9 Jan 2011

Korban Pertama Banjir Kelantan

Kanak-kanak perempuan korban pertama banjir Kelantan

Gambar: GAYAH Hassan, 35, dan suaminya Kamaruzaman Ismail, 41, disamping mayat anak mereka, Siti Aisyah, 10, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Peringat yang lemas ketika bermain bersama rakan berhampiran rumahnya yang ditenggelami air di Kampung Belukar Limbat, Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi

KOTA BARU, 8 Jan – Seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa pertama banjir yang sedang berlaku di Kelantan apabila dia lemas ketika bermain air di kawasan rumahnya di Kampung Belukar Limbat dekat sini pagi tadi.

Ibu mangsa, Gayah Hassan, 35, hanya mampu melihat Siti Aisyah Kamarulzaman, 10, anak ketiga daripada lima beradik itu terkapai-kapai sebelum tenggelam dan dibawa arus.

“Setiap tahun kawasan rumah saya akan ditenggelami air. Anak-anak memang dah biasa main air termasuklah Siti Aisyah. Saya benarkan mereka bermain tetapi betul-betul di hadapan rumah, kira-kira tiga meter dari rumah.

“Ketika kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu, saya memang ada memerhatikan Siti Aisyah dan adik-beradik dia yang lain main air, tetapi tak sangka ada kawasan yang airnya dalam menyebabkan Siti Aisyah lemas,” katanya kepada pemberita di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab Dua (HRPZII) di sini.

Siti Aisyah merupakan murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Peringat.

Menurut Gayah, setelah melihat anaknya lemas, dia cuba menyelamatkan anaknya bagaimanapun arus deras dan air sedalam satu meter menyebabkannya gagal berbuat demikian.

Pegawai Bomba Kanan II, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Baru, Hasmadi Jusoh berkata pihaknya menemui mayat kanak-kanak tersebut pada pukul 1.30 tengah hari yang tersangkut di dasar tali air kira-kira dua meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas. – Bernama

Pengajaran

Yang tua-tua, pastikan anak-anak tidak bermain air di masa banjir. Kerana macam-macam boleh berlaku. Arus boleh tiba-tiba menjadi deras, dalam air ada macam-macam benda yang hidup seperti ular dan binatang lain yang berbahaya, kayu tunggul paku dan sebagainya. Beringat sebelum kena.

1 ulasan:

Idham berkata...

saya amat amat amat tidak bersetuju bila tajuk post ini menulis 'korban pertama' seolah-olah akan berlaku korban kedua, korban ketiga dan seterusnya. Soal maut adalah ketentuan ilahi tiada siapa yg dapat meletakkan angka dan apa yg terjadi. kita kena redho atas ketentuaaNya.