11 Jan 2011

[Video & Bergambar] Pesawat Iran Terhempas, Lebih 70 Maut

Theran: Sekurang-kurangnya 77 orang terbunuh dan 27 yang lain cedera apabila sebuah pesawat Iran Air terhempas di kawasan barat laut Iran dalam cuaca buruk kelmarin.

Gambar: CUACA JADI MASALAH: Ribut salji dan keadaan gelap di tapak pesawat Iran Air terhempas kelmarin telah menyukarkan usaha menyelamat. -- Foto AFP

Pesawat Iran Air, yang dilaporkan membawa sekitar 104 penumpang dan kakitangan, termasuk dua kanak-kanak , terhempas ketika cuba membuat pendaratan cemas dalam ribut salji.

Menurut Naib Gabenor Wilayah, Encik Ebrahim Fatholahi, sebelum membuat pendaratan cemas juruterbang pesawat jenis Boeing 727 itu telah melaporkan kerosakan teknikal kepada menara kawalan.

Namun, tidak dapat dipastikan jenis kerosakan yang dialaminya.

Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Teheran ke bandar Urumiyeh, ibu kota wilayah Azerbaijan Barat, kira-kira 700 kilometer dari Teheran.

Seorang pegawai wilayah Azerbaijan Barat mengatakan, pesawat itu terhempas sekitar 7.45 malam (waktu tempatan) kelmarin.

'Pesawat berlepas dari Teheran ke Urumiyeh sejam lewat dari sepatutnya dan akibat cuaca buruk, terhempas di sebuah perkampungan dekat Urumiyeh,' ujar pegawai yang tidak dikenal pasti.

Memberikan gambaran keadaan pesawat itu, ketua jabatan menyelamat, Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, Encik Mahmoud Mozaffar, berkata:

'Pesawat itu pecah kepada beberapa bahagian tapi tiada kebakaran atau letupan yang berlaku.'

Mayat mangsa kejadian nahas itu dilaporkan telah dibawa ke pejabat koroner wilayah.

Namun, Gabenor-Jeneral Azerbaijan Barat, Encik Vahid Jalalzadeh, pula mengatakan 'semua mayat dan mereka yang tercedera telah dihantar ke hospital berlainan di bandar' itu.

Usaha menyelamat dikatakan terhambat dek salji dan kabus tebal.

Saudara-mara penumpang pesawat itu dilaporkan berkumpul di Lapangan Terbang Mehrabad di Teheran untuk mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa.

Televisyen Iran menunjukkan pekerja penyelamat dan petani cuba mencari mereka yang masih hidup di sekitar bangkai pesawat, yang pecah tiga, dalam salji dan kegelapan kelmarin malam.

Jurucakap Iran Air, Encik Shahrokh Noushabadi, berkata:

'Kami sedang menyiasat punca nahas dan kemungkinan cuaca buruk adalah sebab utama.'

Sementara itu, seorang pegawai dari Kementerian Pengangkutan berkata bahawa dua kotak hitam pesawat itu telah ditemui dan ia akan membantu menentukan punca nahas. -- AFP, AP, Reuters.










Tiada ulasan: