25 Feb 2011

Dr Jeyakumar Berjaya Cabar Keputusan Putrajaya Tolak Tuntutan Dana

MP Sungai Siput dibenar cabar Putrajaya tolak tuntutan dana

KUALA LUMPUR, 25 Feb — Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj, untuk mencabar keputusan kerajaan pusat menolak peruntukan tahunan kepada kawasan pilihan raya berkenaan yang diwakili pembangkang.

Dalam membenarkan permohonan kebenaran mendapatkan semakan kehakiman, Hakim Datuk Aziah Ali berpendapat Dr Jeyakumar telah membuktikan ada kes untuk diberi pertimbangan sewajar.

“Saya setuju dengan peguam pemohon bahawa ada isu-isu yang memberi merit kepada permohonan yang perlu diselesaikan pada pendengaran usul substantif,” kata Aziah dalam penghakimannya.

Hakim juga menolak bantahan awal Jabatan Peguam Negara bahawa alasan permohonan Dr Jeyakumar itu tidak berasas serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Datuk S. Ambiga, yang mewakili Dr Jeyakumar, memberitahu pemberita bahawa mahkamah telah menetapkan 18 Mac depan untuk pengurusan kes bagi mendengar penuh permohonan semakan kehakiman itu.

Pada 29 Oktober lalu, Dr Jeyakumar memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi memperoleh perisytiharan bahawa peruntukan khas kawasan Parlimen mesti dibekalkan dan disediakan kepada semua Ahli Parlimen secara saksama.

Dr Jeyakumar, 52, seorang pakar jantung, menamakan Ketua Pengarah bagi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengarah Pejabat Pembangunan Perak dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dr Jeyakumar memfailkan tindakan undang-undang selepas permohonannya kepada Pengarah Pejabat Pembangunan untuk dana bagi Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Shin Chung, Sekolah Jenis Kebangsaan Methodist dan Rumah Anak Yatim Nurul Ihsan serta dana untuk perkampungan Orang Asli ditolak pada 12 Oktober tahun lepas.

Ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu berkata permintaan untuk dana harus diberikan kerana semua projek yang dipohon merupakan peruntukan khas untuk kawasan pilihan raya.

Beliau mendakwa pihak responden menggunakan kuasa atau budi bicara untuk memberikan peruntukan secara tidak adil dengan memihak kepada Ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan prejudis terhadap Ahli Parlimen dari parti pembangkang.

Antara lain, Dr Jeyakumar juga menuntut perisytiharan bahawa peruntukan tersebut mesti disediakan secara saksama selaras dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau juga menuntut perintah ‘‘mandamus’’ bagi memaksa responden menperjelaskan kuasa mereka dalam meluluskan dana dari Peruntukan Khas Kawasan Parlimen mengikut budi bicara serta menyatakan prosedur peruntukan dana sejak 2008.

Beliau menuntut writ ‘‘quo warranto’’ (permohonan yang mencabar kesahihan pelantikan perjawatan) dikeluarkan yang memerintahkan pihak responden untuk tunjuk sebab dan memberi maklumat mengenai kuasa mereka dalam mengguna, melulus dan mengeluarkan dana daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan. — Bernama

Tiada ulasan: