7 Mac 2011

Pelajar Sesat Dalam Hutan, Jatuh Tersangkut Di Pokok

Padang Besar - Tindakan seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang membawa telefon bimbit ketika mendaki Gua Kelam di sini ternyata berbaloi apabila alat komunikasi itu membantu pihak berkuasa mengesannya ketika dia terjatuh di dalam gua tersebut kelmarin.

Gambar: ANGGOTA bomba membersihkan luka pada kepala Khairul Rafiuddin yang diselamatkan selepas terjatuh ketika cuba mendaki bukit Gua Kelam, Padang Besar kelmarin.

Kejadian pukul 3.30 petang itu berlaku ketika Khairul Rafiuddin Isa, 26, sedang berjoging dan mendaki bukit di situ sebelum terjatuh lalu tersangkut pada sebatang pokok kecil yang tumbuh di permukaan gaung sedalam 110 meter.

Menurut pelajar tahun empat jurusan Kejuruteraan Perhubungan itu, kejadian berlaku selepas batu yang dipegang ketika mendaki bukit terlepas lalu menimpa kepalanya.

Katanya, ekoran itu, dia telah tergelongsor dari laluan pendaki dan terus tersangkut pada sebatang pokok kecil sebelum pitam seketika.

"Selepas sedar, perkara pertama saya ingat ialah menghubungi bomba dan nasib saya baik kerana talian telefon masih boleh digunakan di dalam hutan tersebut.

"Pada mulanya mereka gagal mengesan lokasi saya terjatuh tetapi selepas beberapa kali berhubung dan memberikan petunjuk, mereka akhirnya menemui saya," ceritanya yang turut mengalami luka di kepala, lengan dan bahu ketika ditemui semalam.

Tambah pelajar dari Bertam Hulu Melaka itu, dia datang ke situ bersendirian pada pukul 3 petang untuk berjoging dan mendaki bukit.

Menurut Khairul Rafiuddin, sebaik ditemui dalam keadaan keletihan pada pukul 4.30 petang, pihak bomba terpaksa menggunakan akar pokok yang ada di situ untuk menariknya naik.

"Selepas mendapati ia sukar, mereka kemudian menggunakan tali pula," katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar, Halil Hassan ketika dihubungi memberitahu, seramai enam anggota terlibat dalam operasi itu dan mangsa telah diberi rawatan kecemasan oleh Unit Perubatan Bomba sejurus diselamatkan. -kosmo

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Boleh bagi tahu dia pakai talian mana ? Hebat juga dalam hutan ada liputan.

Unknown berkata...

dari pengamatan gambar dan laporan akhbar... berjogging pukul 3.30 petang??... dengan hanya memakai seluar jeans dan selipar???... mmmmmm?????.... wallahu'alam...

Tanpa Nama berkata...

salam...
aku nk bg info skit ttg kjadian nie...
die nie, last sem kt sne...tjuan die g sne, nk amik gmbr wt knangan..smbil mlawt wt kli t'akhir sblum balik kmpng..
die pkai line mxis&celcom..skian..