Pendedahan tersebut dibuat oleh Khalid selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir hari ini.

Namun Khalid enggan mendedahkan secara teliti siapa individu bernama ‘Faiz’ itu, sebaliknya berkata siasatan terperinci masih dibuat bagi mendapat jawapan sebenar siapa dalang dalam hal itu.

Menurut Khalid, selain ‘Faiz”, wujud satu lagi imej yang tidak bernama. Malah beliau mengakui tidak melihat imej itu.

Beliau turut mendakwa bahawa kemungkinan pihak keselamatan dan polis terlibat dalam hal tersebut.


“Bateri dan cip kamera itu perlu ditukar sentiasa… bukan selalu tapi jika tidak tukar ia akan membuat bunyi. Bila dilihat dalam kamera itu ada dua imej dan apabila kami siasat perakam itu kedengaran suara Faiz ini muncul.

“Saya tidak lihat imej itu. Hanya penyiasat persendirian kami dan staf yang lihat. Tetapi kami suspek ada beberapa kerjasama… namun belum ada individu yang bersalah hanya suspek sahaja.

“Tetapi kami dah lihat senarai nama, ada dua ke tiga orang bernama Faiz tetapi ia akan menjadi masalah kerana kami tidak mahu suspek sesiapa sebab kami mencari dalang sebenar. Buat masa ini kita tunggu sehingga siasatan sepenuhnya selesai, tapi berdasarkan imej itu ia lebih amatur,” katanya dalam sidang media selepas sidang DUN lewat petang ini.

Ketika diasak pemberita mengenai ‘Faiz’ Khalid berkata beliau tidak mahu menimbulkan sebarang spekulasi, sebaliknya ada perancangan efektif untuk mengetahui dalang itu.

Pada Ogos tahun lalu sebuah kamera tersembunyi ditemui di pejabatnya di tingkat 21, Bangunan SUK, yang dipercayai digunakan untuk mengintip aktiviti harian beliau.

Namun setakat ini tiada sebarang laporan polis dikemukakan oleh Khalid mahupun pihak kerajaan negeri.

Rombakan dalam PKNS

Sementara itu, menyentuh mengenai salah urus tadbir yang berlaku dalam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Khalid berkata kemungkinan wujud rombakan dalam perbadanan tersebut.

Penyelewengan itu berkait rapat dengan pelantikan tiga syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama dalam penubuhan Telemarketings PKNS.

Malah Khalid menganggarkan RM30 juta telah diagihkan kepada tiga syarikat Telemarketings PKNS tersebut.

“Pihak jawatankuasa yang meneliti audit telah buat beberapa keputusan dan ia akan dibawa dalam mesyuarat exco sama ada minggu depan atau minggu seterusnya.

“Cadangan banyak dan rombakan dalam PKNS itu ada. PKNS dan Pengurus Besar Othman Omar gagal dalam disiplin mengawal keewangan perbadanan itu. Biasanya dibawah RM500 ribu pengurusan boleh membuat keputusan, tetapi lebih RM500 ribu, lembaga pengarah yang buat keputusan.

“Disebabkan hal itu, Othman yang sepatutnya disahkan jawatan Februari tahun ini hanya akan diperbaharui kontraknya setiap bulan,” katanya yang juga Adun Ijok.-FMT

Tiada ulasan: