10 Jan 2011

Pelancong Maut Diserang Anjing

Teluk Bahang - "Kelmarin mereka berdua membelai-belai anjing itu dengan manja, tapi tak sangka pula hari ini (semalam) anjing itu menyerang seorang daripada mereka sehingga mati,” kata pemilik ladang organik yang hanya mahu dikenali sebagai Teoh, di sini, semalam.

Teoh, 41, yang membela empat anjing jenis sama untuk mengawal ladang organiknya itu, tidak menyangka dua daripadanya yang sebelum ini jinak bertindak agresif terhadap tetamunya yang baru tiba tidak lebih daripada 24 jam ke ladangnya itu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi semalam mengakibatkan seorang pelancong warga Ireland mati akibat digigit dua anjing jenis mongrel ketika mangsa dan kekasihnya sedang leka merakamkan gambar pokok durian yang ditanam di sekitar ladang itu.

Teoh berkata, mangsa, Sullivan Maurice (gambar), 50, yang baru tiba di ladang organik berkenaan bersama kekasihnya warga Poland berusia 28 tahun kira-kira jam 11 pagi kelmarin bukan saja mahu mengambil gambar di dusun itu untuk dimasukkan ke dalam web mereka tetapi turut menawarkan diri sebagai pekerja sukarela untuk mempelajari cara tanaman organik.

Menurutnya, mangsa bersama kekasihnya sudah mesra dengan sepasang anjing peliharaannya sejak tiba di ladang berkenaan dan mereka juga bermain-main dengan dua anjing itu petang kelmarin.

Katanya, ketika kejadian dua anjing yang jinak itu tidak diikat dan dua warga asing yang dikenali melalui perbualan Internet itu baru saja turun dari rumahnya yang terletak di atas bukit iaitu kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

“Ketika kejadian, isteri saya yang berada dalam rumah terdengar bunyi anjing menyalak dengan tiba-tiba dan apabila isteri saya hendak turun, dia melihat dua anjing peliharaannya itu sedang menyerang Sullivan. Isteri saya cuba mencari kayu untuk menghalang serangan anjing itu, tetapi ia sudah terlambat.

Gambar: TRAUMA...kekasih mangsa sebak.“Kami tidak sangka anjing yang sudah mesra bersama Sullivan kelmarin menggigitnya sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya ketika ditemui media di tempat kejadian.

Teoh berkata, dua anjingnya itu akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan negeri untuk tindakan selanjutnya dan tidak menyangka niat baik Sullivan bersama kekasihnya akan membawa padah kepada mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Barat Daya, Superintendan Hatta Md Zin, ketika dihubungi semalam mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di lengan dan paha, dagu mangsa hampir tercabut manakala kedua-dua telinga putus akibat gigitan anjing itu.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk dibedah siasat,” katanya. -sh

Gambar ehsan Bernama:






2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Teoh maut diserang apa?

Kuda Perang berkata...

Inilah dia perangai anjing... jadi jangan terjebak dengan muslihat anjing... pepatah arab kata: kalu gamu bagi makan seekor anjing kurus sampai gemuk, lepas tu dia akan gigit kamu semula.!