29 Jan 2011

Nuraishah Didakwa Bunuh Bayinya Yang Baru Lahir

Wanita Myanmar didakwa bunuh bayi baru lahir

SHAH ALAM: Seorang wanita warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan di rumahnya di Kampung Jawa di sini pada Selasa lalu.

Nuraishah Abdullah, 23, yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR), didakwa melakukan kesalahan itu di No 4, Lot 9902, Batu 4, Kampung Jawa di sini, kira-kira jam 9 pagi pada 25 Januari lalu.

Wanita itu yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Nuraishah, yang kelihatan lemah sehingga terpaksa duduk di dalam kandang tertuduh, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripadanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Zara Aina Mohd Zawawi, yang mengendalikan pendakwaan, membuat permohonan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah supaya tertuduh
dihantar ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan mental.

Majistret Zilfinaz Abbas membenarkan permohonannya dan mengarahkan Nuraishah dihantar ke Hospital Bahagia bagi menjalani pemeriksaan mental selama sebulan.

Mahkamah menetapkan 28 Februari untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan mengenai penemuan mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai ditikam beberapa kali di atas pelapik plastik di dalam bilik air rumah berkenaan.

Tertuduh ditemui dalam keadaan lemah dalam rumah itu dan polis turut menemui sejenis objek tajam, yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. - BERNAMA

Tiada ulasan: