13 Mac 2011

Kemalangan Babitkan 5 Kenderaan Lain Selepas Kontena Langgar Kereta

Ayer Keroh - Gara-gara sebuah lori kontena melanggar belakang sebuah kereta, ia mengakibatkan lima lagi kenderaan di belakangnya terlibat sama.

Kejadian belaku di kira-kira 4.30 petang, semalam di Kilometer 196 Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke Alor Gajah apabila lori kontena yang menghala ke Johor Bahru dikatakan melanggar belakang sebuah kereta jenis Toyota Vios.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri berkata, pemandu lori kontena itu dipercayai memandu laju dan tidak sempat membrek kenderaannya.

“Lori kontena dipercayai berada di laluan kanan dibawa dengan laju dan tidak sempat membrek sebelum melanggar Toyota Vios di hadapannya.

Akibatnya, lori tersebut juga melanggar pembahagian jalan dan memasuki laluan bertentangan lebuhraya.

“Pelanggaran ini menyebabkan lima lagi kenderaan di belakangnya turut berlanggar sesama sendiri menyebabkan kesemua kenderaan tersebut mengalami kerosakan teruk termasuk sebuah teksi,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Menurutnya, kejadian itu turut menyebabkan empat mangsa cedera dan dikejarkan di Hospital Melaka (HM), di sini.

Kemalangan itu juga menyebabkan kesesakan lalulintas di lebih raya berkenaan sepanjang kira-kira 5 kilometer. -HM

Tiada ulasan: