7 Mac 2011

Perbankan Internet: Pelajar Perempuan & 6 Mat Afrika Ditangkap

Kuala Lumpur: Seorang pelajar perempuan dari Sarawak dan enam rakan lelakinya dari Afrika mengaut keuntungan jutaan ringgit sejak setahun lalu dengan memperdaya pemegang akaun bank tempatan melalui penipuan perbankan Internet.

Modus operandi mereka cukup mudah iaitu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel secara rambang kepada mana-mana individu dengan menyatakan akaun mereka kini digantung sementara kerana masalah teknikal.

Mereka kemudian akan meminta mangsa memasukkan nombor akaun dan nombor PIN kononnya untuk mengaktifkan semula atau mengemas kini akaun itu.

Sebaik mendapat maklumat penting berkenaan, sindiket terbabit akan segera mengeluarkan wang mangsa. Mangsa hanya menyedari tertipu selepas wang dalam akaun mereka tiba-tiba hilang.

Bagaimanapun, tindakan licik sindiket terbabit yang dalam perhatian polis akhirnya terbongkar apabila semua mereka yang menuntut di dua kolej swasta di Puchong ditahan secara berasingan malam Rabu lalu.

Menurut sumber, pelajar perempuan berusia awal 20-an, enam lelaki iaitu masing-masing dua warga Tanzania, dua (Nigeria) dan dua (Zimbabwe) berusia pertengahan 20-an yang juga konco pelajar berkenaan turut ditahan.

Katanya, semua suspek lelaki memasuki negara ini menggunakan pas pelajar sebelum aktif menjalankan kegiatan itu.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas beberapa komputer riba dan kad ATM. Semua suspek diserahkan kepada polis Kontinjen Melaka untuk siasatan lanjut,” katanya. -hm

Tiada ulasan: