9 Feb 2011

Pelajar Tkn 5 Maut Terjatuh Dari Tingkat 2 Bangunan Sekolah

Belikan saya keranda' - LEE...pesan dalam laman sosial

Gambar: DI SINI…lokasi di tingkat dua yang menjadi tempat mangsa terjatuh.

MELAKA: Seorang pelajar perempuan tingkatan lima sempat mengingatkan rakannya supaya membelikan keranda untuknya menerusi blog laman sosialnya kira-kira 12 jam sebelum mangsa ditemui mati di pekarangan sekolahnya, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi, remaja berkenaan, Sally Lee Qian Chun, 17, ditemui mati selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua berhampiran bangunan Blok C menempatkan makmal sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota di Jalan Air Leleh, di sini.

Catatan pada blog laman sosial itu dipercayai dikirim sendiri remaja terbabit dalam bahasa Mandarin.

Dalam catatan itu, dia turut mengingatkan rakannya mereka adalah sahabat baiknya dan Tahun Baru Cina yang lalu, adalah yang terakhir buat dirinya.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika remaja terbabit sedang mengikuti kelas teori kimia di makmal terletak di tingkat satu iaitu di bawah kelasnya, 5A di bangunan sama.

Katanya, semua guru dan pelajar tergamam apabila tiba-tiba mangsa keluar daripada kelas dan terus menuju ke tingkat dua.

“Tiba-tiba berlaku kekecohan dan guru serta pelajar kelasnya keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Ketika itu, mangsa sudah duduk di bahagian tembok penghadang di beranda dengan bahagian belakang badannya menghadap ke luar. Keadaan berlaku begitu pantas dan mangsa terus jatuh ke lantai berhampiran longkang di tingkat bawah,” katanya ketika ditemui, di sini.

Sumber itu berkata, tiada siapa sempat menghalangnya kerana kejadian itu berlaku pantas dan mereka berada jauh daripada mangsa.

Katanya, mangsa berada dalam keadaan mengiring ke kiri dan dia dipercayai mati di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami pendarahan dalaman di kepala akibat terjatuh.

Katanya, kejadian berkenaan disaksikan beberapa pelajar dan guru yang melihat remaja terbabit berada di beranda sebelum dia jatuh.



“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya dan kes diklasfikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Gan Tian Loo turut meluangkan masa melawat tempat kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari.

Satu jam selepas itu, Mohd Ali turut menziarahi keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Katil, di sini.

Usaha wakil Harian Metro untuk menemuramah ibu bapanya gagal apabila enggan ditemubual berikutan terlalu sedih dengan kehilangan anak perempuan mereka. -hm

Tiada ulasan: