9 Jan 2011

Penubuhan Suruhanjaya Diraja Siasat Kematian Teoh - 1Malaysia Ditipu Lagi?

Peguam Teoh beng Hock Kecewa Dengan Skop Suruhanjaya Diraja

PETALING JAYA: Peguam kepada keluarga Teoh Beng Hock meluahkan rasa kecewa dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja berhubung kes kematian pembantu politik kepada Exco Selangor tersebut.

Gobind Singh Deo berkata, kekecewaan tersebut ekoran skop suruhanjaya tersebut yang tidak akan melibatkan bagaimana Teoh, 30, menemui ajalnya.

Berdasarkan pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat, suruhanjaya itu akan mengkaji kaedah soal-siasat yang diguna pakai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sekiranya berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap Teoh.

“Saya memohon supaya Suruhanjaya tersebut membesarkan skop lingkungan mereka yang melibatkan perkara yang mengelilingi kematian Teoh,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini.

Tambahnya, sukar untuk diketahui jika berlaku pencabulan hak asasi terhadap Teoh, jika fakta mengenai kematian tersebut tidak dikemukakan.

Beliau juga mengesahkan akan mewakili keluarga Teoh dalam Suruhanjaya Diraja tersebut.

Pada Jumaat, Najib mengumumkan Suruhanjaya Diraja akan diwujudkan selama tempoh masa tiga bulan selepas tauliah pelantikan Pesuruhjaya dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Pengumuman itu dibuat selepas Mahkamah Koroner Shah Alam, dekat sini, pada Rabu lalu memberikan keputusan terbuka mengenai punca kematian Teoh.

Koroner Azmil Muntapha Abas dalam keputusannya tidak dapat menentukan sama ada kematian Teoh disebabkan oleh bunuh diri atau dibunuh.

Beliau bagaimanapun memutuskan Teoh mati antara pukul 7.15 dan 11.15 pagi, 16 Julai 2009 disebabkan oleh kecederaan berganda akibat jatuh dari tempat tinggi.

Mayat Teoh ditemui di luar koridor tingkat lima, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam selepas dia dipanggil untuk disoal siasat oleh SPRM di pejabat yang terletak di tingkat 14 plaza sama. -mstar


Majlis Peguam, Suhakam mahu suruhanjaya turut siasat punca kematian Teoh

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Majlis Peguam dan Suhakam turut menyertai desakan agar Putrajaya membentuk suruhanjaya diraja yang boleh menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock tanpa hanya mengehadkan kepada skop meneliti prosedur siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneruskan keputusan dibuat 17 Julai 2099 untuk mewujudkan suruhanjaya diraja, dengan terma-terma khusus, bagi mengkaji kaedah soal siasat yang diguna pakai SPRM dan menentukan sama ada berlaku pencabulan hak asasi semasa proses soal siasat terhadap mendiang Teoh.

Suruhanjaya itu yang akan diwujudkan di bawah Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 akan menyiasat perjalanan dan pengurusan SPRM serta di mana sesuai, menyiasat kelakuan mana-mana pegawai SPRM.

Susulan pengumuman itu semalam, peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo memberitahu, pembentukan suruhanjaya diraja tanpa turut menyiasat persekitaran yang membawa kepada kematian Teoh tidak ada sebarang makna dan ia satu langkah membazir wang rakyat.

Presiden Majlis Peguam Ragunath Kesavan juga berpendapat demikian. “Apa yang penting, dia (Teoh) mati ketika berada dalam tahanan SPRM. Beban adalah pada SPRM untuk menjelaskan apa yang berlaku,” kata Ragunath (gambar) kepada The Malaysian Insider.

“Mengenai soal kebersalahan, adalah penting untuk difahami bahawa Teoh merupakan seorang saksi. Adakah dia telah berhadapan dengan tekanan ketika disoal siasat?

“SPRM mesti mengambil tanggungjawab,” kata beliau. Ragunath yang sebelum ini melahirkan pendapat bahawa inkues itu tidak bermakna selepas koroner memberikan keputusan terbuka menambah, kerajaan bertanggungjawab kepada keluarga Teoh untuk memberi keadilan.

“Koroner memutuskan tidak bunuh diri ataupun dibunuh, jadi bagaimana dia mati? Mereka mesti datang dengan rumusan,” kata beliau.

Justeru, kata Ragunath, apabila Najib menggariskan terma rujukan kepada suruhanjaya beliau sewajarnya memberikan kuasa untuk melihat punca yang membawa kematian Teoh dan tatalaku pegawai-pegawai SPRM.

Malah kata beliau, pentadbiran Najib mesti memberi kuasa kepada suruhanjaya diraja untuk meneliti protokol kesemua badan penguat kuasa, bukan hanya SPRM bagi membuktikan bahawa kerajaan persektuan serius untuk mendapatkan keyakinan rakyat ke atas institusi-institusi awam.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah memfailkan permohonan kepada Mahkamah Tinggi semalam bagi semakan terhadap keputusan terbuka dalam inkues kematian Teoh.

Koroner Azmil Muntapha Abas pada Rabu lalu memutuskan kematian setiausaha politik Exco Selangor itu pada 2009 bukan disebabkan bunuh diri ataupun homisid.

Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha’ani Abdullah juga menyokong gesaan agar suruhanjaya diraja diberikan kuasa meluas.

“Skop kerja suruhanjaya diraja tidak wajar dihadkan... jadi, syor-syornya akan menjadi panduan komprehensif bagi SPRM untuk bergerak ke depan,” kata ketua bahagian aduan dan pertanyaan Suhakam ini.

“Jika mereka mahu menyiasat prosedur, bukannya prosedur-prosedur dalam buku tetapi teliti penggunaan prosedur yang sebenar, mereka harus meneliti dengan terperinci.

“Jika penemuaan menunjukkan pegawai-pegawai (SPRM) bersalah, ia akan membantu kerajaan membersihkan badan penguta kuasa,” katanya lagi.

Sebagaimana ditekankan oleh Ragunath, Muhammad Sha’ani berkata, Teoh hanya seorang saksi yang dibawa untuk membantu siasatan SPRM. Kata beliau, undang-undang dalam prosiding jenayah memberikan lebih perlindungan kepada suspek berbanding saksi.

“Sekarang orang ramai takut untuk membuat laporan, mereka tidak akan tampil untuk membuat pendedahan,” katanya lagi.

“Ramai yang sudah jadi mangsa. Ia sesuatu yang sudah diketahui (ramai), bukannya persepsi awam,” kata beliau sambil menambah, terdapat banyak aduan mengenai dakwaan intimidasi terhadap pegawai-pegawai SPRM.

Katanya, perbicaraan membabitkan bekas pengurus besar Sime Darby dan juga peguam terkenal Datuk Rosli Dahlan adalah antara beberapa kes dakwaan intimidasi semasa siasatan SPRM. -TMI


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

berita mcm ni yg golongan melayu hutan selalu xtau