1 Feb 2011

PRK Merlimau: Bekas Datuk Bandar Antara Yang Tersenarai Sebagai Calon UMNO

Tujuh nama diserahkan calon Merlimau

Zaini Md Nor (kiri) dan Mohamed Nasser Selamat. Mereka yang tersenarai sedang melalui proses penapisan sebelum dihantar kepada PM

MELAKA TENGAH: Tujuh nama yang bakal diserahkan kepada Datuk Seri Najib Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 6 Mac ini adalah daripada kalangan pegawai kerajaan dan pemimpin politik tempatan.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata semua nama sedang melalui proses penapisan oleh jabatan dan agensi kerajaan berkaitan sebelum dihantar kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

Namun menurut sumber, antara nama popular daripada kalangan pegawai kerajaan yang dimaksudkan Mohd Ali itu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Zaini Md Nor.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (PERTAM), Mohamed Nasser Selamat; Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Sosioekonomi Perbadanan Melaka Holdings Sdn Bhd, Roslan Ahmad dan Penghulu DUN Bemban, Jezlee Pit.

Tidak ketinggalan juga nama bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah.

Zaini, 50, yang berasal dari Kampung Batu Gajah, Merlimau adalah bekas Datuk Bandar Bandaraya Melaka Bersejarah yang pertama. Beliau sering mendapat pujian Mohd Ali kerana rajin dan proaktif, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohamed Nasser, 46, adalah bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin dan anak jati DUN berkenaan. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Bahagian Jasin adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (BBA) dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat.

Roslan adalah AJK Bahagian Umno manakala Jezlee adalah Penolong Setiausaha Pemuda Umno Bahagian Jasin.

Ibrahim, 63, berasal dari Kampung Pulai, Merlimau pula berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Maryland, Amerika Syarikat. Nama beliau sebelum ini pernah dikaitkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum 2008.

Sementara itu, di kalangan ahli politik pula, antara nama yang disebut-sebut adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Mohd Said Yusof dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Zaleha Bujang.

Selain itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Zaidi Attan serta Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Abdul Nasir Bazid.

Mohd Said adalah bekas Ahli Parlimen Jasin, manakala Zaleha Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas DUN Bemban.

Zaidi yang juga seorang ahli perniagaan adalah Penolong Setiausaha Pemuda Umno negeri, manakala Abdul Nasir adalah kakitangan sebuah sekolah di Merlimau. -bh

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Jika bekas Dato Bandar Yang Bertanding, sememangnya tak ada masalah untuk BN menang besar di Merlimau...seorang yang dedikasi tetapi terlalu taat dengan bosnya, Ali rustam. Beliau juga layak menggantikan Ali Rustam untuk menjadi ketua menteri. Tetapi apa pun aku tetap menyokong Pakatan Rakyat untuk perubahan total.

Tanpa Nama berkata...

Datuk zaini tak dipilih. Roslan maju. Kemana datuk zaini selepas tinggalkan perbadanan sisa pepejal?