10 Mac 2011

Malaysia Berkas 7 Lanun Indonesia, Indonesia Tahan 7 Nelayan Malaysia

Tujuh lanun warga Indonesia diberkas

JOHOR BAHRU: Kelicikan tujuh penyamun warga Indonesia merompak kapal dagang di perairan negeri ini, berakhir awal pagi semalam apabila pencerobohan mereka disedari anak kapal yang berjaya memboloskan diri daripada ditawan, sebelum menghantar isyarat kecemasan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Gambar: KETUA Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar (berdiri kanan) memeriksa tujuh warga Indonesia yang berjaya ditangkap. foto BERNAMA

Kejadian berlaku ketika tujuh penyamun itu merompak kapal dagang, MT Front Queen yang berlabuh pada kedudukan 2.8 batu nautika dari Pulau Mungging dekat perairan Pengerang, kira-kira jam 3.15 pagi.

Ketika pencerobohan, kebanyakan 20 kelasi kapal itu diketuai kapten, seorang rakyat Russia nyenyak tidur dengan beberapa orang daripada mereka ditugaskan mengawasi keadaan.

Kumpulan penyamun itu berhasil memanjat masuk menerusi bahagian buritan kapal terbabit disyaki menggunakan galah, dipercayai mahu menyamun alat ganti yang dibawa bersama kapal berkenaan serta barang berharga milik kelasi kapal itu.

Namun, pencerobohan kumpulan terbabit disedari kelasi yang mengawasi keadaan, sebelum mereka menjerit mengejutkan pegawainya yang kemudian membunyikan isyarat kecemasan tanda kapal terbabit diceroboh penyamun.

Ketua Penguat Kuasa APMM Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, berkata siren kecemasan dari kapal terbabit yang memecah hening pagi semalam, disedari anggotanya yang sedang menjalankan operasi di perairan berdekatan.

“Menyedari isyarat kecemasan itu, Bot Kilat APMM yang dalam rondaan, bergegas menghampiri Front Queen sebelum mengesan sekumpulan tujuh lelaki disyaki penyamun itu cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah bot sambil membuang peralatan dan barang-barang ke dalam laut” katanya dalam sidang media di Jeti APMM dekat Tanjung Puteri di sini, semalam.

Zulkifli berkata, siasatan mendapati MT Front Queen berdaftar di Pulau Majuro dan 20 anak kapal itu tidak mengalami kecederaan.


Indonesia tahan 7 nelayan

TAHIR (kiri) bersama ahli keluarga mangsa menunjukkan gambar nelayan yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia ketika menangkap ikan di perairan Malaysia, semalam.


Pihak keselamatan negara jiran didakwa ceroboh perairan negara

PONTIAN: Tujuh nelayan termasuk dua tekong bot pukat tunda dari pangkalan Pontian Besar di sini, didakwa ditahan sepasukan penguat kuasa maritim negara jiran yang menceroboh perairan Senggarang berdekatan Tampok dekat sini, petang kelmarin.

Mereka yang ditahan, tekong bot JHF7281D, Ibrahim Mohd Kassim, 28, bersama tiga awak-awaknya Redzuan Aris, 35; Mohamad Zamri Hambali, 26 dan Subani Samsuddin, 40an (warga Indonesia) manakala, bot pukat tunda JHF6963B, diketuai tekong, Zainodin Adam, 53 bersama dua awak-awak, Rosli Ab Rashid, 34 dan Jamil Md Top, 53.

Ketua Penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

“Kes ini masih dalam siasatan kami termasuk mendapatkan maklumat daripada keluarga mangsa. Perkara ini akan dikemukakan dalam pertemuan dengan pelbagai agensi termasuk maritim dan polis kedua-dua negara yang akan diadakan esok (hari ini) di Batam, Indonesia,” katanya.

Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kawasan Pontian, Tahir Mohd Kassim, mendakwa tujuh nelayan terbabit sengaja ditahan pihak berkuasa negara jiran itu ketika mereka sedang memukat pada kedudukan 12.5 batu nautika dari Tampok, kira-kira jam 5 petang.

Tahir yang juga abang kepada Ibrahim, berkata sejurus kejadian, adiknya sempat menghantar SMS kepada seorang pegawai maritim memaklumkan kedudukan mereka.

“Kami dapat tahu, sejurus laporan dibuat, sepasukan empat anggota Pasukan Gerakan Marin (PGM) tiba di tempat kejadian kira-kira jam 7.30 malam dan melihat dua bot pukat tunda sedang ditunda masuk ke perairan negara jiran.

“Difahamkan, anggota PGM cuba berunding dengan pasukan itu tetapi sebaliknya mereka diacukan senjata oleh lebih 20 anggota pihak berkuasa terbabit yang terus membawa mereka ke perairan Indonesia,” katanya. -BH


4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hehe...berbalas tembakan nampak

Tanpa Nama berkata...

Pihak berkuasa Indonesia ni nampak tak bertamadun, macam peminat bolasepak juga.

Tanpa Nama berkata...

betul2.. paksu aku yg kena tngkap tu.

Tanpa Nama berkata...

dia org tu bukan x bertamadun tp xde otak gak...pi angkap org kita dlm perairan kita tu apa ke jadahnya....mengong!!!